Showing posts with label Lessons. Show all posts
Showing posts with label Lessons. Show all posts

Friday, December 4, 2015

Lumrah

Mode : Nasihat Kepada Diri Sendiri Yang Pendosa tapi Mahu ke Syurga, di samping Bahagia dan Kaya di Dunia
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kebanyakan masa, kita segan/malu untuk meluahkan kata hati atau isu yang membelenggu diri sendiri sedangkan ia perlu bagi meleraikan kebuntuan, melapangkan fikiran yang kusut atau menyelesaikan masalah yang dihadapi. Samalah dengan kamu. Seandainya terbukti kamu berada dalam keadaan tidak menentu, tidak berdisiplin, tidak mengendahkan tanggungjawab, sebaliknya menyibukkan diri dengan FB atau menunggu mesej-mesej daripada sesiapa yang tidak khusus. Kamu membuang masa, mengendahkan suruhan Yang Maha Kuasa. Ia mungkin satu dosa, seandainya kamu tidak cuba mengatasi kekusutan tersebut. 

Paling teruk keadaan kamu apabila mengharap kepada yang haram (suami orang, teruna orang, gadis orang, isteri orang) untuk menghiburkan hati yang lara. Dosa besar, itu. Tapi kamu manusia, walaupun tahu ia berdosa, kamu tetap mengizinkan ia menguasai dirimu. Bukankah kamu masih ada diri sendiri untuk disayangi, saudara-saudara yang memerlukan, kawan-kawan yang sentiasa mengingati. Apatah lagi, kamu seorang isteri yang masih punya suami, suami yang bijak, hensem, malah sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup bersamamu beserta anak-anak yang dikurniakan Allah untuk kamu berdua.

Betapa kita tidak cuba mencari bahagia yang dihalalkan Allah. Bahagia kerana Allah, maksud saya. Syukur dengan takdir Allah, itu satu suruhanNya yang jelas. Hati kamu mudah dibiarkan sepi, sedangkan bahagia itu perlu dicari dan diselongkar dalam konteks yang halal itu tadi. Penderitaan yang sedikit itu, LUMRAH! Baiklah telan sahaja penderitaan yang sedikit itu bagi membuka ruang pahala untuk diri mengejar kebahagiaan di akhirat. Dunia ini sekejap saja. Senang, susah bersilih ganti, itu LUMRAH! Tidak boleh diubah aturan Allah Yang Maha Kuasa. 

Ubahlah diri kamu, sikap kamu, fikiran dan hati kamu agar menyelongkar bahagia dalam ruang ketentuan Allah Yang Maha Kuasa. Ia ada di sana. Selidiki ia, fahami ia, tentu kamu akan beroleh kebahagiaan hakiki di sana, dengan redha Allah Yang Maha Kuasa. Bukankah kamu berjanji, menjadi insan kecintaan Allah SWT? Bukankah kamu tahu, Allah SWT tidak membebani hambaNya dengan bebanan yang tidak mampu dihadapi olehnya? Bukankah kamu yakin, bahawa susah dan senang itu bersekali? Mengapa kamu mengharap kepada sesuatu yang terlalu indah, sedangkan kamu tidak bersedia untuk menghadapi dugaan yang bakal disertakan dengannya? Kenapa kamu masih dalam angan-angan kosong? Bukankan kamu berjanji untuk berusaha seperti mereka yang berjaya dan kaya?

Kamu yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada orang miskin atau tersingkir dalam pelajaran, tapi usaha kamu? Ukur usaha kamu, penat lelah kamu, masa yang kamu habiskan. Bandingkan dengan mereka yang menjadi contoh kepada kamu. Mereka yang berjaya, yang kaya. Mana mungkin sikap lemah dan berlengah-lengah kamu menjanjikan kejayaan dan kekayaan. Kamu berjanji mahu menjadi manusia yang benar, yang diredhai Allah Yang Maha Kuasa. Tumpahkan peluhmu, keringatmu, masamu melakukan sesuatu yang bermanfaat untukmu, keluargamu, kerjayamu dan segala yang kamu inginkan.

Ingat, Allah SWT sudah berikan kamu segala-galanya yang pernah kamu inginkan dulu. Sekarang, syukurilah ia, hargailah ia, bahagiakanlah mereka sebagai makhluk Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Jagalah semua harta bendamu dengan cermat, agar sampai masanya nanti ia bakal menjadi suatu yang bernilai, untukmu atau orang lain. Allah sukakan keelokan, kecantikan dan keindahan, selagi kamu mampu usahakannya. Tiada cacat celanya tentang dirimu, sempurna segalanya. Hanya bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa melemah-lemahkan semangat girangmu mensyukuri ni'mat Allah SWT. Usahlah biarkan nafsumu dikuasai syaitan yang direjam itu. Tiada yang elokpun tentang perlakuan yang mendapat telunjuk makhluk yang dilaknat itu. Buruk kesemuanya. Nilaikanlah ia.

Sempurnakanlah kembali akhlakmu, keikhlasanmu, keelokan ciptaan Allah terhadapmu, kebahagiaan suami dan anak-anakmu, tugasan PhDmu, dan silaturrahim antara kamu dengan darah dagingmu serta darah daging suami dan anak-anakmu. Ia wajib, ramai yang tidak mahu raikan perhubungan yang wajib, disibukkan dengan hubungan yang sementara apatah lagi yang haram, dengan pelbagai alasan. Alasan memenuhi tuntutan jiwa yang telah hanyut. Hanyut dalam dodoian syaitan yang terlaknat itu. Kamu berasa derita tentang sesuatu, sedangkan Allah mahu berikan ganjaran dengannya. Ganjaran yang tidak terfikirkan oleh kamu. Kamu berasa bahagia tentang sesuatu, sedangkan Allah sedang murka denganmu, jadi ukurlah kebahagiaan itu mengikut aturan Allah Yang Maha Kuasa.

Bersyukurlah dengan tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab itu, wahai insan. Allah SWT Maha Adil, dan tiada sesuatupun yang terlepasa daripada pandanganNya. Bersyukur dan redha dengan segalanya tentang dirimu dan berlapang dada dengan ni'mat yang diperoleh orang lain. Itulah redha yang agung. Redha menurut aturan Tuhan Rabbul Jalil, redha yang menyemai bahagia di kemudian hari, redha yang menghiasi jiwa, terpancar di wajah yang mulus, kurniaan Allah Yang Maha Kuasa. Cuba senaraikan segala pemberian Allah dan penderitaan yang kamu hadapi. Adakah ia tidak mampu kamu hadapi? Ni'mat apakah lagi yang ingin kita dustakan? 

"Wahai Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia, ampunilah segala kesalahanku baik yang dahulu, kini dan akan datang. Cucurilah rahmat ke atas roh kedua ibu bapa kandungku, ampunilah segala dosa kedua ibu-bapa mertuaku, dosa anak-anakku yang akan datang, dosa adik-beradikku, dosa sahabat-sahabatku, dosa sekalian umat Islam seluruhnya. Kami adalah pendosa, walau kami cuba berakhlak mulia. Ampunilah hambaMu ini Ya Allah".

Tuesday, November 24, 2015

Ia Hanyalah PhD


Bukanlah PhD tidak signifikan, Prof Dr MKI sendiri menyatakan bahawa PhD adalah signifikan. Cuma PhD adalah satu perkara signifikan yang kecil dan ia hanyalah PhD berbanding sebuah kehidupan yang sedang kita hadapi. Jadi, maksud 'ia hanyalah PhD' bukan bermakna ia tidak signifikan, tetapi melalui pandangan yang lebih luas, ia hanyalah sebahagian daripada rutin harian bersama dengan rutin-rutin wajib yang lain. Makna kata, dalam sehari, pelbagai aktiviti yang perlu dilakukan, samada wajib, sunat, harus dan sebagainya termasuklah kegiatan berkait PhD samada menulis tesis, berfikir, membaca dan sebagainya.

Semester 1 : 23 Ogos 2013 - 22 Februari 2014

Semester pertama dilalui dengan penuh pengharapan; harapan mekar bak bunga mawar yang mengembang, bersama semangat yang menyala-nyala. Persiapan perlu dilakukan dengan lengkap, segala kekurangan cuba dipenuhi dengan sebaiknya. Pelbagai bahan dalam sumber journal yang berbeza dikumpul dan ditelaah untuk memahami apa maksud 'intangible cultural heritage'. Bukan setakat perlu memahami apa itu mak yong, tetapi juga maksud 'mukei bunkazai' dalam pemahaman orang Jepun. Pening juga walaupun sekadar mencari maksud. Maka, deraf Chapter 1 selesai bersama kekurangan yang diperbaik dari masa ke semasa.

Dalam semangat yang berkobar-kobar memulakan langkah PhD, diri diuji dengan kelahiran Rabii'ah yang memerlukan perhatian yang lebih dek tahap kesihatannya yang tidak boleh diduga, bermula dengan 'severe jaundice' yang menyerangnya seawal umur lima hari. 

Semester 2 : 23 February 2014 - 22 Ogos 2014

Seawal Rabi'ah berumur lima hari (27 Julai 2012), pelbagai komplikasi berlaku bermula dengan 'severe jaundice', kemudian PDA, tight tendon dan akhirnya audio problem. Hampir dua tahun berlalu, barulah diri berasa sedikit lega dengan perkembangan Rabii'ah yang positif. 27 Julai 2012 - 26 Julai 2014 dilalui dengan penuh susah payah dengan temujanji di Klinik Paediatrik, Hospital Putrajaya, untuk rawatan susulan 'severe jaundice' dan 'audiologi'; Klinik Paediatrik, Hospital Serdang, untuk rawatan susulan jantung (cardiac) bersama pakar jantung kanak-kanak dan rawatan susulan untuk 'tight tendon' di hospital yang sama di Klinik Ortho bersama Dr Dev.

Kerja PhD diteruskan dengan hati yang walang, dibantu penyelia yang cukup memahami keadaan diri yang dibebani dengan tanggungjawab yang besar mengemudi sebuah kehidupan merawat dan membesarkan anak-anak.

Walaupun diri bergelumang dengan susah-payah mengurus anak-anak dalam kesibukan suami bekerja, diri tega meneruskan kerja-kerja PhD dan cuba membentang kertas cadangan di peringkat fakulti. Walaupun penyelia belumlah benar-benar merestui keinginan diri untuk berbuat demikian, diri berasa masa berlalu cukup lama untuk menunggu lebih lama. Lantas, dalam kekalutan mengurus hal ehwal anak-anak dan diri yang semakin tidak terurus, kertas cadangan dibentangkan, namun gagal dan perlu dibentangkan semula. Diri amat tertekan.

Semester 3 : 23 Ogos 2014 - 22 Februari 2015

Mengapa harus tertekan? Rupa-rupanya diri masih belum faham apa maksud pengajian PhD. Printlah beratus-ratus artikelpun, bacalah berpuluh-puluh artikelpun, jika masih tahap untuk mengetahui dan memahami, belum mencapai tahap pengajian PhD. Politik juga kena pandai. Siapa jadi panel, bagaimana pendekatan panel. Apa pula pendirian calon? Jika tiada pendirian, apa motif meneruskan pengajian PhD? Sungguh diri belum faham dan menyalahkan penyelia. Disogok pula dengan umpat keji sebahagian manusia yang mengaku ahli akademik ke atas penyelia, diri sampai hati untuk memohon pertukaran penyelia. Diri amat tega, amat kusut dan amat kecewa. Namun, diri masih waras untuk mengambilkira pendapat dekan yang amat mengenali penyelia. 

"Dalam hidup ini, ada perkara yang kita tak boleh tolak, kita perlu terima dengan hati terbuka, redha dan hadapinya. Suami, anak-anak, keluarga adalah hadiah Allah untuk kita, hadapinya dengan baik. Kerja PhD masih perlu dilaksanakan dalam konteks kehidupan tersebut. Fokus bukan bermakna perlu mengendahkan keperluan keluarga, fokus/concentrate bermaksud akal, hati dan jiwa bersatu untuk menyegerakan tugasan dalam setiap masa dan ketika yang mengizinkan serta menolak hal-hal yang boleh ditolak (selain keluarga)".

Bersama restu penyelia, diri berjaya membentangkan kertas cadangan pada Oktober 2014 dengan pembetulan minor. Banyak lagi yang perlu diusahakan dan diri masih tercari-cari maksud yang tersirat di sebalik nasihat penyelia yang sentiasa menasihati agar laksanakan 'active reading and writing', 'copypaste', 'rephrase', asking, 'so what' banyak kali. So what? Sikit-sikit, "so, what?" naik menyampah tau. Nafsu sentiasa membantah, tapi jihad menuntut ilmu perlu diperteguhkan. Zikir saban waktu, duha tahajjud sudah jadi amalan. Siapa yang mampu menolong diri yang masih lemah dalam bidang penulisan dan pembacaan bahan-bahan tulisan berbentuk falsafah yang sukar dihadam itu? Perlu ke faham semua? Siapa nak tolong? Penyelia hanya menyelia, diri yang perlu bentangkan hasil kerja kepada penyelia. 

Susah payah dalam 'active reading and writing' yang melibatkan proses 'copy and paste' serta 'rephrase', 'synchronize', 'evaluate' dalam konteks kajian merupakan satu disiplin yang benar-benar berguna kepada bukan sahaja akal, tetapi juga jiwa yang mahu bebas daripada sifat culas nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada sifat mundur, iaitu; malas, beralasan serta menyalahkan orang lain. Ibarat sebilah parang yang sedang diasah, semakin lama semakin tajam dan akhirnya diri faham apa maksud 'rigour' dalam pengajian peringkat PhD, mengikut kaedah kajian (research methodology) masing-masing.

