Monday, September 9, 2013

PhD Preparation 4

Saya melakukan sujud syukur seperti yang saya janjikan kepada diri sendiri apabila mendapat surat tawaran menerusi talian daripada IPSIS. Sukar untuk saya gambarkan perasaan tersebut. Saya berada di 'Resource Centre' pada masa tersebut. Apa yang boleh saya katakan ialah, saya tidak pernah jemu menunggu dan bertanyakan perkembangan terkini samada daripada KPP Siswazah mahupun bahagian penyelidikan IPSIS sendiri tentang status surat tawaran saya. Alhamdulillah, saya lebih yakin dengan sikap saya sebagai seorang yang sentiasa positif dan tidak malu untuk bertanya. Ia akhirnya membuahkan hasil dan menjadikan saya lebih yakin dalam pergaulan saya dengan sesiapapun.

Surat tawaran inilah yang telah saya gunakan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan atas tiga borang yang perlu dihantar kepada Bahagian Biasiswa JPbSM, Bahagian Biasiswa KPT/KPM dan juga IPSIS. Maka, atas nasihat Kak Su'aida Dato'Safei, saya bawa bersama ketiga-tiga borang semasa pemeriksaan dibuat. Maka tidak perlulah saya membuat pemeriksaan sebanyak tiga kali. Ia adalah membuang masa dan duit sahaja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan berjaya dimajukan kepada ketiga-tiga bahagian terbabit. Walaupun saya tidak berjaya mendapatkan pemeriksaan percuma di Klinik Kesihatan atas sebab enggan menunggu tarikh temujanji, tapi saya saya bersyukur sangat saya dapat kejar masa mengikut yang saya inginkan kerana bagi saya, masa itu amat bernilai. Memanglah rasa kecewa kerana saya tidak tahu bahawa perlu untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi melakukan pemeriksaan kesihatan, tapi saya pujuk diri untuk bersabar dan menerima ketentuan tersebut. Namun ia tetap tidak mematikan semangat saya untuk meneruskan misi menyiapkan segala urusan berkaitan dokumentasi demi masa depan saya.

Semuanya berjalan dengan baik walaupun ada sedikit kesilapan dalam tindakan saya kerana gagal menyertakan sekali laporan daripada makmal bersama dengan borang pemeriksaan kesihatan yang saya majukan kepada Bahagian Biasiswa JPbSM. Akibat daripada kecuaian saya itu, saya terpaksa menunda niat untuk hantar dokumentasi lengkap kepada JPbSM dan terpaksa menunggu Isnin 26hb Ogos 2013. Saya tetap berasa kecewa dengan diri saya akibat kelalaian tersebut namun tidak terus menghukum diri sendiri, malah menganggap kejadian itu sebagai suatu yang memberi pengajaran. Ia mungkin perkara kecil kepada sesetengah orang tapi, masa sentiasa menjadi harta berharga untuk saya. Saya tidak kisah jika tidak dapat bersuka-ria di pusat membeli-belah atau bergelak ketawa di taman tema terkemuka, tapi saya akan bersedih hati jika tidak dapat realisasikan matlamat seharian saya.

Selain cabaran tersebut, berlaku peralihan posisi Dekan yang lama kepada yang baru. Semasa saya membuat semakan akhir dokumen berkenaan, saya perasan bahawa saya terlepas pandang dua dokumen yang memerlukan tandatangan dan cop rasmi Pengerusi Lembaga Akademik Fakulti (LAF). Borang tersebut adalah Borang Persediaan Pelajar (KPT) dan Borang Pelepasan Melanjutkan Pengajian. Pada mulanya saya telah bertindak pantas berjumpa dengan Dekan lama pada hari terakhir beliau di pejabat. Namun demikian, atas alasan ketelusan dan integriti, saya maklumkan kepada beliau untuk berikan sedikit masa bagi membolehkan Timbalan Dekan (Akademik) untuk meneliti borang yang memerlukan analisa ke atas kertas Cadangan Penyelidikan saya. Namun demikian, saya terlupa bahawa beliau tidak hadir semasa saya membentangkan kertas Cadangan Penyelidikan di Peringkat Fakulti. Mahu tidak mahu, saya terpaksa berjumpa sekali lagi dengan Dekan lama untuk mendapatkan pengesahan beliau dan alhamdulillah, beliau telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah-bagi walaupun memerlukan beliau buka balik stor untuk mencari Cop Rasmi jawatan beliau sebagai Dekan kerana pada waktu itu, beliau sudah tidak memegang jawatan tersebut. Perlu untuk 'backdated' memandangkan beliau adalah Pengerusi Lembaga Akademik Fakulti yang mendengar pembentangan Kertas Cadangan Penyelidikan saya.

Satu lagi pengajaran bernilai dalam proses penyediaan dokumen ialah "bertanyalah walaupun ia perkara kecil kerana perkara yang kecil itu ibarat pencucuh yang mampu menyalakan api". Tidak bertanya, maka malaplah haluan hidup kita.

Selesai sahaja urusan dokumentasi borang-borang kepada Bahagian JPbSM, saya telah mendaftar sebagai pelajar di Dewan Agong Tuanku Canselor pada 24 Ogos 2013. Semuanya berjalan lancar walaupun terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kad pelajar. Walaupun demikian, saya puji UiTM (IPSIS) yang berjaya menyelesaikan proses pendaftaran pelajar dalam masa satu hari. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya terpaksa ke sana ke mari di UiTM Shah Alam yang sememangnya sukar daripada aspek mendapatkan tempat letak kereta dan realiti yang memerlukan saya turun naik bukit.


No comments: