Friday, July 12, 2013

Persediaan PhD 3

Persediaan PhD 1 dan 2 telah berlaku. Kini, usaha menjayakan perancangan serta merealisasikan proses persediaan PhD 3. Proses ini merangkumi penambahbaikan kepada 'literature review' dalam kertas cadangan penyelidikan yang telah diluluskan di peringkat fakulti. Literature review bukan sahaja membuktikan sejauhmana pembacaan penyelidik dalam sesuatu bidang telah dilaksanakan, malah ia menjadi rujukan kepada pemeriksa/supervisor dalam mengenalpasti pakar dan ilmuwan dalam sesuatu bidang. Penting untuk mengenalpasti dan memahami buah fikiran para ilmuwan dalam bidang tertentu agar penyelidik mendapat inspirasi dan buah fikiran dalam meneruskan aktiviti penyelidikan di peringkat PhD.

Selain daripada menambahbaik kertas cadangan berkenaan, saya juga dalam proses menunggu surat tawaran tempat pengajian dari IPSIS UiTM yang dijangka keluar pada 19 Julai 2013 tak lama lagi. Pada masa yang sama, saya juga sedang mengisi borang-borang yang perlu untuk permohonan biasiswa di peringkat UiTM dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini termasuklah  mengisi borang keselamatan yang memerlukan maklumat ahli keluarga dan saudara mara yang begitu terperinci. Lain-lain, tidaklah memerlukan satu usaha yang rumit melainkan segalanya perlu diisi dengan hati-hati dan teliti. Hal ini bagi mengelakkan kerja yang sama dilakukan berulangkali.

Pada asalnya saya cuba untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebelum surat tawaran keluar, tetapi prosedur yang perlu dipatuhi ialah menunggu surat tawaran dikeluarkan kerana ia perlu dibawa ke JPbSM bagi memohon guarantee letter untuk dibawa ke Klinik Kesihatan UiTM bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Kemudian, barulah saya bawa keputusan pemeriksaan, bersama-sama dengan borang-borang yang disenaraikan termasuk kertas rancangan penyelidikan kepada JPbSM semula untuk permohonan biasiswa secara rasmi. In syaa Allah, saya target untuk submit selewat-lewatnya 25 Julai 2013.

Usaha memastikan proses permohonan berjalan lancar memerlukan sokongan dan dorongan daripada suami dan ahli keluarga tercinta. Hal ini pula tidaklah mudah diperolehi melainkan menerusi doa berpanjangan kepada Allah SWT yang Maha Pengasih Penyayang. Tahajjud dan Dhuha dekat dengan hati serta menjadi tempat bermunajat kepada Allah SWT agar usaha sentiasa diberkati dan dipermudahkan. Saya adalah manusia biasa tapi saya tahu Allah itu Maha Berkuasa, Maha Bijaksana. Saya sedar, cabaran hidup datang dari mana-mana sahaja, malah daripada sesiapapun. Namun, saya sentiasa ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan saya sentiasa memohon kepada Allah SWT agar saya sentiasa ditunjuki jalan yang lurus pada setiap saat dan ketika. Kesedaran ini juga adalah sebahagian daripada persediaan saya sebenarnya dari mula lagi.