Dalam tempoh ini, jiwa juga semakin dekat dengan Allah SWT dan alhamdulillah dengan keizinan penyelia, diri dan suami ke Makkah menunaikan umrah dan ziarah di Madinah. Bayangkanlah apa yang diri doakan di sana. Salah-satunya, tentulah supaya diri teruskan usaha, tidak berputus asa serta yakin dengan ketentuan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Inilah jihad sebenar. Jihad melawan nafsu dengan menuntut ilmu sambil mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wallahua'lam.

Semester 4 : 23 February 2015 - 22 Ogos 2015

Diri terus bersama penyelia yang sudi memaafkan keterlanjuran diri ini. Namun, diri terkadang leka, diuji dengan keterujaan membeli hartanah sehingga banyak masa terbiar dengan ke sana ke mari melihat tapak bersama suami, walaupun hati rasa bersalah kerana tidak menulis. Dugaan ini sangat hebat sehingga diri bercadang mengajar secara separuh masa. Apabila diketahui penyelia, ia dibantah, lalu diri menurut tanpa banayk soal. Diri tahu penyelia benar, diri yang terlanjur membazirkan masa dan wang untuk hal tidak perlu sedangkan tanggungjawab yang ada perlu diselia dengan bijaksana. Satu pengajaran hebat untuk diri yang bakal dianugerahkan 'ijazah kedoktoran'. Mana mungkin seorang sarjana memiliki sifat cuai, tamak, boros, terburu-buru dan menuruti hawa nafsu serta mementingkan dunia semata-mata? Mana sifat tawaadu', tekun dan sifat berfikir sebagai amalan saban waktu? Sungguh, diri dibina dan diuji.

Semester 5 : 23 Ogos 2015 - 22 Februari 2016

Menghadap komputer kadang seperti zombie. Itu, alhamdulillah. Menghadapi anak-anak tatkala mendapat idea menulis adalah satu cabaran yang pada mulanya sukar, lama-kelamaan menjadi hal yang biasa, malah menyeronokkan. Anak-anak dan suami bukanlah gangguan, tetapi sebahagian daripada keseronokan menyiapkan tugasan. Mereka adalah warna-warna kehidupan, ibarat rama-rama dan lebah yang hinggap pada bunga-bunga di taman. Ia menjadikan diri seorang manusia, manusia yang lebih sabar, lebih redha, lebih rajin, menepati masa, berdisiplin, menghormati orang lain, lebih mengenali manusia. Paling penting, perjalanan hidup sebagai calon PhD ini membentuk sebuah peribadi yang unik yang akan berkekalan sampai bila-bila. Ia seolah-olah satu latihan disiplin diri jangka masa panjang untuk seorang yang mahu gelarkan dirinya seorang ahli akademik, pada masa yang sama seorang isteri, seorang ibu dan seorang wanita. Hakikatnya, diri sedang mengusahakan apa yang pernah diimpikan sejak umur 13 tahun, 'mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang akademik tetapi berjaya mengekalkan sifat seorang wanita dan bertaqwa kepada Allah'. Alhamdulillah.

Diri redha walaupun masih bergelumang dengan chapter 2 dan 3 kerana sudah memahami apa itu PhD (theoretical). Yang penting teori tidak bertukarlah kan! Merangkak-rangkak menyiapkan chapter 4 dan 5 juga, bersama sinar harapan dan kejayaan. Tidak kira masa dan di mana, kerja 'active reading and writing' perlu dilaksanakan agar idea tidak lari, agar proses menjadi lancar, agar momentum tidak hilang. Walaupun hanya memperbetulkan footnotes atau semakan bahasa, sehari sekurang-kurangnya sejam perlu diberikan terhadap kerja PhD. Berfikirlah, biarpun sedang memasak! Apa salahnya berfikir kan? Bukankah diri bakal scholar? Ia hanyalah PhD, hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup berbekalkan pengalaman yang menjadi pengajaran terbesar dalam hidup, selain tunduk patuh kepada Allah SWT dan menghormati penyelia sebagai guru.

Sekarang, November 2015, bakal mengakhiri 2015 sebulan lagi. Sebulan yang akan disibukkan dengan urusan penyediaan keperluan sekolah dan tadika anak-anak. Suatu rutin yang menyeronokkan serta mencabar. Yuran, uniform sekolah, buku, alatulis, ulangkaji surah-surah dan hadith yang telah dihafaz oleh anak serta masa yang perlu diluangkan untuk anak di kala cuti sekolah. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan diri yang juga mahu menyudahkan tugasan menulis tesis, cuba menulis buku bukan akademik, menulis artikel akademik untuk dibentangkan serta lain-lain aktiviti yang perlu untuk kegiatan PhD. 

Kepada Allah jualah tempat diri menanam impian, berharap dan berpaut agar segalanya dapat dilalui dengan yakin, sabar, syukur serta ikhlas. Semoga diri berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Semester 6 : 23 Februari 2016 - 22 Ogos 2016

Doakanlah diri ini dapat melalui tempoh terakhir PhD dengan penuh rigour agar diri puas dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang menjadi bekal kepada kerjaya akademik pada masa akan datang. Seandainya perlu untuk extension, diri tidak kisah, asalkan jalan yang dilalui adalah lurus, menuju ke puncak jaya, ibarat sang kura-kura yang berlumba dengan si arnab, pemenang adalah si kura-kura yang melangkah penuh istiqamah, bersih jiwa daripada sifat angkuh, sombong dan malas. Aamiin.

Thursday, September 17, 2015

MAAF DARIPADA DCF3060

Tulisan ini khusus saya tujukan kepada warga Bandar Saujana Putra yang dikasihi. Tujuan tulisan digarap adalah untuk memohon maaf kepada semua pengguna jalanraya yang pernah terkesan dengan tindakan saya memandu menggunakan laluan kecemasan ataupun lain-lain sebab yang tidak disengajakan. Maafkan saya atas segala kesalahan dan kesilapan saya yang lalu dan saya berjanji untuk tidak melakukan kesilapan yang sama buat kali yang ke seterusnya. Saya benar-benar insaf dan sedar.

Akhir-akhir ini, keadaan trafik dari BSP keluar menghala ke roundabout seterusnya ke Shah Alam semakin sesak dan semakin banyak kejadian yang tidak diingini berlaku. Hari ini, sebuah van sekolah terbalik dan menyebabkan trauma kepada anak-anak kita. Walaupun kejadian itu tiada kena mengena dengan DCF3060, saya amat terkesan. Selama ini saya hanya mementingkan diri dan mengharapkan untuk cepat sampai ke sekolah anak-anak walaupun ia mengganggu penunggang motorsikal dan kereta yang lain.

Permohona maaf ini bukan untuk cari publisiti murahan, tapi permohonan maaf yang sejujurnya terhadap sesiapa sahaja yang terkesan dengan pemanduan saya. Saya tidak mahu tujuan saya menyewa kereta ini untuk berbakti kepada keluarga bertukar kepada membawa bencana kepada diri sendiri, keluarga dan orang lain. Dengan itu, maafkanlah saya.

