Ciksu mengkhabarkan bahawa beliau sudah menerima jemputan daripada Tabung Haji untuk menunaikan Haji pada tahun 2016. Ya Allah, bertuahnya Ciksu, tahun depan umurnya bakal mencecah 35 tahun, umur yang muda untuk mengerjakan Haji, berita baik Ciksu, berita yang amat baik untuk diri terima pada hari itu. Saat hati mulai mendetik perasaan cemburu, kenangan lama kembali menerjah, betapa banyaknya kebajikan yang Ciksu curahkan untuk diri ini sepanjang berada di UiTM dan selepasnya, menyebabkan diri tidak teragak-agak mendoakan kelancaran proses Haji beliau serta menjadikan beliau seorang sahabat diri termuda dijemput Ilahi ke Baitullah bagi mengerjakan ibadat haji, hajjah yang selayaknya diterima oleh beliau, in syaa Allah.
Bertubuh genit, menggalas beg ke kuliah, lagaknya seperti mahu ke sekolah, Ciksu berwatakan kemas, senyum sentiasa menghiasi wajah. Mahasiswa ITM yang baru mendaftar, menginap di Kolej yang sama denganku, Kolej Seroja. Tidak terpalit perasaan cemas atau kejutan budaya pada dirinya, berkeyakinan dan terurus orangnya. Diri memerhati lagaknya yang biasa, peramah tetapi fokus dengan langkahnya sehari-hari, bersegera melaksanakan tugas sebagai mahasiswa saban hari. "Alangkah bagusnya aku dapat jadi sepertinya, bersemangat ke kuliah, berdikari apabila seorang diri". Tahap survival tinggi.
Diri mula mengenali beliau dengan lebih dekat sewaktu kami sama-sama melibatkan diri dalam Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Seroja yang mana beliau dilantik sebagai Ketua Biro Ekonomi dan diri pula dalam Biro Pembangunan Insan. Biasalah, bila jadi Ketua Biro Pembangunan Insan, diri dianggap baik dan boleh membimbing daripada aspek kerohanian (walaupun diri sedar diri yang banyak kekurangan). Dari situ, bermulalan perkenalan yang semakin lama semakin erat. Ciksu cekap mengemudi Biro Ekonomi yang melibatkan pengurusan kewangan. Keramahan beliau terhadap mahasiswa lain serta kebolehan beliau berinteraksi dan membina hubungan yang baik bersama JPK lain dan penasihat Biro menyebabkan diri beliau semakin berkeyakinan, namun jauh sekali untuk bersikap sombong atau lupa daratan (seperti hanyut dengan program sampai lupa untuk laksanakan tanggungjawab hakiki iaitu belajar, seperti diriku). Beliau santai dalam kesibukan, cekap dalam pengurusan diri.
Di akhir-akhir pengajian kami, mahasiswa senior perlu meninggalkan kolej dan menetap di rumah sewa. Diri berpergian ke seksyen 7 yang sedang dibina dengan flat-flat murah yang baru. Tiada bas, tiada teksi. Diri terpaksa berjalan kaki ke Kuliah dalam hiruk-pikuk pekerja Bangladesh keluar masuk untuk bekerja dan pulang. Bahaya. Diri terpaksa melarikan diri dan mencuba nasib di Kolej Seroja. Mujur juga pernah menyandang jawatan Ketua Biro Pembangunan Insaniah dan Yang Di Pertua Kolej, diri menghujahkan keperluan menetap di kolej untuk survival diri yang perlu mengabiskan dua semester yang berbaki. Mujurlah, rayuan diri diterima dan pihak pentadbiran Kolej mencadangkan diri ini menetap bersama Ciksu, di bilik bawah Seroja Dua, bilik uitiliti asalnya. Tidak mengapalah bilik utilipun, asalkan ada katil untuk tidur tanpa bimbang dan lebih selamat berbanding di luar.
Alhamdulillah, Ciksu sudi menerimaku bersamanya dalam satu bilik yang tidak seberapa, nampak saluran air (atau kumbahan) di atas kami, namun kami perlu hidup. Hidup dengan selamat. Di sana, banyak kisah yang dikongsi. Kisah hidup masing-masing, lebih-lebih lagi kisah diri inilah. Beliau banyak mendengar daripada bercerita, maka diri ini kira, banyak rahsia diri bersamanya berbanding rahsianya dengan diri. Diri beroleh simpati daripada Ciksu dalam banyak hal, tidak pernah menyakitkan hati. Ciksu amat menyenangkan, agama dijaga dengan baik, hubungan dengan kakak-kakak serta ibu ayahnya juga baik sekali. Oh, beliau juga bongsu sepertiku. Walaupun Ciksu tegas orangnya, lurus agamanya serta bersdisiplin dan diri pula bekas Ketua Biro Pembangunan Insaniah, kami curi-curi bercerita tentang kisah cinta. Cinta semasa sekolah, cinta semasa praktikal dan cinta yang masih berbekas, sekadar menghiburkan hati dan mengingatkan diri agar tidak hanyut dengan semua itu, kerana kami perlu habiskan pengajian, menggembirakan hati ibu ayah dan adik-beradik kami yang sentiasa mendoakan.
