Showing posts with label Susah Senang Bersama. Show all posts
Showing posts with label Susah Senang Bersama. Show all posts

Friday, December 4, 2015

Flagging dan "Mama Ada Family?"

Sudah beberapa hari tidak punya kesungguhan menulis tesis, bimbang tetap bimbang, tapi usaha tidak seberapa. Hati berdoa kepada Allah, "Ya Allah, Engkau Maha Tahu". 

Sambil memerhati rak buku di ruang tamu sambil melayan anak-anak di musim cuti sekolah ini, tangan mencapai sebuah buku yang dibeli pada tahun 2009, seawal mula-mula diri mendaftar di UiTM sebagai pensyarah.

Pat Cryer (1976) Dealing with Flagging in The Research Student's Guide to Success. Open University Press: Buckingham. p. 167-176.
Buku ini, bersama beberapa buah buku lain diperoleh daripada rakan sekerja (bekas pensyarah diri semasa LLB) yang pada ketika itu baru memulakan langkah ke alam PhD. Saya memintanya dapatkan untuk saya sekali dek semangat yang berkobar-kobar apabila sudah disahkan jawatan sebagai pensyarah undang-undang di UiTM. 
Buku ini diperoleh sebaik diri disahkan jawatan sebagai pensyarah tetap di UiTM, 27 Julai 2009
Sejak buku ini diperoleh, tidak pernah saya khusyu' membacanya walaupun hati sentiasa berkobar-kobar untuk perjalanan akademik yang seterusnya iaitu PhD. Hari ini, diri membelek-belek buku ini dengan hati yang tenang, menyerap isi-isi kandungan yang serasanya sesuai dengan isu yang bergolak di hati. 

Tabiat saya membaca buku adalah daripada muka paling belakang, kemudian sedikit demi sedikit ke hadapan, sehingga habis. Tajuk utama yang menarik perhatian adalah 'Dealing with Flagging" dan ia diolah dengan ringkas, sesuai dengan keadaan diri yang semakin berasa hambar dengan kerja-kerja PhD.


Perkongsian di FB bersama 
Semuanya kerana diri mencari-cari jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di minda, tetapi gagal dibawa ke penulisan rutin, diri mula berasa berada di awang-awangan. Keyakinan tetap ada untuk memendekkan tempoh 'flagging' kerana diri tahu masa sudah suntuk untuk berlengah-lengah atau melayan perasaan 'malas' itu, tetapi tidaklah sampai mahu memaksa diri yang sentiasa sibuk dengan menjaga anak-anak pada cuti sekolah. Anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih-sayang.

Sebaik malam menjelma dan mama mula meminta anak-anak menutup TV, mereka datang dengan persoalan yang bermain di minda mereka, melibatkan Daanial (6 tahun) dan kakaknya 'Atiiqah (8 tahun) dan Rabii'ah (3 tahun).

Daanial: Mama, mama ada family tak?
Saya: Ada. Mama punya mother nama Siti Aminah.
Daanial: Saya suka nama tu. 
Saya: Mama punya father nama Mustafa.
Daanial: Ooh...
Saya: Mama ada abang; Uncle Rujhan....
Daanial: Oh, uncle Rujhan tu abang mama ya?
Saya: (meyambung)...uncle Rushdan, Pakcik Khair yang datang rumah haritu, Che Din kat Kampung. Mama ada kakak; Cik As, Cik Su dan Cik 'Ain
'Atiiqah: Mama yang paling baby ya?
Saya: (baby?) Ha ah. mama paling kecil (kecil?) Mama, the youngest.

'Atiiqah: Mama, mama punya mother mati sebab sakit kepala, kan? Kenapa dia sakit kepala?
Saya: Oh....(sambil lama berfikir), Ada blood dalam otak, brain haemorrage.
Daanial: Blood tu, darah kan? (muka suspen).
'Atiiqah: Mama punya father mati sebab apa?
Saya: Oh....(sambil memegang buku Pat Cryer)....dia punya heart, burst.
Daanial: Dia burst macam ni ke? (sambil buat lagak ngeri objek yang meletup)
Saya: I mean, ia burst kat dalam, blood vessel yang burst. (Tripple A =AAA=Abdominal Aortic Aneurysm) dan penyebab kematian adalah Secondary.....to splenic abcess. Teringat masa jaga arwah mama dan papa dulu, segala macam medical term ingat, sebab jadi orang tengah antara doktor dan adik beradik).

Semua diam...

'Atiiqah: Bila mama dengan papa mama mati, mama duduk dengan siapa?
Saya: (Fuhh soalan....susahnya nak jawab...jadi novel karang...)..ehmm....mama tinggal dengan uncle Rujhan kejap, kemudian tinggal dengan kawan-kawan. 
'Atiiqah: Mama dulu tinggal di mana?
Saya: Mama dulu tinggal di Kelantan.

Dua-dua tengok muka saya. 

Saya: Kakak, mama nak rehat kejap boleh? Kakak solat dulu (tetiba otot-otot rasa mengendur je)
'Atiiqah: Baik mama, mama rehatlah dulu, kasihan mama.
Rabii'ah: Mama, nak susu. (biasa, kalau mama dia mula baring, mesti minta susu)
Mama: Daanial, boleh tolong mama, tak? Buat susu untuk Rabii'ah. 
Daanial: (Termenung sebentar) Ok, mama, mama rehat ya.

Mengenang hari esok (4.12.2015), diri perlu ke perpustakaan. Memperbahari pinjaman buku (belum semua baca pun). 'Atiiqah dan Daanial akan dihantar ke program cuti sekolahnya selepas bercuti seharian (3.12.2015). Banyak yang mereka belajar pada 1 dan 2 Disember berkenaan pengurusan jenazah, mungkin. Cuti diberi oleh mama mereka, dek kerana berat juga ilmu yang diperoleh. Selepasa mereka hadamkan untuk pemahaman mereka sendiri, 'Atiiqah sudah bersedia untuk hari esok. Harap Daanial juga turut serta. Apa salahnya melibatkan mereka dalam ilmu-ilmu seperti itu, lebih elok daripada membiarkan mereka di rumah, menonton TV sahaja, dan mama perlu menulis sambil jaga adik-adiknya 'Aaisyah dan Rabii'ah.