Kepada yang selalu suka guna laluan kecemasan atas sebab-sebab yang tidak kecemasan seperti saya, hentikanlah sebelum terlambat. Sama-samalah kita bersabar dan redha dengan keadaan trafik di BSP. Pihak berwajib tentunya telah memikirkan cara penyelesaian kepada permasalahan ini, cuma prosesnya tentu memakan masa. 

Wassalam wbt.

Wednesday, September 16, 2015

Dugaan Yang Dinikmati

Ini ialah kesinambungan kepada tulisan saya bertajuk "Meniru Untuk Fasih" dan "Apa Pendapat Anda" berkaitan pengalaman peribadi memperkasa kefasihan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

Nota: Saya ingin mempastikan bahawa pembaca budiman sekalian maklum bahawa penulis blog seperti saya masih mentah dalam bidang penulisan dan penulisan blog adalah salah satu caranya untuk menggarap idea-idea sendiri melalui pengalaman sendiri menjadi satu bentuk penulisan ke arah menghasilkan penulisan yang berkualiti pada masa depan. Teguran membina amatlah dialu-alukan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap manusia diuji, begitu juga dengan saya sebagai Muslim yang mengaku mencintai al-Quran. 

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya ada bincangkan tentang kaedah untuk fasih dalam bacaan al-Quran dan meniru bacaan orang lain sebagai kaedah permulaan untuk memperbaiki bacaan sendiri.

Di sini, saya ingin berkongsi dugaan yang saya hadapi sepanjang saya menunujukkan kecintaan saya terhadap al-Quran.

Pertama: Fitnah. Saya difitnah leka dengan al-Quran sehingga mengabaikan usaha keduniaan demi untuk kemaslahatan hidup di dunia. Ya, benar. Kadangkala saya sangat leka dengan al-Quran sehingga saya melupakan dunia seluruhnya; enggan bersosial, enggan keluar makan dengan kawan-kawan, enggan mengulangkaji sampai lewat malam, enggan bergelak ketawa sebagai cara menghiburkan hati bersama rakan-rakan atau saudara mara, dan banyak lagi. Tapi, persoalannya, masalah kita manusia ni sama ke? TAK. Tahap bebanan setiap manusia ni sama ke? TAK. Jalan penyelesaian untuk semua masalah manusia itu sama ke? TAK. Saya yakin ramai yang buntu dalam mencari penyelesaian dalam permasalahan hidup mereka (seperti juga saya). Masalah yang bagaimana? Yang merangkumi segala aspek kehidupan baik kewangan, hubungan persaudaraan dan diri sendiri melibatkan fizikal, spiritual dan emosi (perasaan). Tahap bebanan yang diberikan adalah berbeza dan kemampuan untuk menghadapi semuanya juga adalah berbeza, bukan? jadi, bukankah adil sekiranya saya menyatakan di sini bahawa saya perlu leka mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu dalam keadaan dan masa-masa tertentu atas keyakinan bahawa ia adalah penawar bagi jiwa manusia (saya)?

Kedua: Nafsu dan syaitan. Kita semua maklum bahawa tiada musuh yang saling bahaya iaitu syaitan dan nafsu. Namun bagi saya, dugaan nafsu itu sangat besar kerana ia berada dalam diri sendiri, tidak nampak dan tersembunyi dalam kurungan iman yang kukuh. Keadaan iman pula bergantung kepada tahap keikhlasan saya mentaati Allah SWT. Ikhlas pula perlu dihambat dan diselongkar dalam jiwa sendiri yang kadang diasak-asak oleh bisikan-bisikan syaitan yang direjam itu. Peranan syaitan ini sangat dahsyat, wahai pembaca sekalian. Andai tidak berilmu, sudah lama agaknya saya hanyut dalam kelekaan yang berpanjangan (walaupun mengakui mencintai dan membaca al-Quran). Ilmu pula diperoleh dengan usaha disertai petunjuk Allah SWT. Dugaan nafsu dan syaitan ini akan berpanjangan sampailah kiamat. Maka, adil untuk saya katakan di sini bahawa saya yang mencintai al-Quran ini juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat dek terleka dengan godaan nafsu dan syaitan. Namun, adalah perlu untuk dinyatakan di sini bahawa, dosa dan maksiat itu tidak sekali-kali menghentikan usaha murni saya memperbaiki kelemahan-kelemahan saya dalam bacaan al-Quran. Andai dilihat insan seperti saya yang mengakui mencintai dan membaca al-Quran ini turut sama menunaikan qiamullai dan dhuha saban hari, ada yang cepat menjatuhkan hukum; "alimnya Huda", "rajinnya Huda", "alaa, rajin beribadat tapi malas study", "baca Quran tapi bercinta dengan lelaki bukan mahram". Namun, saya terima kata-kata itu kerana itu adalah ujian untuk saya dan saya hadapinya sedaya mungkin sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keimanan. Bukankah qiamullai dan solat dhuha itu juga satu usaha untuk membina benteng diri daripada musuh-musuh utama tadi? baik atau alim seseorang itu biar Allah SWT sahajalah yang nilai. Saya diuji seberat itu kerana mencintai al-Quran, maka saya perlu beratkan lagi ibadat dan keikhlasan untuk perkukuh keimanan. Hati-hatilah dengan kejahatan nafsu. Ia sentiasa mengajak diri kepada perbuatan yang mungkar dan dibenci Allah SWT. Semakin kita mendekati al-Quran, semakin hebatlah dugaan tersebut.

Ikhlas: Saya sentiasa sebut ikhlas dalam tulisan saya. Ya, ikhlas boleh membakar segala keinginan-keinginan duniawi. Ikhlas mencari redha Allah SWT. Hebat ganjarannya kepada sesiapa yang fasih dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Maka, tidak adillah jika ganjaran yang hebat diberi kepada mereka yang sedikit ujian keikhlasannya, bukan? tapi Allah SWT itu Maha Pemurah, sentiasa menganugerahkan banyak-banyak untuk hambaNya yang berbuat baik sekalipun hatinya tidak 100% ikhlas. Ikhlas membantu jiwa kita kuat seterusnya memudahkan usaha untuk cepat fasih. Ikhlas mencintai dan ikhlas melepaskan kecintaan kepada dunia.

Ramai yang berputus-asa. Namun, saya tetap menganggap bahawa dugaan-dugaan ini patut 'dini'mati' kerana bersamanya hadirlah ganjaran Allah SWT buat bekalan hidup di dunia dan akhirat.


Meniru Untuk Fasih

Kesinambungan daripada tulisan saya sebelum ini bertajuk 'Apa pendapat anda?'

Peringatan: Tulisan ini ditulis bertujuan berkongsi kaedah mendapatkan kefasihan membaca ayat-ayat suci al-Quran menerusi pengalaman peribadi. Segala contoh dan ilustrasi bertujuan memberikan kefahaman atau sekadar untuk menjadikan ia menarik. Saya memohon perlindungan Allah SWT daripada sifat UJUB, RIAK dan TAKABBUR dengan usaha saya ini kerana segala sesuatu itu adalah milik Allah Rabbul Jalil.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, terdapat lima (5) kaedah atau usaha yang saya lakukan secara percuma (tidak melibatkan kos) untuk membolehkan saya fasih membaca al-Quran (bukan bertarannum ya) iaitu:

1. Berkeinginan yang tinggi (passionate)
2. Meniru bacaan orang lain (pilih seseorang yang fasih dan rakam bacaan kemudian cuba tiru bacaan dia yang steady tu)
3. Mengulangi pembacaan yang baik berulangkali (ia memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun) bergantung kepada ketekunan masing-masing
4. Mendengar bacaan yang bagus daripada pelbagai orang (Imam Mekah ke, Imam masjid ke atau jiran sebelah rumah). Sekarang youtube ada. Lagi banyak sumber.
5. Ikhlas. Ikhlas ni perlu dikejar sebab kadang ia hilang. Kena cari, kena selongkar jiwa kita. Ikhlas yang dimaksudkan ialah ikhlas untuk mendapatkan kefasihan tersebut. 

Apakah yang mendorong saya untuk ikhlas mendapatkan kefasihan membaca ayat-ayat suci al-Quran? Cuba bayangkan ini. Seorang gadis bernama Huda (sayalah tu!) contohnya diajar supaya mencintai Islam dan al-Quran. Jadi setiap kali dia hadapi masalah yang buatkan jiwanya tertekan, tiada tempat mengadu (sebab Mak Ayah pun dah tak ada kan) dan sebagainya, Huda buka kitab Agung yang satu ni, Huda baca. Cuba bayangkan bacaan Huda yang kaku dan tersekat-sekat ibarat menunggang basikal di jalan yang berlopak dan berbatu. Sekejap saja sudah mahu menyerah, bukan? ataupun terlena dan al-Quran itu pulalah yang menatap si Huda ni. Hilang 'feel'nya, bukan?

Namun, apabila Huda sudah fasih selepas bertahun-tahun baca dan amalkan kaedah meniru tersebut, Huda tentu lebih seronok membacanya bukan? Nak tahu apa faedahnya apabila sudah fasih? Ini yang saya alami sendiri ya (err...Si Huda tu lah):

1. Senang hafal surah-surah/ayat-ayat penting. Ia diibaratkan seperti mengingati sebaris lagu 'Aku Cinta Padamu' oleh Siti Nurhaliza. "Be...tapa..kucinta...padamuuuu". Senang bukan?
2. Senang amal. Apabila sudah hafal, maka mudahlah untuk saya amalkan dalam bacaan solat. Bukankah solat itu tiang agama? betapa indahnya hidup ini andai kita dapat mengindahkan atau sekurang-kurang menyempurnakan ayat-ayat suci al-Quran dalam solat kita, bukan? Bayangkan kesannya dalam hidup kita?
3. Hiburan kepada diri sendiri (dan juga orang lain yang terpilih). Ya, benar! Saya banyak menghiburkan diri sendiri dengan bacaan saya sendiri tidak kira semasa saya kecewa, sedih atau gembira. Saya tak perlu fikir untuk jumpa kawan berkongsi masalah (1% saja masalah saya cerita kat orang melainkan orang itu ada ilmu yang berkaitan) kerana kawan kadang makan kawan, kesian kan. Saya tak perlu ke panggung wayang atau ke restoran mamak seberang jalan untuk hilangkan stress. (Kos lagi, kan?) Kefasihan juga boleh menjadi penyebab saya menghiburkan orang lain yang terpilih. Saya kata terpilih sebab tidak semua orang suka mendengar bacaan al-Quran ni walaupun Islam. Banyaklah sebabnya (kita bincang dalam topik lain ya). Arwah Mak dan Ayahlah yang paling terhibur dengan kefasihan saya. Apa lagi yang hendak diberikan oleh si anak kepada si ayah dan si ibu selain daripada menghiburkan hati mereka? ia satu pencapaian yang terulung dalam hidup ini. 
4. Senang ajar dan bertalaqqi dengan orang lain. Apabila saya fasih, ramai adik-adik, kawan-kawan dan ahli keluarga yang minta dengarkan dan betulkan bacaan mereka. Secara percuma dapat pahala kan? (sekarang tengah fikir macamana nak buat duit. $$$. Haa! Jangan prejudis!)
5. Boleh jana pendapatan melalui aktiviti atau program yang berkehendakkan individu yang fasih membaca al-Quran. Baru-baru ini saya mendapati ada satu program di UiTM yang memerlukan individu seperti ini iaitu Fasililator Sakhsiah dalam program Minggu Destini Siswa. Ha! Dunia akhirat dapat kan? 

Saya sangat positif untuk memberi dorongan kepada sesiapa sahaja yang punya niat untuk fasih dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran kerana umat Islam yang mengakui keIslaman tanpa memiliki kefasihan dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ibarat Honda Accord edisi pertama 1976 berbanding edisi terbaru 'a new dedicated plug-in hybrid and battery electric models after the introduction of Honda's next generation fuel cell vehicle in 2016' (sumber internet. Hehe). (what?!) Maksud saya, rugilah jika tidak pilih untuk fasih dan berdiam diri sedangkan ruang terbuka luas untuk membangunkan potensi keIslaman kita sebelum kembali menghadap Allah SWT. Ia satu usaha yang murni, gitu.

In syaa Allah, kita akan bincangkan bagaimana untuk menghayati ayat-ayat suci al-Quran dalam tulisan akan datang.

Kalam Allah itu Mendamaikan

Baca Quran
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya jarang bercakap tentang kebolehan yang Allah SWT bagi kepada saya iaitu kefasihan membaca al-Quran. Kenapa? sebab saya fikir orang akan fikir saya menunjuk-nunjuk. Hakikatnya saya takut dengan sifat ujub, riak dan takabbur sehingga menyebabkan hubungan saya dengan manusia lain terjejas. Saya terfikir semula apabila mendengar syarahan Brendon Buchard berkenaan "10 Essentials for a Multi-Millionaire Income ($) Empire". Ha! Kan dah lain macam bunyinya, betul tak? Terus dah saya fikir orang akan kata saya "...nak pergunakan ayat-ayat suci al-Quran demi duit semata-mata" atau "dunia semua tu". Tapi cuba lihat, berapa ramai umat Islam yang fasih membaca al-Quran yang masih lagi dalam keadaan yang sangat memerlukan, ketinggalan dan tidak mampu untuk memberi dorongan kepada orang lain? Maka, kefasihan dan kebolehan mereka (termasuklah saya) hanya terhenti kepada diri sendiri sahaja. Itulah maksud saya.