Ciksu selalu berasa kagum dengan kisah adik-beradikku serta kisahku sendiri yang mengharukan. "Terima kasih atas keprihatinan Ciksu yang sudi mendengar dan mengambilkisah walaupun hal itu tidak menguntungkan apa-apapun buat kamu". Dari situ, beliaulah yang diri anggap teman di kala memerlukan, tempat bercerita suka dan duka dan beliau sentiasa positif menyebabkan diri tidak hanyut dalam kesedihan, tidak rasa bersalah dalam keterujaaan. Ia satu kehidupan yang diri kenang sampai bila-bila. Oh, Ciksu amat cintakan agama. Semasa di Seroja 3 sebelumnya, Ciksu selalu datang berziarah ke bilik saya bersama Kak Nur. Diri teruja menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW yang ditulis oleh Harun Yahya yang dibeli dengan duit PTPTN. Ciksu mendengar dengan penuh keterujaan dan minat dan diri inilah ibarat kawan yang telah jatuh cinta dengan segalanya pasal Nabi, menceritakan dengan penuh perasaan. Terima kasih kerana sudi mendengar dan tahniah kerana mencintai agamamu.
Sewaktu diri melangkah ke alam LLB (Hons), Kolej Seroja sudah tidak menerimaku dan Ciksu pula sudah memasuki alam pekerjaan di UiTM dan menetap di rumah sewa di Seksyen 2. Namun diri tetap memohon kolej dengan pihak HEP memandangkan tahun akhir ini adalah sangat kritikal dan diri masih malu-malu kucing untuk menyewa di luar (diri mudah terpengaruh). Alhamdulillah diberikan tempat di Kolej Teratai 4, sebilik dengan seorang pelajar Sains Sukan dan Rekreasi, bilik berdua. Walaupun diri komited untuk belajar, diri dilantik juga menjadi Ketua Biro Akademik Kolej. Diri agak, mereka kagum dengan uniform hitam putih yang dipakai saban hari, bakal peguam berjaya lagaknya. Diri seorang saja pelajar undang-undang di situ, lain-lain kebanyakkanya dari Fakulti Sukan dan Rekreasi, Komunikasi Massa dan lain-lain yang bergiat aktif dalam Kesatria dan juga PALAPES. Sekali-sekala Ciksu datang berziarah ke bilik dan kami keluar makan bersama-sama.
Setiap kali diri ke rumah Ciksu untuk berziarah atau menumpang bermalam sehari dua, diri dihidang dengan nasi goreng dan air teh atau milo, air tangan Ciksu sendiri. Betapa mesranya layanan yang Ciksu beri kepada diri yang sentiasa kelaparan kerana tidak cukup wang untuk makan (masih belajar katakan). "Ciksu, nasi goreng Ciksulah yang paling sedap di dunia kerana ia dihidang sewaktu diri sangat berkira-kira untuk makan nasi di kedai". Masa itu diri sangat kurus, baju saiz S, pinggang longgar, makan nasi dua minggu sekali. Layanan Ciksu adalah yang paling eksklusif pernah diterima dan Ciksu tidak pernah menyampah dengan diri ini, kan?"
Semasa melangkah ke alam pupillage (chambering), Ciksu dapatkan diri sebuah rumah sewa yang dikongsi bersama pelajar-pelajar lain memandangkan rumah sewa Ciksu dah penuh, terima kasih, Ciksu. Ciksu masih lagi melayan diri ini dengan baik dengan masakan ciksu. Masa tu elaun pupillage hanyalah RM600 sebulan. Firma guaman pula di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Tambang bas, bayaran rumah sewa, cukup-cukup untuk hidup. Pagi-pagi masak kentang rebus buat bekal untuk makan tengahari. Berputar-putar jugalah pinggang skirt dek slimnya diri pada masa itu. Bakti Ciksu akan dikenang sampai bila-bila.
Pupillage, TNB, menyewa di Cheras dan menyewa di Vista Angkasa, PJ, jauh diri merantau demi mencari rezeki. Kemudian diri kembali ke rumah sewa Ciksu, berziarah dan memaklumkan diri yang akan memohon untuk sambung belajar ke peringkat master. Diri belum berkahwin, diri bercita-cita belajar ke luar negara, melihat negara orang, hidup di tempat baru. Diri juga mengkhabarkan yang diri akan berkahwin, dengan siapa semua diberitahu. Segala masalah dan isu juga dikongsi dan Ciksu mendengarnya dengan tekun. Betapa Ciksu gembira dengan khabar tersebut dan mendoakan diri ini. Namun, diri tidak ke luar negara demi menyemai cinta bersama suami yang diperkenalkan ahli keluarga. Kami dikurniakan anak sulung yang tarikh lahirnya sama dengan tarikh lahir Ciksu.
Sewaktu mula-mula diri bergelar pensyarah dan dijemput untuk berada di atas pentas sebagai ahli akademik bagi Fakulti Undang-Undang, Ciksu datang di sebalik tabir dan memanggil diri ini diam-diam, lantas menangkap gambar diri yang memakai robe, hood dan 'board', duduk bersama ahli akademik senior yang lain, diri terasa seperti berada di puncak jaya dan Ciksu melihatnya dengan bangga. Betapa mulianya hati Ciksu yang sentiasa menghargai diri yang hina dina ini. Diri terasa amat dihargai.
Terima kasih atas segalanya, Ciksu. Panggilan Haji itu benar-benar selayaknya untukmu. Diri doakan yang terbaik untukmu sebelum, semasa dan selepas kembalimu dari sana, in syaa Allah.
No comments:
Post a Comment