Dunia sedang berputar, masa terus berjalan, dulu diri seorang yang menumpang kasih orang, kini anak-anak memohon simpati seorang ibu, mengharap perhatian dan kasih-sayang. Menjawab persoalan anak-anak adalah sebahagian proses yang dilalui. Hidup perlu diteruskan.


Friday, November 27, 2015

Ciksu Zuraini Dollah

Sudah jarang-jarang sekali diri menghadap facebook kerana banyak kerja menulis yang perlu disudahkan, banyak juga kerja rutin seharian yang perlu dibereskan. Kedua-dua rutin yang semakin menyeronokkan diri, bermanfaat untuk keluarga, membawa hikmah kepada gerakerja PhD. Dua hari yang lalu, 25 November 2015, sambil menelentang merehatkan diri selepas rutin harian yang panjang, diri menelusuri khabar melalui facebook. Khabar Ciksu benar-benar menambat hati.

Ciksu mengkhabarkan bahawa beliau sudah menerima jemputan daripada Tabung Haji untuk menunaikan Haji pada tahun 2016. Ya Allah, bertuahnya Ciksu, tahun depan umurnya bakal mencecah 35 tahun, umur yang muda untuk mengerjakan Haji, berita baik Ciksu, berita yang amat baik untuk diri terima pada hari itu. Saat hati mulai mendetik perasaan cemburu, kenangan lama kembali menerjah, betapa banyaknya kebajikan yang Ciksu curahkan untuk diri ini sepanjang berada di UiTM dan selepasnya, menyebabkan diri tidak teragak-agak mendoakan kelancaran proses Haji beliau serta menjadikan beliau seorang sahabat diri termuda dijemput Ilahi ke Baitullah bagi mengerjakan ibadat haji, hajjah yang selayaknya diterima oleh beliau, in syaa Allah.

Bertubuh genit, menggalas beg ke kuliah, lagaknya seperti mahu ke sekolah, Ciksu berwatakan kemas, senyum sentiasa menghiasi wajah. Mahasiswa ITM yang baru mendaftar, menginap di Kolej yang sama denganku, Kolej Seroja. Tidak terpalit perasaan cemas atau kejutan budaya pada dirinya, berkeyakinan dan terurus orangnya. Diri memerhati lagaknya yang biasa, peramah tetapi fokus dengan langkahnya sehari-hari, bersegera melaksanakan tugas sebagai mahasiswa saban hari. "Alangkah bagusnya aku dapat jadi sepertinya, bersemangat ke kuliah, berdikari apabila seorang diri". Tahap survival tinggi.

Diri mula mengenali beliau dengan lebih dekat sewaktu kami sama-sama melibatkan diri dalam Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Seroja yang mana beliau dilantik sebagai Ketua Biro Ekonomi dan diri pula dalam Biro Pembangunan Insan. Biasalah, bila jadi Ketua Biro Pembangunan Insan, diri dianggap baik dan boleh membimbing daripada aspek kerohanian (walaupun diri sedar diri yang banyak kekurangan). Dari situ, bermulalan perkenalan yang semakin lama semakin erat. Ciksu cekap mengemudi Biro Ekonomi yang melibatkan pengurusan kewangan. Keramahan beliau terhadap mahasiswa lain serta kebolehan beliau berinteraksi dan membina hubungan yang baik bersama JPK lain dan penasihat Biro menyebabkan diri beliau semakin berkeyakinan, namun jauh sekali untuk bersikap sombong atau lupa daratan (seperti hanyut dengan program sampai lupa untuk laksanakan tanggungjawab hakiki iaitu belajar, seperti diriku). Beliau santai dalam kesibukan, cekap dalam pengurusan diri.

Di akhir-akhir pengajian kami, mahasiswa senior perlu meninggalkan kolej dan menetap di rumah sewa. Diri berpergian ke seksyen 7 yang sedang dibina dengan flat-flat murah yang baru. Tiada bas, tiada teksi. Diri terpaksa berjalan kaki ke Kuliah dalam hiruk-pikuk pekerja Bangladesh keluar masuk untuk bekerja dan pulang. Bahaya. Diri terpaksa melarikan diri dan mencuba nasib di Kolej Seroja. Mujur juga pernah menyandang jawatan Ketua Biro Pembangunan Insaniah dan Yang Di Pertua Kolej, diri menghujahkan keperluan menetap di kolej untuk survival diri yang perlu mengabiskan dua semester yang berbaki. Mujurlah, rayuan diri diterima dan pihak pentadbiran Kolej mencadangkan diri ini menetap bersama Ciksu, di bilik bawah Seroja Dua, bilik uitiliti asalnya. Tidak mengapalah bilik utilipun, asalkan ada katil untuk tidur tanpa bimbang dan lebih selamat berbanding di luar. 

Alhamdulillah, Ciksu sudi menerimaku bersamanya dalam satu bilik yang tidak seberapa, nampak saluran air (atau kumbahan) di atas kami, namun kami perlu hidup. Hidup dengan selamat. Di sana, banyak kisah yang dikongsi. Kisah hidup masing-masing, lebih-lebih lagi kisah diri inilah. Beliau banyak mendengar daripada bercerita, maka diri ini kira, banyak rahsia diri bersamanya berbanding rahsianya dengan diri. Diri beroleh simpati daripada Ciksu dalam banyak hal, tidak pernah menyakitkan hati. Ciksu amat menyenangkan, agama dijaga dengan baik, hubungan dengan kakak-kakak serta ibu ayahnya juga baik sekali. Oh, beliau juga bongsu sepertiku. Walaupun Ciksu tegas orangnya, lurus agamanya serta bersdisiplin dan diri pula bekas Ketua Biro Pembangunan Insaniah, kami curi-curi bercerita tentang kisah cinta. Cinta semasa sekolah, cinta semasa praktikal dan cinta yang masih berbekas, sekadar menghiburkan hati dan mengingatkan diri agar tidak hanyut dengan semua itu, kerana kami perlu habiskan pengajian, menggembirakan hati ibu ayah dan adik-beradik kami yang sentiasa mendoakan.

Ciksu selalu berasa kagum dengan kisah adik-beradikku serta kisahku sendiri yang mengharukan. "Terima kasih atas keprihatinan Ciksu yang sudi mendengar dan mengambilkisah walaupun hal itu tidak menguntungkan apa-apapun buat kamu". Dari situ, beliaulah yang diri anggap teman di kala memerlukan, tempat bercerita suka dan duka dan beliau sentiasa positif menyebabkan diri tidak hanyut dalam kesedihan, tidak rasa bersalah dalam keterujaaan. Ia satu kehidupan yang diri kenang sampai bila-bila. Oh, Ciksu amat cintakan agama. Semasa di Seroja 3 sebelumnya, Ciksu selalu datang berziarah ke bilik saya bersama Kak Nur. Diri teruja menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW yang ditulis oleh Harun Yahya yang dibeli dengan duit PTPTN. Ciksu mendengar dengan penuh keterujaan dan minat dan diri inilah ibarat kawan yang telah jatuh cinta dengan segalanya pasal Nabi, menceritakan dengan penuh perasaan. Terima kasih kerana sudi mendengar dan tahniah kerana mencintai agamamu.

Sewaktu diri melangkah ke alam LLB (Hons), Kolej Seroja sudah tidak menerimaku dan Ciksu pula sudah memasuki alam pekerjaan di UiTM dan menetap di rumah sewa di Seksyen 2. Namun diri tetap memohon kolej dengan pihak HEP memandangkan tahun akhir ini adalah sangat kritikal dan diri masih malu-malu kucing untuk menyewa di luar (diri mudah terpengaruh). Alhamdulillah diberikan tempat di Kolej Teratai 4, sebilik dengan seorang pelajar Sains Sukan dan Rekreasi, bilik berdua. Walaupun diri komited untuk belajar, diri dilantik juga menjadi Ketua Biro Akademik Kolej. Diri agak, mereka kagum dengan uniform hitam putih yang dipakai saban hari, bakal peguam berjaya lagaknya. Diri seorang saja pelajar undang-undang di situ, lain-lain kebanyakkanya dari Fakulti Sukan dan Rekreasi, Komunikasi Massa dan lain-lain yang bergiat aktif dalam Kesatria dan juga PALAPES. Sekali-sekala Ciksu datang berziarah ke bilik dan kami keluar makan bersama-sama.

Setiap kali diri ke rumah Ciksu untuk berziarah atau menumpang bermalam sehari dua, diri dihidang dengan nasi goreng dan air teh atau milo, air tangan Ciksu sendiri. Betapa mesranya layanan yang Ciksu beri kepada diri yang sentiasa kelaparan kerana tidak cukup wang untuk makan (masih belajar katakan). "Ciksu, nasi goreng Ciksulah yang paling sedap di dunia kerana ia dihidang sewaktu diri sangat berkira-kira untuk makan nasi di kedai". Masa itu diri sangat kurus, baju saiz S, pinggang longgar, makan nasi dua minggu sekali. Layanan Ciksu adalah yang paling eksklusif pernah diterima dan Ciksu tidak pernah menyampah dengan diri ini, kan?"

Semasa melangkah ke alam pupillage (chambering), Ciksu dapatkan diri sebuah rumah sewa yang dikongsi bersama pelajar-pelajar lain memandangkan rumah sewa Ciksu dah penuh, terima kasih, Ciksu. Ciksu masih lagi melayan diri ini dengan baik dengan masakan ciksu. Masa tu elaun pupillage hanyalah RM600 sebulan. Firma guaman pula di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Tambang bas, bayaran rumah sewa, cukup-cukup untuk hidup. Pagi-pagi masak kentang rebus buat bekal untuk makan tengahari. Berputar-putar jugalah pinggang skirt dek slimnya diri pada masa itu. Bakti Ciksu akan dikenang sampai bila-bila.

Pupillage, TNB, menyewa di Cheras dan menyewa di Vista Angkasa, PJ, jauh diri merantau demi mencari rezeki. Kemudian diri kembali ke rumah sewa Ciksu, berziarah dan memaklumkan diri yang akan memohon untuk sambung belajar ke peringkat master. Diri belum berkahwin, diri bercita-cita belajar ke luar negara, melihat negara orang, hidup di tempat baru. Diri juga mengkhabarkan yang diri akan berkahwin, dengan siapa semua diberitahu. Segala masalah dan isu juga dikongsi dan Ciksu mendengarnya dengan tekun. Betapa Ciksu gembira dengan khabar tersebut dan mendoakan diri ini. Namun, diri tidak ke luar negara demi menyemai cinta bersama suami yang diperkenalkan ahli keluarga. Kami dikurniakan anak sulung yang tarikh lahirnya sama dengan tarikh lahir Ciksu.

Sewaktu mula-mula diri bergelar pensyarah dan dijemput untuk berada di atas pentas sebagai ahli akademik bagi Fakulti Undang-Undang, Ciksu datang di sebalik tabir dan memanggil diri ini diam-diam, lantas menangkap gambar diri yang memakai robe, hood dan 'board', duduk bersama ahli akademik senior yang lain, diri terasa seperti berada di puncak jaya dan Ciksu melihatnya dengan bangga. Betapa mulianya hati Ciksu yang sentiasa menghargai diri yang hina dina ini. Diri terasa amat dihargai.

Terima kasih atas segalanya, Ciksu. Panggilan Haji itu benar-benar selayaknya untukmu. Diri doakan yang terbaik untukmu sebelum, semasa dan selepas kembalimu dari sana, in syaa Allah.

Tuesday, November 24, 2015

Ia Hanyalah PhD


Bukanlah PhD tidak signifikan, Prof Dr MKI sendiri menyatakan bahawa PhD adalah signifikan. Cuma PhD adalah satu perkara signifikan yang kecil dan ia hanyalah PhD berbanding sebuah kehidupan yang sedang kita hadapi. Jadi, maksud 'ia hanyalah PhD' bukan bermakna ia tidak signifikan, tetapi melalui pandangan yang lebih luas, ia hanyalah sebahagian daripada rutin harian bersama dengan rutin-rutin wajib yang lain. Makna kata, dalam sehari, pelbagai aktiviti yang perlu dilakukan, samada wajib, sunat, harus dan sebagainya termasuklah kegiatan berkait PhD samada menulis tesis, berfikir, membaca dan sebagainya.

Semester 1 : 23 Ogos 2013 - 22 Februari 2014

Semester pertama dilalui dengan penuh pengharapan; harapan mekar bak bunga mawar yang mengembang, bersama semangat yang menyala-nyala. Persiapan perlu dilakukan dengan lengkap, segala kekurangan cuba dipenuhi dengan sebaiknya. Pelbagai bahan dalam sumber journal yang berbeza dikumpul dan ditelaah untuk memahami apa maksud 'intangible cultural heritage'. Bukan setakat perlu memahami apa itu mak yong, tetapi juga maksud 'mukei bunkazai' dalam pemahaman orang Jepun. Pening juga walaupun sekadar mencari maksud. Maka, deraf Chapter 1 selesai bersama kekurangan yang diperbaik dari masa ke semasa.

Dalam semangat yang berkobar-kobar memulakan langkah PhD, diri diuji dengan kelahiran Rabii'ah yang memerlukan perhatian yang lebih dek tahap kesihatannya yang tidak boleh diduga, bermula dengan 'severe jaundice' yang menyerangnya seawal umur lima hari. 

Semester 2 : 23 February 2014 - 22 Ogos 2014

Seawal Rabi'ah berumur lima hari (27 Julai 2012), pelbagai komplikasi berlaku bermula dengan 'severe jaundice', kemudian PDA, tight tendon dan akhirnya audio problem. Hampir dua tahun berlalu, barulah diri berasa sedikit lega dengan perkembangan Rabii'ah yang positif. 27 Julai 2012 - 26 Julai 2014 dilalui dengan penuh susah payah dengan temujanji di Klinik Paediatrik, Hospital Putrajaya, untuk rawatan susulan 'severe jaundice' dan 'audiologi'; Klinik Paediatrik, Hospital Serdang, untuk rawatan susulan jantung (cardiac) bersama pakar jantung kanak-kanak dan rawatan susulan untuk 'tight tendon' di hospital yang sama di Klinik Ortho bersama Dr Dev.

Kerja PhD diteruskan dengan hati yang walang, dibantu penyelia yang cukup memahami keadaan diri yang dibebani dengan tanggungjawab yang besar mengemudi sebuah kehidupan merawat dan membesarkan anak-anak.

Walaupun diri bergelumang dengan susah-payah mengurus anak-anak dalam kesibukan suami bekerja, diri tega meneruskan kerja-kerja PhD dan cuba membentang kertas cadangan di peringkat fakulti. Walaupun penyelia belumlah benar-benar merestui keinginan diri untuk berbuat demikian, diri berasa masa berlalu cukup lama untuk menunggu lebih lama. Lantas, dalam kekalutan mengurus hal ehwal anak-anak dan diri yang semakin tidak terurus, kertas cadangan dibentangkan, namun gagal dan perlu dibentangkan semula. Diri amat tertekan.

Semester 3 : 23 Ogos 2014 - 22 Februari 2015

Mengapa harus tertekan? Rupa-rupanya diri masih belum faham apa maksud pengajian PhD. Printlah beratus-ratus artikelpun, bacalah berpuluh-puluh artikelpun, jika masih tahap untuk mengetahui dan memahami, belum mencapai tahap pengajian PhD. Politik juga kena pandai. Siapa jadi panel, bagaimana pendekatan panel. Apa pula pendirian calon? Jika tiada pendirian, apa motif meneruskan pengajian PhD? Sungguh diri belum faham dan menyalahkan penyelia. Disogok pula dengan umpat keji sebahagian manusia yang mengaku ahli akademik ke atas penyelia, diri sampai hati untuk memohon pertukaran penyelia. Diri amat tega, amat kusut dan amat kecewa. Namun, diri masih waras untuk mengambilkira pendapat dekan yang amat mengenali penyelia. 

"Dalam hidup ini, ada perkara yang kita tak boleh tolak, kita perlu terima dengan hati terbuka, redha dan hadapinya. Suami, anak-anak, keluarga adalah hadiah Allah untuk kita, hadapinya dengan baik. Kerja PhD masih perlu dilaksanakan dalam konteks kehidupan tersebut. Fokus bukan bermakna perlu mengendahkan keperluan keluarga, fokus/concentrate bermaksud akal, hati dan jiwa bersatu untuk menyegerakan tugasan dalam setiap masa dan ketika yang mengizinkan serta menolak hal-hal yang boleh ditolak (selain keluarga)".

Bersama restu penyelia, diri berjaya membentangkan kertas cadangan pada Oktober 2014 dengan pembetulan minor. Banyak lagi yang perlu diusahakan dan diri masih tercari-cari maksud yang tersirat di sebalik nasihat penyelia yang sentiasa menasihati agar laksanakan 'active reading and writing', 'copypaste', 'rephrase', asking, 'so what' banyak kali. So what? Sikit-sikit, "so, what?" naik menyampah tau. Nafsu sentiasa membantah, tapi jihad menuntut ilmu perlu diperteguhkan. Zikir saban waktu, duha tahajjud sudah jadi amalan. Siapa yang mampu menolong diri yang masih lemah dalam bidang penulisan dan pembacaan bahan-bahan tulisan berbentuk falsafah yang sukar dihadam itu? Perlu ke faham semua? Siapa nak tolong? Penyelia hanya menyelia, diri yang perlu bentangkan hasil kerja kepada penyelia. 

Susah payah dalam 'active reading and writing' yang melibatkan proses 'copy and paste' serta 'rephrase', 'synchronize', 'evaluate' dalam konteks kajian merupakan satu disiplin yang benar-benar berguna kepada bukan sahaja akal, tetapi juga jiwa yang mahu bebas daripada sifat culas nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada sifat mundur, iaitu; malas, beralasan serta menyalahkan orang lain. Ibarat sebilah parang yang sedang diasah, semakin lama semakin tajam dan akhirnya diri faham apa maksud 'rigour' dalam pengajian peringkat PhD, mengikut kaedah kajian (research methodology) masing-masing.

Dalam tempoh ini, jiwa juga semakin dekat dengan Allah SWT dan alhamdulillah dengan keizinan penyelia, diri dan suami ke Makkah menunaikan umrah dan ziarah di Madinah. Bayangkanlah apa yang diri doakan di sana. Salah-satunya, tentulah supaya diri teruskan usaha, tidak berputus asa serta yakin dengan ketentuan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Inilah jihad sebenar. Jihad melawan nafsu dengan menuntut ilmu sambil mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wallahua'lam.

Semester 4 : 23 February 2015 - 22 Ogos 2015

Diri terus bersama penyelia yang sudi memaafkan keterlanjuran diri ini. Namun, diri terkadang leka, diuji dengan keterujaan membeli hartanah sehingga banyak masa terbiar dengan ke sana ke mari melihat tapak bersama suami, walaupun hati rasa bersalah kerana tidak menulis. Dugaan ini sangat hebat sehingga diri bercadang mengajar secara separuh masa. Apabila diketahui penyelia, ia dibantah, lalu diri menurut tanpa banayk soal. Diri tahu penyelia benar, diri yang terlanjur membazirkan masa dan wang untuk hal tidak perlu sedangkan tanggungjawab yang ada perlu diselia dengan bijaksana. Satu pengajaran hebat untuk diri yang bakal dianugerahkan 'ijazah kedoktoran'. Mana mungkin seorang sarjana memiliki sifat cuai, tamak, boros, terburu-buru dan menuruti hawa nafsu serta mementingkan dunia semata-mata? Mana sifat tawaadu', tekun dan sifat berfikir sebagai amalan saban waktu? Sungguh, diri dibina dan diuji.

Semester 5 : 23 Ogos 2015 - 22 Februari 2016

Menghadap komputer kadang seperti zombie. Itu, alhamdulillah. Menghadapi anak-anak tatkala mendapat idea menulis adalah satu cabaran yang pada mulanya sukar, lama-kelamaan menjadi hal yang biasa, malah menyeronokkan. Anak-anak dan suami bukanlah gangguan, tetapi sebahagian daripada keseronokan menyiapkan tugasan. Mereka adalah warna-warna kehidupan, ibarat rama-rama dan lebah yang hinggap pada bunga-bunga di taman. Ia menjadikan diri seorang manusia, manusia yang lebih sabar, lebih redha, lebih rajin, menepati masa, berdisiplin, menghormati orang lain, lebih mengenali manusia. Paling penting, perjalanan hidup sebagai calon PhD ini membentuk sebuah peribadi yang unik yang akan berkekalan sampai bila-bila. Ia seolah-olah satu latihan disiplin diri jangka masa panjang untuk seorang yang mahu gelarkan dirinya seorang ahli akademik, pada masa yang sama seorang isteri, seorang ibu dan seorang wanita. Hakikatnya, diri sedang mengusahakan apa yang pernah diimpikan sejak umur 13 tahun, 'mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang akademik tetapi berjaya mengekalkan sifat seorang wanita dan bertaqwa kepada Allah'. Alhamdulillah.

Diri redha walaupun masih bergelumang dengan chapter 2 dan 3 kerana sudah memahami apa itu PhD (theoretical). Yang penting teori tidak bertukarlah kan! Merangkak-rangkak menyiapkan chapter 4 dan 5 juga, bersama sinar harapan dan kejayaan. Tidak kira masa dan di mana, kerja 'active reading and writing' perlu dilaksanakan agar idea tidak lari, agar proses menjadi lancar, agar momentum tidak hilang. Walaupun hanya memperbetulkan footnotes atau semakan bahasa, sehari sekurang-kurangnya sejam perlu diberikan terhadap kerja PhD. Berfikirlah, biarpun sedang memasak! Apa salahnya berfikir kan? Bukankah diri bakal scholar? Ia hanyalah PhD, hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup berbekalkan pengalaman yang menjadi pengajaran terbesar dalam hidup, selain tunduk patuh kepada Allah SWT dan menghormati penyelia sebagai guru.

Sekarang, November 2015, bakal mengakhiri 2015 sebulan lagi. Sebulan yang akan disibukkan dengan urusan penyediaan keperluan sekolah dan tadika anak-anak. Suatu rutin yang menyeronokkan serta mencabar. Yuran, uniform sekolah, buku, alatulis, ulangkaji surah-surah dan hadith yang telah dihafaz oleh anak serta masa yang perlu diluangkan untuk anak di kala cuti sekolah. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan diri yang juga mahu menyudahkan tugasan menulis tesis, cuba menulis buku bukan akademik, menulis artikel akademik untuk dibentangkan serta lain-lain aktiviti yang perlu untuk kegiatan PhD. 

Kepada Allah jualah tempat diri menanam impian, berharap dan berpaut agar segalanya dapat dilalui dengan yakin, sabar, syukur serta ikhlas. Semoga diri berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Semester 6 : 23 Februari 2016 - 22 Ogos 2016

Doakanlah diri ini dapat melalui tempoh terakhir PhD dengan penuh rigour agar diri puas dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang menjadi bekal kepada kerjaya akademik pada masa akan datang. Seandainya perlu untuk extension, diri tidak kisah, asalkan jalan yang dilalui adalah lurus, menuju ke puncak jaya, ibarat sang kura-kura yang berlumba dengan si arnab, pemenang adalah si kura-kura yang melangkah penuh istiqamah, bersih jiwa daripada sifat angkuh, sombong dan malas. Aamiin.

Wednesday, September 16, 2015

Pengalaman Melahirkan Rabii'ah

Ahli keluarga dan rakan terdekat sekian maklum bahawa sepanjang Rabii'ah dibesarkan sehingga umurnya mencecah dua tahun, saya benar-benar diuji dek beberapa masalah kesihatan Rabii'ah seperti severe jaundice, PDA, tight tendon dan audio problem. Nanti saya ceritakan di tempat lain. Di sini, saya ingin menceritakan kisah pahit manis mengandung dan melahirkan Rabii'ah secara ringkas, sekadar untuk berkongsi.

Nota: Setiap wanita mengalami pengalaman yang berbeza dalam hidup mereka. Ada yang mencabar dan sebaliknya. Semua itu adalah ujian dan rahmat Allah untuk hamba-hambaNya. Bagi saya, tiada satupun yang mudah dalam hidup ini kerana setiap sesuatu itu disertai dengan kepayahannya. Samada ia datang sekarang atau kemudian, berasingan atau bersekali.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tanggal 22 Julai 2012, saya selamat melahirkan anak ke-4 kami di Hospital Bersalin Berisiko Rendah, Putrajaya. Anak perempuan, 3.84kg lahir pada jam 6.35 petang. Niatnya, sempatlah saya berbuka nasi kerabu kegemaran sebelum berpantang selepas bersalin, namun ditakdirkan saya bersalin sebelum waktu maghrib, sebelum waktu berbuka puasa 2 Ramadhan 1433H. 

Sepanjang saya mengandungkan Rabii'ah, perasaan saya sentiasa tidak sabar untuk melahirkan. Terasa beban mengandung dalam tempoh memegang jawatan di fakulti itu sangat membebankan. 

Pagi tu, saya rasa mahu bersalin, walaupun belum berasa apa-apa contraction. Dari atas, saya turun menjenguk suami menyusun rumput karpet kami yang baru. Bosan rasanya terperap dalam rumah saja. Menariknya, setiap kali ingin melahirkan anak, kami akan berpindah ke rumah baru. Ia perpindahan yang ke-4 kami ke rumah sendiri. Bermula dari rumah sewa kampung di Kg Sg Ramal Luar, kami berpindah ke Apartment Presint 9, Putrajaya setelah melahirkan 'Atiiqah. Sebaik sebelum melahirkan Daanial, kami berpindah pula ke Presint 14. Beberapa bulan sebelum melahirkan 'Aaisyah, kami berpindah pula ke Kolej Mawar, UiTM dan akhir sekali, beberapa bulan sebelum melahirkan Rabii'ah, kami berpindah ke Bandar Saujana Putra (atas desakan hati dan jiwa saya yang mengandungkan anak - macam mengidam gitu, hehe).

Saya turut tolong suami susun rumput dalam hujan renyai di pagi yang hening itu. Terbongkok-bongkok dan merangkak-rangkak atas susunan rumput untuk pastikan kedudukannya elok. Habis basah kuyup. Saya memang suka main hujan masa kecil-kecil dulu. Seronok rasanya main hujan. Hilang rasa kempunan. Hehe. 

Sebelum waktu zohor, saya maklumkan kepada suami bahawa saya ada terasa sedikit contraction dan mencadangkan kepadanya untuk ke hospital. Sebelum waktu zohor itu, saya, suami, anak-anak serta pembantu keluar membeli sabun basuh serta menghantar baju suami di kedai dobi untuk diseterika. Dalam perjalanan ke hospital, pembantu memberitahu sabun tertinggal di kedai, lalu kami kembali semula ke kedai seterusnya solat zohor memandangkan azan baru sahaja berkumandang. 

Setelah selesai solat zohor, contraction semakin dapat dirasai namun masih lagi dalam kawalan. Alhamdulilllah tiba di hospital dalam 2.30 petang. Jururawat bertugas cek bukaan dan mendapati bukaan adalah 3cm jadi doktor terus menjalankan tanggungjawabnya ke atas saya. Memandangkan rekod kesihatan adalah baik dan berisiko rendah kata doktor, saya dirujuk ke Alternative Birth Centre yang baru iaitu, Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Presint 8, Putrajaya. Saya ke sana menaiki ambulan bersama-sama ibu-ibu mengandung yang lain. Kelakarpun ada.

Suasana ABC ni macam kat klinik desa di kampung tapi cukup lengkap. Apa yang disediakan adalah semua tempat yang mendamaikan untuk seorang ibu bersalin. Jam 4.00 petang kami tiba di sana. Sempat lagi berborak-borak dengan rakan baik Mak Mertua yang sedang menunggu menantunya bersalin kat situ. Setelah pemeriksaan dibuat serta menunggu proses pendaftaran dan sebagainya, jam 5.00 petang saya dihantar ke ward. Tatkala itu sudah dirasakan contraction yang kerap dan lebih lama. 

Jururawat yang bertugas memberitahu, saya akan diperiksa lagi 4 jam kerana bukaan semasa pendaftaran di ABC masih 3cm. Namun demikian, pada jam 6 petang (iaitu sejam selepas pendaftaran), saya meminta jururawat cek bukaan kerana berlaku contraction berterusan seperti sudah sampai masa. Sebetulnya ya kerana bukaan sudah sampai 7-8cm. 

Saya berjalan ke Bilik Bersalin diiringi jururawat bertugas. Macam kelakarpun ada sebab masih berjalan macam penguin dalam keadaan dah contraction macamtu. Katanya, berjalan banyak boleh mudahkan proses bersalin. Alhamdulillah, bukaan sudah betul-betul mencapai 8cm sebaik dibaringkan dalam labour room. Masa tu macam biasa la kan. Rasa sakit nak bersalin tu macamana. Terasa berada di hujung nyawa saja. 15 minit selepas itu, saya hanya sebut nama Allah sebab saya rasa macam dah nak mati. Dalam keadaan samar-samar sambil menyedut oksigen tu, jururawat datang cucuk ubat (induce) melalui tiub IV tu. Katanya, dalam sejam lagi saya akan beranak. seminit kemudian (sebab baru saja jururawat tu melepaskan tiub IV tu..entah2 ubatpun belum sempat masuk badan), saya menjerit, "Nak beranak!!!". "Biar betul akak ni" kata jururawat berkenaan sambil cek bukaan.

"9-10cm!! Akak ni nak beranak, cepat!" jerit jururawat tu pulak. Masa tu suami saya ke Bazar Ramadhan , Presint 2 memandangkan dia bajet saya bersalin lepas waktu maghrib. Masa nak meneran tu, 6.25 petang, suami saya sampai bersama nasi kerabu dan akok kegemaran. Tak merasalah saya nasi dan akok tu sebab saya sudah mula meneran. Apapun, alhamdulillah suami berpeluang sekali lagi menyaksikan isterinya ini bersalin. Beberapa minit kemudian, tepat jam 6.35 petang, saya selamat melahirkan bayi perempuan.