Semasa saya belajar al-Quran dengan mak ayah dulu, tidaklah sampai berupaya membaca secara tartil dengan alunan yang baikpun. Tapi arwah mak terlalu amat menginginkan anaknya ini menguasai pembacaan al-Quran. Maka dengan itu, dibawanya saya ke kelas-kelas mengaji untuk belajar tarannum. Namun, pada masa itu di mana usia baru mencecah enam (6) tahun, apa yang saya dengar itu ibarat hafalan/hafazan. Apa yang saya peroleh hanyalah tertumpu kepada ayat yang didengar iaitu fasih bertarannum bagi beberapa potong ayat dalam Surah Hud itu sahaja. Begitu juga beberapa ayat dalam surah al-Imran. Nenek saya pernah meminta saya untuk melagukan surah al-Ikhlas, tapi saya tidak berjaya lakukan kerana saya memang tidak boleh menghayati bagaimana caranya untuk fasih dalam membaca keseluruhan ayat-ayat suci al-Quran.

Bacaan saya masih sebegitu sehinggalah saya menjejaki Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat. Bagaimana dan apa yang telah saya lakukan?

1. Saya teringin sangat (passionate) untuk memiliki kefasihan dan keelokan pembacaan Kak Rosni (boleh kata sebagai idola), yang merupakan seorang yang saya kenali semasa saya masih kecil yang pada ketika itu mewakili sekolah untuk pertandingan hafazan al-Quran. Bukan setakat suara yang sedap tetapi juga betapa lancar dan selambanya (lidah lembut) dalam mengalunkan ayat-ayat suci itu secara tartil. Bukan tarannumpun. Ambil saja mana-mana ayat, pastilah dia mampu alunkannya dengan baik dan sedap didengar. Bacaan saya? kaku. Ok, pertama, keinginan mestilah berkobar-kobar.

2. Tiru. Saya selalu dengar Kak Rosni baca Quran di dalam surau dan mendengar bacaan dia di waktu yang lain. Allah mengurniakan saya suara yang sedap tapi tak fasih baca Quran secara keseluruhan. Kak Rosni juga pernah latih saya untuk ke pertandingan tarannum peringkat sekolah. Saya dapat johan tapi ia masih lagi seperti hafalan. Boleh untuk ayat-ayat tertentu, tetapi tidak untuk ayat-ayat yang lain. My brain could not work. Tapi saya sentiasa cuba meniru cara Kak Rosni baca Quran dalam apa jua kesempatan yang saya boleh. Kedua, cubalah meniru bacaan orang lain yang kita suka, secara langsung atau melalui peralatan audio.

3. Ulang. Di sekolah Naim, membaca Quran adalah digalakkan dalam waktu selang Maghrib-Isya, sebelum subuh, hatta semasa tunggu cikgu masuk ke dalam kelas sekalipun. Al-Quran boleh di bawa ke mana-mana sahaja yang boleh. Jadi, setiap hari saya cuba baca sepertimana Kak Rosni baca (tiru) mana yang boleh. Biasalah, apabila meniru, no originality, fake, kaku. Sampai satu tahap, bacaan saya kedengaran sungguh tertekan, membingitkan telinga, membosankan, menyakitkan hati dan sebagainya. Tapi saya teruskan, tanpa mengganggu orang lain. Iyalah, selalunya bacaan yang kurang enak didengar ini boleh mengganggu ketenteraman orang. "Can you just stop it? I am having a heck of the day!" Kadang tu, apabila keseorangan, saya baca sampai tekak saya kering semata-mata untuk mendapatkan feel atau titik kefasihan yang saya inginkan. Apapun kena amalkan sentiasa (praktis).

4. Dengar. Mendengar adalah salah satunya aktiviti yang saya buat ketika saya uzur syarie ataupun ketika saya penat atau hilang suara iaitu mendengar kaset bacaan al-Quran daripada orang lain. Mana yang saya tidak suka saya letak tepi. Target saya masa tu ialah, mencari kaset yang apabila saya dengar, saya berasa tenang dan seronok sambil meniru gaya bacaan, kesinambungan serta keupayaan pembaca mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan indah. Dengar sahaja bacaan-bacaan daripada imam-imam Mekah dan lain-lain. Ia sangat memberikan dorongan secara sedar mahupun tidak.

5. Keikhlasan. Walaupun saya tidak berupaya sepenuhnya memahami ayat-ayat al-Quran yang saya baca, tapi setiapkali saya baca, saya baca dengan penuh perasaan. Baca ikut perasaan (mungkin kerana masih kekurangan ilmu). Hati saya yakin apa yang saya baca itu adalah mesej kebenaran (walaupun tidak memahaminya). Kemudian saya membenarkan ia (walaupun saya tidak faham) dan saya berdoa dengan ayat-ayat kebenaran itu (walaupun saya tidak faham apa yang hendak disampaikan). Ikhlas membenarkan ayat-ayat suci al-Quran dan ikhlas mencintaiNya (walaupun kurang mengenali). Namun, ia sebahagian usaha yang memang tidak sia-sia. Apabila saya ikhlas (ikhlas pun banyak level) mencintai sesuatu yang diberkati Allah SWT, semakin hari saya semakin berkeinginan untuk memahami apa yang tekandung dalam ayat-ayat suci al-Quran itu.

Segalanya dengan izin Allah juga. Saya doakan kita semua menjadi pencinta kalam Allah agar hati kita sentiasa dekat dengan-Nya dan tidak terpedaya dengan dunia yang akan tamat bila-bila masa.

Tuesday, September 15, 2015

Ujub Riak dan Takabbur

Assalamu'alaikum WBT
Kepada pembaca yang budiman, saya ingin memohon maaf seandainya ada di antara tulisn-tulisan saya sebelum ini mempamerkan wujudnya sifat-sifat yang dimurkai Allah. Sesungguhnya saya bertaubat kepada Allah Yang Maha Keras Siksaannya kepada hambaNya yang enggan bertaubat dan menginsafi perbuatan dosa. Semoga Allah Yang Maha Pengampun mengampuni segala dosa-dosa saya sepertimana pembaca memaafkan segala kekhilafan saya.
Pada asasnya, saya menulis untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, ingin belajar mengarang, ingin menyuarakan pendapat, ingin berkongsi teladan. Tidak pernah sesekali saya meniatkan untuk menyombong diri melalui perasaan Ujub, Riak dan Takabbur. Namun, secara tidak sengaja, mungkin ia terjadi. Ya, ujub itu terlalu misteri. Kadang ia seperti jerangkap samar buat diri sendiri.
Saya insan yang lemah. Pada awalnya, saya ingin padamkan semua tulisan saya yang lalu. Namun, setelah memikirkannya semula, saya rasa perlu untuk mengekalkannya semua kerana niat asal saya adalah untuk meluahkan apa yang terbuku sambil belajar mengarang seterusnya berkongsi. Segala teguran akan saya terima dengan hati yang terbuka.
Terima kasih.

Tuesday, September 1, 2015

Doa Mama Sudah Tiada

“Lain macam ni Bie, kena bawa ke hospital” Kata Alyn, sepupu aku yang sedang bercuti. Dia pelajar perubatan, tentu dia faham kondisi  Mama masa tu. Aku pula baru habis belajar LLB. Sedang menunggu keputusan nak masuk LLB (Hons). Cuti semesterlah kiranya masa tu.

Sampai hospital, terus ke bahagian kecemasan. Jumpa Dr Tengku Intan.

