Alhamdulillah saya selamat melahirkan anak ke-4 kami. Bukan untuk berbangga atau apa, sekadar berkongsi cerita, pengalaman dan juga pengajaran untuk diri sendiri dan juga pembaca blog saya.
Kelahiran kali ini adalah pengalaman pertama di Hospital Bersalin Berisiko Rendah, Putrajaya yang baru dibuka. Anak perempuan, 3.84kg lahir pada jam 6.35 petang, sebelum waktu berbuka puasa. Alhamdulillah, sempat para jururawat selesaikan tugas mereka seterusnya bersiap-siap untuk berbuka puasa. Begitu juga dengan suami, dapat berbuka bersama saya di Bilik Bersalin.:)
Ceritanya, pada sebelah pagi, rasa berat badan macam biasa, nak berjalanpun terkial-kial tapi dalam hati rasa akan bersalin pada hari tersebut. Jam 10 pagi, turun tengok suami menyusun rumput karpet kami yang baru. Saya turut tolong suami susun rumput dalam hujan renyai yang sejuk itu... merangkak-rangkak kerana teruja dengan rumput baru yang segar. Damai rasanya.
Sebelum waktu zohor, memaklumkan kepada suami bahawa saya ada terasa contraction yang rigan dan mencadangkan kepadanya utk ke hospital. Setelah selesai solat zohor, contraction semakin dapat dirasai namun masih lagi enjoy the sensation..:). Alhamdulilllah tiba di Hospital Putrajaya dalam 2.30 petang. Jururawat dan Doktor bertugas memberitahu bahawa bukaan adalah 3cm. Memandangkan rekod kesihatan adalah baik dan berisiko rendah, saya dirujuk ke Alternative Birth Centre (ABC) yang baru iaitu, Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Presint 8, Putrajaya. Saya mohon suami hantar sendiri ke sana memandangkan keadaan saya masih lagi stabil dan contraction pun belum benar-benar kuat.
Suasana ABC ni saya gambarkan sebagai sebuah desa yang damai, tiada hiruk-pikuk kecemasan dan keseriusan…apa yang disediakan adalah semua tempat yang mendamaikan untuk seorang ibu bersalin. Sangat menenangkan. Kami tiba di sana pada jam 4 petang dan setelah pemeriksaan dibuat serta menunggu proses pendaftaran dan sebagainya, jam 5 saya dihantar ke wad, hanya di tingkat bawah (ground floor). Tatkala itu sudah dirasakan contraction yang kerap dan lebih lama. Jururawat yang bertugas memberitahu, saya akan diperiksa lagi 4 jam kerana bukaan semasa pendaftaran di ABC masih 3cm. Atas sebab itu, saya mencadangkan kepada suami untuk ke Bazar Ramadhan di Presint 2 (paling dekat) utk beli juadah berbuka...niatnya sempatla berbuka sebelum bersalin.
Tak sampai lima minit suami saya pergi, saya rasa contraction berterusan dan tidak tertahan lalu cepat-cepat panggil jururawat periksa bukaan. Rupa-rupanya bukaan sudah mencapai 7-8cm. Hebat betul konsep "Banyak Berjalan Sebelum Bersalin" ni..Memang Mempercepatkan Kelahiran. Dengan segera saya berjalan ke Bilik Bersalin diiringi jururawat bertugas. Alhamdulillah, bukaan sudah betul-betul mencapai 8cm. Telahan saya pada masa itu tidak sempat untuk suami saya sampai Tapi Alhamdulillah, suami saya sampai sebaik sahaja saya dibenarkan untuk PUSH!.
Tepat jam 6.25 petang, saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.84kg. Walaupun berat, tapi inilah proses kelahiran yang paling mudah pernah saya alami. Kaedah banyak berjalan sebelum bersalin juga banyak membantu sebenarnya. Selain daripada itu, saya hanya berserah kepada Allah dalam perhubungan saya dengan sesama manusia terutama sekali dengan suami dan ibu bapa (jika masih ada). Bagi saya ia memberi kesan dalam proses kelahiran. Namun, setiap orang sudah tentu mempunyai pengalaman yang berbeza-beza. Saya mempunyai seorang kawan yang bersalin normal tanpa koyakan langsung bagi keempat-empat anaknya seberat 4kg!. Miracle bukan?.