Jururawat bertugas tunjuk baby kat saya dan tunjuk jantina baby dan bagi saya peluk baby. Kemudian mereka ambil untuk timbang. "3.84kg! Eh, mesin ni rosak ke?" tanya jururawat kepada kawannya yang sorang lagi. "Eh, ok je! Itu baru punya!". "Salah ke anak aku berat 3.84 kg? Berat tulang tu. Rileksla" fikir saya. Sekarang baru saya tahu baby 3.8 ke atas perlu dapat perhatian doktor semasa bersalin, hehe. Patutlah misi semua panik tengok berat baby tu. Terima kasih misi.

Friday, May 31, 2013

Kisah Rabii'ah binti Suharmi

Assalamu'alaikum, ini Rabii'ah binti Suharmi, anak keempat kami. Kami panggil dia i'ah atau e-'ah. Saya ingin berkongsi kisah Rabii'ah kerana terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. 

Mula-mula sekali, lihatlah betapa comelnya Rabii'ah kan? Hehe....

Dalam Shuttle Van Dari Putrajaya Sentral ke Hospital Putrajaya
11.12.2012 Rabii'ah bersama 'Aaisyah
Rabii'ah Atas Sofa Rumah Uncle An and Auntie Rie
Rabii'ah dan Pandai Mengagah
Sebaik sahaja Rabii'ah lahir, Allah sahaja yang Maha Tahu betapa gembiranya kami.  Hilang segala sakit dan dugaan kami dalam tempoh kehamilan selama 9 bulan. Apatah lagi dengan berat 3.84 membuatkan kami sedar betapa besarnya ni'mat yang Allah beri kerana inilah kelahiran yang paling mudah berbanding dengan anak-anak kami yang lain.

Dipangku oleh Auntie Rie Sebaik Sahaja Keluar Dari Bilik Bersalin

Rabii'ah kelihatan Sunggoh Comel dan Sihat Just After Birth
Tapi.....rabii'ah nampak tak berseri beberapa hari selepas lahir...nampak tiada perkembangan...malah nampak gering....
Gambar Rabii'ah yang diambil pada malam hari ke-5 (Nampak Tidak Sihat)
Pada 6 Ramadhan 1433H bersamaan 27 Julai 2012, Allah Maha Kuasa iaitu hari ke-5 setelah dilahirkan, Rabii'ah disahkan mendapat 'Severe Jaundice'.

Rabii'ah dimasukkan ke Nursery Intensive Care Unit (NICU) Hospital Putrajaya. Para doktor dan jururawat bertungkus lumus dalam usaha mereka menyelamatkan Rabii'ah. Dua mesin foto dan dimasukkan air khas untuk nyahkan kuning Rabii'ah. Saya juga diminta menandatangani satu borang membenarkan pihak hospital melaksanakan transfusi darah / Exchange Transfusion (ET) sekiranya bacaan bilirubin tidak turun banyak. 

Kami diminta meninggalkan Rabii'ah di NICU dan saya diminta berehat di rumah memandangan saya masih dalam keadaan yang sangat lemah. Selama 7 hari saya dan suami berulang alik ke hospital samada untuk menghantar susu badan yang diperah atau sekadar menziarahi Rabii'ah. Selepas 7 hari, saya diminta tinggal di wad ICU bersama Rabii'ah kerana   doktor hendak memantau kenaikan/penurunan berat badannya apabila bersama ibu serta kadar penurunan/kenaikan bilirubin. Setelah 7 hari bersama Rabii'ah di NICU, doktor masih tidak berpuas hati dengan keduanya. 


Papa Berulang-Alik Menziarahi Rabii'ah
Namun, setelah umur Rabii'ah mencecah 14 hari, doktor membenarkan kami keluar dari NICU untuk ke wad biasa di ABC Putrajaya. Alhamdulillah, Rabii'ah nampak sihat walaupun bacaan bilirubin masih lagi di tahap yang membimbangkan. 



Gambar Rabii'ah yang diambil di wad Pusat Bersalin Risiko Rendah (ABC), Presint 8, Putrajaya selepas dikeluarkan dari NICU. Rabii'ah nampah lebih berisi. Kelihatan Kesan Cukur di Kepala  untuk Dr ambil Sampel Darah Memandangkan Sukar Untuk Dr Ambil Di Tangan atau Kaki...(Atau dah Terlalu Banyak Di Kaki dan Tangan).
Saya teringat kata-kata seseorang semasa saya berada di hospital. 'Jika ingin mengubati sesuatu penyakit, bersedekahlan, kemudian berubatlah'. Saya lupa siapa yang mengatakannya tapi disebabkan ia berlaku di bulan Ramadhan, saya anggap ia adalah ilham dari Tuhan yang Menciptakan. Lalu saya memalumkan kepada suami bahawa saya sudah bernazar untuk korbankan seekor kambing menggunakan 1 dinar yang saya ada. Alhamdulillah, Saudara Azri dari Klang telah sudi menukar 1 dinar KGT saya dengan fiatnya sebanyak RM720.


Setelah keluar dari wad, saya telah memberikan Rabii'ah sepenuhnya susu ibu atas nasihat doktor. Namun demikian, saya sedar yang Rabii'ah mudah terlena apabila menyusu terus dari badan. Saya telah memerah dan suakan susu dengan botol. Amat mengejutkan kerana Rabii'ah minum seperti seorang yang sangat dahaga. Malah, Rabii'ah sangat kuat minum sehingga susu rasa seperti tidak cukup untuknya. 



Pada umur Rabii'ah 30 hari, kami berada di Kelantan iaitu tanggal 2 Syawal 1433H. Kami sekeluarga termasuk ibu mertua membawa Rabii'ah ke klinik Dr Nik Tanah Merah untuk suntikan imunisasi. Kami juga telah menimbang berat Rabii'ah dan saya terkejut kerana berat badannya turun sedikit iaitu 3.7kg. Atas sebab itu, sekembalinya kami ke kediaman di Bandar Saujana Putra, saya mengikut hati naluri membeli susu formula SNOW untuk diberikan kepada Rabii'ah diselangseli dengan susu saya (bukan atas nasihat dotor). 


Pada umur Rabii'ah 60 hari, saya membawa Rabiiah kembali berjumpa doktor di Hospital Putrajaya. Berat badan Rabii'ah naik sedikit iaitu 0.4kg lebih sikit dan saya menerangkan kepada doktor situasi Rabii'ah yang enggan menyusu dengan bersungguh-sungguh apabila disua dengan susu ibu terus dari badan dan susu perah yang semakin berkurang akibat permintaan Rabii'ah yang sangat tinggi. Saya juga berterus-terang dengan doktor bahawa saya juga telah memberikan susu formula untuk Rabii'ah. Berpuas hati dengann penjelasan saya, doktor membenarkan saya terus memberikan susu formula untuk melihat perkembangan berat badan Rabii'ah.

Benar, pada umur Rabii'ah 90 hari, berat badannya telah mencapai 6kg. Alhamdulillah. Ia mungin hasil penyusuan yang banyak sehingga 5oz ke 7oz sekali minum. Doktor kagum namun menasihatkan agar agar mengurangkan sedikit susu takut obese.

Senyuman Yang Diharapkan Akhirnya Terbit di Wajah Anak Ini
Sehingga ke saat ini, saya masih lagi takjub dengan kuasa ilahi kerana peristiwa ini telah mengajar saya tentang kehebatan/kekuasaan Allah SWT. Keyakinan saya dengan kuasa Allah, Rahmat dan Kasih Sayang Allah mendorong saya berdoa dari lubuk hati yang terdalam, dengan air mata yang tidak putus mengalir, di Bulan Ramadhan yang hening di kerusi pelawat, NICU Putrajaya semasa 5 hari dalam pantang. Sesungguhnya Allah telah memakbulkan doa saya melihat Rabii'ah sihat kembali. Alhamdulillah.





Thursday, July 26, 2012

Kelahiran Baru


Alhamdulillah saya selamat melahirkan anak ke-4 kami. Bukan untuk berbangga atau apa, sekadar berkongsi cerita, pengalaman dan juga pengajaran untuk diri sendiri dan juga pembaca blog saya. 

Kelahiran kali ini adalah pengalaman pertama di Hospital Bersalin Berisiko Rendah, Putrajaya yang baru dibuka. Anak perempuan, 3.84kg lahir pada jam 6.35 petang, sebelum waktu berbuka puasa. Alhamdulillah, sempat para jururawat selesaikan tugas mereka seterusnya bersiap-siap untuk berbuka puasa. Begitu juga dengan suami, dapat berbuka bersama saya di Bilik Bersalin.:)

Ceritanya, pada sebelah pagi, rasa berat badan macam biasa, nak berjalanpun terkial-kial tapi dalam hati rasa akan bersalin pada hari tersebut. Jam 10 pagi, turun tengok suami menyusun rumput karpet kami yang baru. Saya turut tolong suami susun rumput dalam hujan renyai yang sejuk itu... merangkak-rangkak kerana teruja dengan rumput baru yang segar. Damai rasanya. 

Sebelum waktu zohor, memaklumkan kepada suami bahawa saya ada terasa contraction yang rigan dan mencadangkan kepadanya utk ke hospital. Setelah selesai solat zohor, contraction semakin dapat dirasai namun masih lagi enjoy the sensation..:). Alhamdulilllah tiba di Hospital Putrajaya dalam 2.30 petang. Jururawat dan Doktor bertugas memberitahu bahawa bukaan adalah 3cm. Memandangkan rekod kesihatan adalah baik dan berisiko rendah, saya dirujuk ke Alternative Birth Centre (ABC) yang baru iaitu, Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Presint 8, Putrajaya. Saya mohon suami hantar sendiri ke sana memandangkan keadaan saya masih lagi stabil dan contraction pun belum benar-benar kuat. 

Suasana ABC ni saya gambarkan sebagai sebuah desa yang damai, tiada hiruk-pikuk kecemasan dan keseriusan…apa yang disediakan adalah semua tempat yang mendamaikan untuk seorang ibu bersalin. Sangat menenangkan. Kami tiba di sana pada jam 4 petang dan setelah pemeriksaan dibuat serta menunggu proses pendaftaran dan sebagainya, jam 5 saya dihantar ke wad, hanya di tingkat bawah (ground floor). Tatkala itu sudah dirasakan contraction yang kerap dan lebih lama. Jururawat yang bertugas memberitahu, saya akan diperiksa lagi 4 jam kerana bukaan semasa pendaftaran di ABC masih 3cm. Atas sebab itu, saya mencadangkan kepada suami untuk ke Bazar Ramadhan di Presint 2 (paling dekat) utk beli juadah berbuka...niatnya sempatla berbuka sebelum bersalin.

Tak sampai lima minit suami saya pergi, saya rasa contraction berterusan dan tidak tertahan lalu cepat-cepat panggil jururawat periksa bukaan. Rupa-rupanya bukaan sudah mencapai 7-8cm. Hebat betul konsep "Banyak Berjalan Sebelum Bersalin" ni..Memang Mempercepatkan Kelahiran. Dengan segera saya berjalan ke Bilik Bersalin diiringi jururawat bertugas. Alhamdulillah, bukaan sudah betul-betul mencapai 8cm. Telahan saya pada masa itu tidak sempat untuk suami saya sampai Tapi Alhamdulillah, suami saya sampai sebaik sahaja saya dibenarkan untuk PUSH!.


Tepat jam 6.25 petang, saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.84kg. Walaupun berat, tapi inilah proses kelahiran yang paling mudah pernah saya alami. Kaedah banyak berjalan sebelum bersalin juga banyak membantu sebenarnya. Selain daripada itu, saya hanya berserah kepada Allah dalam perhubungan saya dengan sesama manusia terutama sekali dengan suami dan ibu bapa (jika masih ada). Bagi saya ia memberi kesan dalam proses kelahiran. Namun, setiap orang sudah tentu mempunyai pengalaman yang berbeza-beza. Saya mempunyai seorang kawan yang bersalin normal tanpa koyakan langsung bagi keempat-empat anaknya seberat 4kg!. Miracle bukan?.