“Macamana ni Dr?” aku bertanya kerana belum mengerti apa-apa. "Mama saya bernafas macam ini, Dr boleh tolong dia bagi ok sikit?” sambung aku lagi macam budak baru belajar.

Papa tak ada masa tu sebab papa juga sedang menunggu giliran dan waktu sesuai untuk pembedahan injap jantung di Hospital Kuala Lumpur. Namun, papa ada telefon untuk dihubungi dan aku memaklumkan kepada Papa keadaan Mama.

Selepas panjang lebar penerangan Dr yang enggan menjalankan apa-apa prosedur yang dikhuatiri berbahaya, aku  hanya menurut. Abang Rushdan datang ke hospital, tengok Mama.
“Bie, Mama tak lama dah ni Bie.” Katanya tenang. Aku belum faham. Dia mula baca Yaa Sin.

Dr Tengku bagi aku sekeping kertas untuk ditandatangani. Abang Din serahkan kepada aku. Abang Rushdan juga serahkan kepada aku. Aku telefon Papa, “Papa, Dr bagi kertas ni, minta Bi tandatangan, persetujuan bawa balik ke rumah sebab Dr pun dah tak mahu buat apa-apa.” Terang aku. Papa hanya mampu bersetuju. “Takpalah bawak balik” jawab Papa. Aku bimbang juga dengan keadaan Papa tu, penerangan aku boleh buat dia semakin sakit. Aku berserah diri dan perlu berterus-terang.

Aku tandatangan surat itu. Mamapun dibawa balik ke rumah dengan ambulan. Mama masih bernafas macam itu, lama betul Mama nazak. Abang Rushdan, Abang Din, anak-anak saudara yang berdekatan datang kemas ruang tamu, seolah-olah ada majlis yang akan kami hadapi tidak lama lagi. Ya, masing-masing bergilir baca Yaa Sin.
“Mungkin benarlah kata Dr, kita dah tak boleh buat apa-apa lagi dah, tunggu masa ajelah ni.” Hati aku berbisik sendirian.

Semua orang dah tertidur, tapi aku tak boleh nak lena dok sebelah Mama yang bernafas turun naik dari siang tadi, tak henti-henti. Aku tengok muka Mama, aku cakap apapun, Mama dah tak respond macam sebelum ni. Aku penat, aku mengantuk tapi aku tak boleh buat apa-apa. Baca Yaa Sin pun dah berapa round. Last sekali aku mintak izin dengan Mama nak pegi solat Tahajjud. Aku solat, aku berdoa dengan Tuhan,
“Wahai Allah, kasihanilah aku dan kasihanilah ibuku.”
Jam lebih kurang pukul 5.30 kot (hampir ke waktu subuh), aku rasa mengantuk dan minta izin dengan Mama nak lelap sekejap. Belum seminit aku lelap, aku tak dengar apa-apa. Mama dah tak bernafas macam tadi, mungkin dah sembuh dan dapat tidur lena?

“Abang, bangun! Tengok Mama ni.” Teriak aku kat Abang Rushdan yang terlena kat hujung dinding rumah. “Mama ok tak ni Abang?” aku macam masih kebingungan.

“Mama takde doh ni, Bie. Innaa lillaahi wa inna ilaihi raa ji’uun” jawab Abang Rushdan dengan yakin.

Aku tengok Mama, aku cakap, “Oh, Mama dah tak ada.” Aku kucup dahi dan kedua pipi serta peluk Mama, lantas segera sms kepada Abang-abang dan Kakak-kakak yang berada di kejauhan dan menemani Papa di HKL. “Mama dah tak ada”. Ringkas. Aku minta Abang Han bagitahu Papa kerana aku tak sanggup nak bercakap dengan Papa. Lagipun, hari itu 14.4.2004 bakal menjadi hari yang paling sibuk untuk aku. Menguruskan jenazah ibu sendiri.

Arahan demi arahan aku terima daripada Papa untuk aku. Barulah aku tahu, Papa sudah standby duit RM2000 dalam almari untuk pengurusan jenazah dan aku juga terkesima dengan banyaknya duit syiling yang Papa kumpul dalam tab simen tempat untuk memandikan jenazah. Alhamdulillah Abang Rushdan dan Abang Din ada untuk tolong panggil orang-orang yang berkenaan. Aku hanya buat apa yang patut, sebelum kakak-kakak dan abang-abang aku sampai dari jauh.

Rupa-rupanya Papa juga akan balik tengok jenazah. Walaupun dilarang Doktor dan Abang, Papa berdegil nak balik. Papa juga dah tandatangan borang untuk balik atas risiko sendiri, bersama Abang Han dengan kapal terbang.

Jenazah belum dimandikan, anak-anak semua dah sampai. Mengelilingi jenazah. Aku tengok buat pertama kalinya Papa menangis teresak-esak, kemudian Abang Han. Barulah aku mula berasa sedih, namun tak lama.

Kami adik-beradik perempuan bersiap-siap untuk memandikan jenazah. Alhamdulillah, Kak Mar (Kakak Ipar) pun ada membantu. Sewaktu untuk memilih bahagian mana untuk dimandikan, aku telah memilih untuk mengambil bahagian pusat ke lutut kerana aku sudah biasa menjaganya sewaktu Mama masih hidup dan terlantar di atas katil.

Sewaktu pengkebumian, Alhamdulillah, suasana mendung serta angin sepoi-sepoi bahasa. Dingin dan mendamaikan sehingga menjadi buah mulut orang yang menyaksikannya.
"Bie, doa Mama dah tak ada untuk kita." kata abang Han sambil menangis. Aku diam tidak terkata. Menangispun tidak.
99 hari kemudian, 13.7.2004 Papa pula dipanggil Ilahi sewaktu aku baru sahaja kembali ke UiTM untuk menyambung pengajian LLB (Hons).
Aku grad, aku kerja, aku kahwin, aku beranak-pinak, semuanya tidak disaksikan oleh Mak atau Ayah.
Terima kasih Mama, Papa sebab bagi Bie kakak dan Abang yang AWESOME. Waktu Bi konvo, depa datang bersorak kat Dewan Sri Budiman walaupun orang lain dok sopan santun ja kat dalam tu. Time Bie konvo LLM pulak, Kak Su yang sibuk sebagai doctor pun sanggup nak jaga anak-anak Bie yang dua orang dah masa tu. Pakat-pakat jaga kat rumah Abang Han. Time kawin pulak, pakat2 sponsor belanja itu ini. Tak jadi nak nangis.
Cuma bila Bie dah beranak-pinak dan depa juga hadapi perkara yang sama, Bie sedar betapa harunya Mama Papa dah takda. Barulah Bie mula dok nangis macam budak-budak. Allahu.


Friday, May 4, 2012

Ibuku Sayang


Semasa Ibu masih ada, macam-macam ragamku. Tapi Ibu tetap bersabar dan tidak henti-henti berdoa serta berikhtiar untuk kebaikan dan masa depanku.

