Oleh: Hajah Siti Aluyah Hj Mohd Ali, Senior Counselor, Students Affairs Department and Alumi (HEPA), INTEC, UiTM Section 17 Campus, 40200 Shah Alam, Selangor, Malaysia. T:+603-55227130. E-mail: sitia823@salam.uitm.edu.my.
Pengenalan
Salah satu sebab pelajar tidak menyerlah dalam akademik mereka ialah kerana mereka malas. Semasa menganjurkan program Kursus Ke arah Kecemerlangan Akademik, sering saya mengadakan latihan dalam kumpulan untuk peserta. Dalam sesi latihan dalam kumpulan di mana kaunseling kelompok diadakan, didapati ramai yang mengaku malas merupakan antara sebab mereka tidak cemerlang.
"Malas untuk membaca, malas untuk membuat latihan atau homework, malas mahu memulakan tugasan" ini antara yang mereka beritahu kami.
Kami mula berfikir apa caranya hendak merawat penyakit malas yang amat merugikan ini. Malas akan menyebabkan pelajar rugi daripada pelbagai segi. Rugi masa, rugi tenaga, rugi peluang, rugi sumber, menghancurkan masa depan yang seharusnya gemilang, mengecewakan ibubapa dan keluarga, merisaukan para pendidik anda dan merugikan bangsa, negara serta agama.
Tips Mengatasi Malas
Jaga cara anda berfikir:
"What the mind conceive and believe, the mind will achieve"
Percayalah cara anda berfikir akan mempengaruhi perasaan dan tingkah aku anda. Maka fikirlah secara positif. Anggaplah setiap hari adalah hari baru dalam hidup anda dan anda akan lakukan yang lebih baik hari ini berbanding semalam.
Tahu Tujuan Hidup Anda
Ada yang beranggapan orang yang malas adalah orang yang tidak tahu apakah tujuan hidupnya yang sebenar. Bagi seseorang pelajar, anda hendaklah perjelaskan kepada diri anda setiap hari apa yang ingin anda capai. Betulkan niat anda agar usaha anda teratur dan dapat hasil yang ositif. Lihatlah ke hadapan (forward drive). Janganlah tenggelam punca kerana perkara-perkara yang lepas. Bak kata penyanyi terkenal P. Ramlee "Barang yang lepas jangan dikenang".
Buat Pengiraan Untung Rugi
Pada pendapat kami sekiranya anda sering membuat pengiraan untung rugi dalam kehidupan seharian, ia akan dapat membantu anda mengatasi malas. Sebagai contoh, bayangkan berapa banyak perkara yang boleh dilakukan pada pagi Sabtu dan Ahad jika anda merancang masa dengan baik. Mereka yang memanfaatkan masa mereka akan dapat mencapai berbagai perkara positif manakala bagi mereka yang berbuat demikian akan menyebabkan hati mereka gelap. Orang-orang tua dahulu kala berpesan sekiranya berkehendakkan hati yang terang jangan tidur sehingga tinggi hari. Rugi tau!!!.
Sering Mendapat Peringatan Baik Boleh Membantu Diri Mengatasi Malas
Kami baru-baru ini berjumpa dengan seorang rakan dan bertanya dia apakah cara untuk kekal bermotivasi tinggi. Rakan menyatakan bahawa berada dalam kumpulan sahabat yang saling ingat mengingati akan membantu diri untuk tidak leka dan lalai memenuhi amanah dan tanggungjawab. Pesan rakan saya ini amatlah berguna sekali. Sebagai manusia kita mudah lupa akan janji dan amanah yang kita pikiul ini, maka melalui saling ingat mengingati diri akan disedarkan daripada lamunan atau tipuan dunia yang amat melekakan ini. Pilihlah rakan yang positif agar diri tidak jatuh hina kerana sifat malas.
Tanamkan Dua Jenis Perasaan Untuk Membantu Anda Mengatasi Malas
Perasaan tersebut ialah seronok dan takut. Ikhtiarkan untuk mencari keseronokan dalam apa yang anda lakukan. Sebenarnya setiap perkara yang baik seperti belajar atau bekerja jadikanlah ia bermakna barulah anda akan mula berasa seronok melakukannya.
Perasaan takutpun boleh dijadikan faktor penggerak daripada sifat malas. Kalau perasaan takut dikaitkan kepada Allah swt pun saya anggap baik. Takut berdosa tidak memenuhi janji dan amanah akan menjadikan diri berusaha bersungguh-sungguh ke arah perkara-perkara baik walaupun ia tidak mudah. Ingatkanlah diri anda dari masa ke semasa dan rasai perasaan takut untuk terus buat perkara yang merugikan.
Hayati Semangat Hijrah Dalam Kehidupan Ini
Sebagai seorang Islam konsep berhijrah ini sememangnya jika dihayati ada banyak kebaikannya. Hijrah malas kepada rajin, kotor kepada bersih, hitam kepada putih, najis kepada suci, jahil kepada berilmu (alim), sesat kepada benar, mempersekutukan Allah swt kepada mengesakanNya, daripada sifat tercela kepada sifat terpuji, hidup sia-sia kepada berguna. Banyak kebaikan lagi diperolehi jika menghayati semangat hijrah.
Banyakkan Berdoa
Sebagai seorang insan yang lemah, perbanyakkanlah berdoa agar mampu mengatasi malas daripada mencengkam hidup ini. Selain doa, teruskan berbagai usaha dan bertawakkallah kepada Allah.
Oleh: Hajah Siti Aluyah Hj Mohd Ali, Senior Counselor, Students Affairs Department and Alumi (HEPA), INTEC, UiTM Section 17 Campus, 40200 Shah Alam, Selangor, Malaysia. T:+603-55227130. E-mail: sitia823@salam.uitm.edu.my.
No comments:
Post a Comment