Oleh: Siti Aluyah Mohd Ali, Kaunselor Kanan, UiTM Johor
Tel: 07-3952046
Email: sitia823@johor.uitm.edu.my
Pengenalan
Hidup ini ibarat satu kapal yang belayar di lautan yang adakalanya tenang dan sering kali dilambung gelombang. Untuk berjaya menempuh gelombang hidup , seseorang pelajar/pekerja perlulah melengkapkan dirinya dengan berbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran hidup dan mempunyai fikiran yang positif.
Fikiran Positif Boleh Dibentuk
Fikiran positif merupakan sesuatu yang boleh dibentuk kerana sebagai manusia kita diberi kebolehan untuk usahakan apa yang kita mahu. Orang yang berfikiran positif mempunyai tanggapan atau persepsi yang positif berkenaan dirinya sendiri, orang lain di sekelilingnya dan situasi yang dialaminya.
Sebagai seorang manusia, anda perlu ketahui bahawa siapa diri anda adalah merupakan gabungan faktor semulajadi (warisi) dan faktor pembelajaran. Anda telah banyak belajar daripada kedua ibu-bapa, ahli keluarga, guru-guru, rakan sebaya, bahan bacaan dan daripada media massa. Setiap yang anda alami dari dulu merupakan pengalaman yang banyak mempengaruhi anda kini.
Manusia perlu sedar bahawa dia mempunyai keupayaan atau kuasa untuk mengubah diri dan nasibnya.
Langkah-langkah untuk Membentuk Fikiran Positif
1. Menanamkan kesedaran dalam diri bahawa manusia mempunyai potensi dan keupayaan untuk mencapai apa yang dia ingin.
2. Mempunyai matlamat jelas akan apa yang ingin dicapai. Orang yang bermatlamat akan mampu menggambarkan apakah yang ingin diperolehinya secara spesifik dan boleh menganggarkan bila dia ingin mencapai matlamat tersebut. Biasakan diri anda untuk menuliskan matlamat anda. Sesuatu yang telah ditulis lebih bermakna. Kongsi matlamat anda dengan orang yang rapat dengan anda.
3. Mencari ilmu pengetahuan, maklumat, ke arah mencapai apa yang ditetapkan. Ilmu pengetahuan yang anda miliki akan menjadikan ada mampu (empowered) untuk berfikir dan bersikap positif. Satu pendapat daripada ahli psikologi dalam bidang kaunseling kerjaya menegaskan bahawa jika ingin berjaya dalam bidang pengajian dan pekerjaan, faktor yang mempengaruhi diri seseorang itu ialah:
a) Minat
b) Tahap pencapaian atau kebolehan
c) Personaliti atau watak
d) Nilai
Ke empat-empat faktor di atas iaitu faktor minat, tahap pencapaian atau kebolehan, personaliti atau watak serta nilai kesemuanya faktor yang boleh dipupuk sedikit demi sedikit. Anda perlu merubah dan teruskan usaha secara konsisten untuk mencapai kejayaan walaupun ia adalah sukar. Bak kata pepatah Melayu "Hendak Seribu Daya, Tidak Hendak Seribu Dalih".
Belajarlah dan lengkapkan diri dengan berbagai kemahiran hidup seperti cara untuk berfikir, cara untuk berkomunikasi dengan berkesan samada dengan diri sendiri (intra communication) atau dengan orang lain (interpersonal communication), cara untuk menjadi asertif (tegas diri) dan berbagai kemahiran lain.
4. Mengenalpasti faktor halangan dalam diri dan di luar ynag boleh menjejaskan pencapaian matlamat. Mengetahui langkah-langkah untuk mengatasi faktor halangan dalaman dan luaran.
5. Mencari bantuan atau sokongan untuk membolehkan anda berusaha terus ke arah menjadi orang berfikiran positif. Salah satu cara membantu diri ialah dengan melalui kaunseling. Hubungilah kaunselor anda. Mereka ini terlatih dan berpengalaman dalam bidang kaunseling. InsyaAllah dapat membantu anda.
6. Mempunyai daya kawal. Anda perlulah menganggap diri anda seperti pemandu sebuah kereta yang sedang bergerak. Anda perlu tahu ke mana destinasi anda. Anda perlu pastikan steering, brake, clutch dan segala aspek kereta anda dalam kawalan anda. Ingatlah anda adalah pemandu, hidup anda bukanlah penumpang. Sekiranya anda menjadi penumpang dalam hidup anda sendiri maka anda tidak akan dapat memenuhi keperluan diri anda kerana sentiasa mengikut arahan orang lain. Ingatlah apabila anda tidak memastikan hidup anda dalam kawalan tangan anda sendiri yang pastinya anda akan dikawal oleh seseorang atau sesuatu yang lain.
7. Berusaha, berdoa, dan bertawakkal merupakan kunci kejayaan seseorang mukmin dalam mencapai apa sahaja yang dihajatinya. Berusahalah dengan berbagai cara untuk menjadi individu yang mampu berfikir secara positif. Berdoa dengan bersungguh mengharapkan doa dimakbulkan. Elakkan perkara-perkara yang akan menyebabkan doa anda ditolak oleh Allah swt. Bertawakkallah kepada Allah yang mencipta anda agar anda sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripadaNya.
Penutup
Akal manusia merupakan satu anugerah besar yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain. Potensi akal anda amatlah besar dan ia sewajarnya digunakan untuk meraih kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Mulakan dengan menggunakan akal yang diberi Allah dengan befikir secara positif agar membolehkan diri anda tumbuh, berkembang dan membangun secara positif.
Oleh: Siti Aluyah Mohd Ali, Kaunselor Kanan, UiTM Johor
Tel: 07-3952046
Email: sitia823@johor.uitm.edu.my
"Dengan berfikiran positif dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, saya adalah siapa diri saya sekarang. Maka, sama-samalah kita membuat pilihan samada untuk berusaha membentuk fikiran yang positif atau berterusan dalam anggapan-anggapan akal yang kekadang menjerumuskan kita dalam kemunduran, kegagalan, kealpaan atau lain-lain perkara yang negatif. Minta dijauhkan.."
All the very best!
No comments:
Post a Comment