Ibu tidak pernah menunjukkan rasa kecewa kepadaku. Jika kesilapanku sebesar nakhoda Si Tanggangpun, dia tetap bermanis muka dan berkata, BERTUAHnya anak aku!:)

Ibu, semasa aku remaja, dikau ada menampakkan sedikit kekhuatiran di wajahmu...mungkin dikau tahu dan faham benar dugaan dunia untuk anak remaja sepertiku...atau mungkin dikau sudah tidak berdaya menjadi teman tatkala dikau sendiri sudah tidak berdaya kerana penyakit yang menimpamu. Namun, tidak pernah terluah oleh kata-kata atau perbuatanmu tentang sikapku yang mungkin ada mengguris hatimu.

Ibu, semasa engkau sedang terlantar sakit untuk beberapa tahun, terlintas juga di hati ini untuk rela jika Allah mengambilmu kembali ke sisiNya..."Ya Allah, kau ambillah ibu kerana aku tidak sanggup melihat ketabahan ibuku dalam penderitaan itu berterusan...sedangkan anak-anaknya ini tidak bersamanya dalam perjuangan hidup dan matinya itu!." Pilu mengenangkannya...

Beberapa kali..., tatkala aku pulang menjengukmu, aku merintih sayu..."izinkanlah Ya Allah aku menjaganya kerana tidak sanggup aku melihat periuk nasi itu...pinggan mangkuk itu...bekas lauk itu...dilewati ulat-ulat dek kerana...engkau sudah tidak mampu menguruskan dapur itu!:"'(. Manakan dapur...bedak di wajahmu itu kadangkala aku yang ratakan sambil melihatmu tersenyum!

Ibu, secangkir kopi dan sepiring biskut degil yang aku hidangkan sebaik sahaja aku sampai di rumah... engkau minum dengan penuh ni'mat...katamu, "sudah lama tak ku minum kopi, sedapnya bau dan rasanya!", sambil dikau tersenyum dan memejamkan mata. Dikau tidak tahu, kopi itu telah aku rendamkan dengan air panas selama 30 minit dek kerana serbuk kopi telah bertukar menjadi ketulan kopi! Mungkin engkau terlupa menutup bekasnya beberapa minggu ibu!.

Ibu, dalam tempoh engkau terlantar itu, kata-kata terakhir yang terungkap di mulutmu ialah "Maa...na... A...yah....mu?"....pelat benar tutur katamu...tidak bertenaga...hampir tidak aku fahami... Tapi aku dapat menangkapnya dan terus kujawab dengan sukacita dan terharu akibat terlalu lama tidak mendengar kata-katamu Ibu!...  "Oh, ayah ada di kebun... lama dia tak ke kebun, Bi (namaku)kan ada.." Lalu dikau tersenyum manis..."Masih mampu dikau tersenyum wahai ibu....mungkin dikau sudah lali dengan kesakitan itu!

Setelah kau pergi, seperti ada sesuatu yang menghalangku mengalirkan air mata...mungkin aku terlalu sibuk menguruskan jenazahmu,  menguruskan tetamu yang menziarahimu atau sibuk menguruskan rumahtanggamu tatkala ramai yang berduka dengan pemergianmu...tidak punya masa air mata ini untuk mengalir ibu...walaupun tatkala arwah ayah terisak-isak menahan pilu...abang-abang menahan sedih memandang jenazahmu, kakak-kakak sayu di kalbu...belum hendak air mata tercurah, Ibu!

Tetapi setelah semuanya berlalu, aku kesepian. Mengapa pernah aku berdoa memohon Allah mengembalikanmu kepadaNya?! Kadangkala..ku menyesali dengan permintaan itu! Aku kesunyian Ibu! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun terlantar itu... benar-benar memberi makna dalam kehidupanku! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun tidak mampu berbuat apa-apa...tetap bernilai buatku...lebih bernilai daripada segala yang ada di dunia ini Ibu!...

Kadangkala...aku seperti anak kecil...menangis terisak-isak sendirian, memanggilmu...di malam yang syahdu, atau sambil memandu pulang dari pejabatku! Aku rindukan DOA-DOAmu! Aku perlukan DOA-DOAmu! Siapa yang dapat menggantikanmu menDOAkanku tatkala aku memerlukan doa yang tidak terhijab oleh apapun...!!!

Sekarang aku tahu, mengapa dikau begitu tabah menghela nafas, menahan pedih, menahan derita...kerana tanpa dirimu, doamu, kasih sayangmu... anak-anakmu...kepiluan menahan rindu!!!

Nukilan - Nurulhuda Adabiah Mustafa untuk www.flowersinmymind.blogspot.com dengan izin Suharmi bin Ismail.

Friday, April 20, 2012

Personal dan Profesionalisma

Jam 3.10 pm (waktu kerja). Masa untuk saya membincangkan isu personal dan profesionalisma di kalangan pensyarah. Persoalannya, apa perlunya konsep profesionalima dalam kehidupan di tempat kerja? Mari kita fikir dan renungkan.

Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kemampuan&d=10 (3.15pm), profesionalisme bermaksud sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dll) sebagaimana yg sewajarnya terdapat pd atau dilakukan oleh seorang profesional.

Apakah sifat-sifat yang sewajarnya dimiliki oleh seorang pensyarah dalam mengendalikan situasi yang memungkinkan mereka dianggap tidak profesional? Contoh yang ingin saya kongsikan bersama pembaca ialah berkenaan sikap pensyarah dalam konflik hubungannya dengan majikan dan hubungannya dengan anak yang menjadi mahasiswa/i di tempat kerja.

Bercakap tentang kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan dan sebagainya, saya terfikir bagaimana seseorang pensyarah dalam menghayati ciri-ciri profesionalisma apabila berhadapan dengan kes melibatkan anak sendiri. Contoh kegagalan ini seperti menyalahkan pensyarah yang menegur/mengadu tentang sikap anak, memenangkan anak tatkala pensyarah melaporkan kejadian ponteng kelas dan sebagainya.

Saya tidak menafikan, sifat seorang ibu itu akan membela anaknya dalam apa jua keadaan tetapi, seorang ibu yang bekerjaya dan cerdik pula perlu lebih peka dengan tanggungjawab besar yang digalas sebagai seorang pensyarah. Sekiranya konflik yang berlaku menyebabkan ia menjejaskan sifat profesionalisma pensyarah, maka perlu difikirkan cara paling baik untuk tidak terjerumus dalam konflik sebegini.

Ini kerana, adalah tidak adil menyalahkan pensyarah yang cuba menegur dan memperbaiki kesilapan anak semata-mata dia adalah anak kita, betul bukan? Saya percaya dan yakin, anak adalah dugaan kepada Ibu-Bapa selain menjadi cahaya kepada mata dan permata dalam kehidupan. Oleh yang demikian, seseorang pensyarah yang mempunyai anak perlu memikirkan bagaimana untuk tidak terjebak dalam konflik ini dan tidak terlalu bangga dengan anak sehingga sanggup mengorbankan profesionalisma sebagai seorang pensyarah.

Anak dan Anak-Anak Bangsa adalah Permata Negara