Wednesday, June 12, 2013

Persediaan PhD 2

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Besar Baginda Muhammad SAW, Ahli Keluarga dan Sahabat Baginda. Syukur kepadaNya Atas Segala Limpah Rahmat dan Kasih Sayang Yang Diberikan. Apalagi Petunjuk Ke Jalan Yang Lurus Melalui Al-Quran dan Sunnah Baginda Muhammad SAW. In syaa Allah, saya sudah tidak berbelah bagi untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD (Law on Cultural Heritage).

Semester Jun 2013, pihak fakulti sudah tidak memberikan ATP/ATA (beban pengajaran baru) program Asasi demi memberikan saya ruang untuk mempersiapkan diri untuk memulakan pengajian pada September 2013 sambil menghabiskan beban tugasan  program Ijazah dan Diploma Lepasan Ijazah yang akan berakhir pada 23 Jun 2013. Dengan bermulanya peperiksaan akhir pada 24 Jun 2013 sehingga 19 Julai 2013, tentunya saya perlu fokus menyiapkan segala pemarkahan berkaitan 'continous assessment' berbentuk ujian, tugasan bertulis mahupun pembentangan malah memeriksa kertas peperiksaan akhir. Sudah tentunya tugasan penting ini berlanjutan sehingga awal Ogos 2013. Sehingga itu, saya belum boleh menghabiskan cuti 2013 saya. Walaubagaimanapun, saya tetap perlu mengisi borang-borang yang pelbagai termasuklah perjanjian baru bagi pemegang biasiswa. Ini termasuklah membuat pemeriksaan kesihatan keseluruhan. In syaa Allah akan dibuat sebaik sahaja menyudahkan tugas memeriksa kertas jawapan peperiksaan akhir Ijazah dan Diploma Lepasan Ijazah, akhir Julai 2013. 

Awal Ogos 2013 adalah masa terbaik untuk memajukan permohonan kepada pihak JPbSM dan KPT (SLAB/SLAI) memandangkan pada masa itu, saya yakin saya sudah menerima surat tawaran daripada pihak IPSIS UiTM memandangkan saya sudah tega hati menjadikan UiTM sebagai tempat pengajian saya. Alhamdulillah, saya juga telah mengenalpasti bakal supervisor (dari Fakulti Undang-Undang UiTM) dan co-supervisor (dari Fakulti Undang-Undang UKM). Alhamdulillah, saya juga telah membina hubungan yang baik dengan bakal supervisor malah telah sama-sama menyediakan kertas untuk pembentangan di tiga konferens di Malaysia dalam area 'Law on Cultural Heritage'. Alhamdulillah, dengan bantuan bakal supervisor juga, saya telah mendapat geran penyelidikan RIF bagi pensyarah muda yang berkhidmat bawah lima tahun. Dengan geran inilah saya gunakan untuk penyelidikan dan penulisan yang saya buat sekarang. Dengan geran ini jugalah saya dapat mempersiapkan diri dengan peralatan yang perlu untuk menjalankan penyelidikan seperti komputer serta bajet untuk mengupah pembantu penyelidik. In syaa Allah, sebelum saya memulakan PhD, saya akan juga cuba mendapatkan geran RAGS, FRGS dan ERGS sebagai pemangkin semangat dan sokongan daripada segi kewangan mahupun penglibatan yang menyeluruh bagi saya menjalankan penyelidikan.

Alhamdulillah, saya juga telah memenuhi syarat permohonan untuk memulakan pengajian sebagai pemegang biasiswa. Saya akan gunakan sijil PhD Research Methodology Course yang saya hadiri pada April 2012. Yang menarik tentang diri saya ialah (sekadar untuk melihat diri daripada aspek positif dan bukan untuk berbagga) saya telah menghadiri kursus ini dua kali dan in syaa Allah, saya difahamkan kursus ini akan dijalankan pada Ogos 2013 dan saya telahpun memasang niat untuk menghadirinya buat kali ke-3 sebagai apresiasi kesungguhan menggapai impian menjadi insan yang benar-benar gigih mencari ilmu dan kefahaman.

Saya juga telah mendapat keputusan IELTS bagi peperiksaan yang saya hadir pada 10 dan 11 Ogos 2012. Menariknya pada ketika itu, saya baru sahaja keluar dari wad NICU Putrajaya kerana menjaga bayi yang baru lahir akibat 'Severe Jaundice'. Pada masa itu, saya dalam tempoh 'berpantang' 12 hari. Alhamdulillah, berkat sokongan suami yang tidak pernah berbelah bagi dan abang kakak yang berkehendakkan saya belajar setinggi mungkin itu mendorong saya terus mengatur langkah dengan yakin walau dalam keadaan yang menguji fizik, akal dan fitrah. Alhamdulillah, saya mendapat keputusan 7.5 keseluruhan dan yang paling mengejutkan ialah saya diberikan markan 8/9 untuk ujian bertutur. Sesungguhnya, minda selepas bersalin amatlah bersih dan 'innocent'. Itupun dengan kehendak Pencipta, alhamdulillah.

Setakat hari ini 12 Jun 2013, saya masih menunggu dokumen perjanjian yang baru untuk pemegang biasiswa batch saya yang akan siap tidak lama lagi. Pada masa yang sama, saya sedang bertungkus lumus menyiapkan kertas untuk dibentangkan di Melaka Julai depan di samping mengisi segala borang yang berkaitan sedikit demi sedikit. Saya juga akan menghabiskan tugasan di fakulti dengan sebaik mungkin dan sehabis daya kerana niat saya untuk menuntut ilmu demi fakulti juga. 

Sesungguhnya perancangan Allah itu Maha Hebat. Kita Manusia tiada daya mempersoalkan kuasa yang ada padaNya.