Bukanlah PhD tidak signifikan, Prof Dr MKI sendiri menyatakan bahawa PhD adalah signifikan. Cuma PhD adalah satu perkara signifikan yang kecil dan ia hanyalah PhD berbanding sebuah kehidupan yang sedang kita hadapi. Jadi, maksud 'ia hanyalah PhD' bukan bermakna ia tidak signifikan, tetapi melalui pandangan yang lebih luas, ia hanyalah sebahagian daripada rutin harian bersama dengan rutin-rutin wajib yang lain. Makna kata, dalam sehari, pelbagai aktiviti yang perlu dilakukan, samada wajib, sunat, harus dan sebagainya termasuklah kegiatan berkait PhD samada menulis tesis, berfikir, membaca dan sebagainya.
Semester 1 : 23 Ogos 2013 - 22 Februari 2014
Semester pertama dilalui dengan penuh pengharapan; harapan mekar bak bunga mawar yang mengembang, bersama semangat yang menyala-nyala. Persiapan perlu dilakukan dengan lengkap, segala kekurangan cuba dipenuhi dengan sebaiknya. Pelbagai bahan dalam sumber journal yang berbeza dikumpul dan ditelaah untuk memahami apa maksud 'intangible cultural heritage'. Bukan setakat perlu memahami apa itu mak yong, tetapi juga maksud 'mukei bunkazai' dalam pemahaman orang Jepun. Pening juga walaupun sekadar mencari maksud. Maka, deraf Chapter 1 selesai bersama kekurangan yang diperbaik dari masa ke semasa.
Dalam semangat yang berkobar-kobar memulakan langkah PhD, diri diuji dengan kelahiran Rabii'ah yang memerlukan perhatian yang lebih dek tahap kesihatannya yang tidak boleh diduga, bermula dengan 'severe jaundice' yang menyerangnya seawal umur lima hari.
Semester 2 : 23 February 2014 - 22 Ogos 2014
Seawal Rabi'ah berumur lima hari (27 Julai 2012), pelbagai komplikasi berlaku bermula dengan 'severe jaundice', kemudian PDA, tight tendon dan akhirnya audio problem. Hampir dua tahun berlalu, barulah diri berasa sedikit lega dengan perkembangan Rabii'ah yang positif. 27 Julai 2012 - 26 Julai 2014 dilalui dengan penuh susah payah dengan temujanji di Klinik Paediatrik, Hospital Putrajaya, untuk rawatan susulan 'severe jaundice' dan 'audiologi'; Klinik Paediatrik, Hospital Serdang, untuk rawatan susulan jantung (cardiac) bersama pakar jantung kanak-kanak dan rawatan susulan untuk 'tight tendon' di hospital yang sama di Klinik Ortho bersama Dr Dev.
Kerja PhD diteruskan dengan hati yang walang, dibantu penyelia yang cukup memahami keadaan diri yang dibebani dengan tanggungjawab yang besar mengemudi sebuah kehidupan merawat dan membesarkan anak-anak.
Walaupun diri bergelumang dengan susah-payah mengurus anak-anak dalam kesibukan suami bekerja, diri tega meneruskan kerja-kerja PhD dan cuba membentang kertas cadangan di peringkat fakulti. Walaupun penyelia belumlah benar-benar merestui keinginan diri untuk berbuat demikian, diri berasa masa berlalu cukup lama untuk menunggu lebih lama. Lantas, dalam kekalutan mengurus hal ehwal anak-anak dan diri yang semakin tidak terurus, kertas cadangan dibentangkan, namun gagal dan perlu dibentangkan semula. Diri amat tertekan.
Semester 3 : 23 Ogos 2014 - 22 Februari 2015
Mengapa harus tertekan? Rupa-rupanya diri masih belum faham apa maksud pengajian PhD. Printlah beratus-ratus artikelpun, bacalah berpuluh-puluh artikelpun, jika masih tahap untuk mengetahui dan memahami, belum mencapai tahap pengajian PhD. Politik juga kena pandai. Siapa jadi panel, bagaimana pendekatan panel. Apa pula pendirian calon? Jika tiada pendirian, apa motif meneruskan pengajian PhD? Sungguh diri belum faham dan menyalahkan penyelia. Disogok pula dengan umpat keji sebahagian manusia yang mengaku ahli akademik ke atas penyelia, diri sampai hati untuk memohon pertukaran penyelia. Diri amat tega, amat kusut dan amat kecewa. Namun, diri masih waras untuk mengambilkira pendapat dekan yang amat mengenali penyelia.
"Dalam hidup ini, ada perkara yang kita tak boleh tolak, kita perlu terima dengan hati terbuka, redha dan hadapinya. Suami, anak-anak, keluarga adalah hadiah Allah untuk kita, hadapinya dengan baik. Kerja PhD masih perlu dilaksanakan dalam konteks kehidupan tersebut. Fokus bukan bermakna perlu mengendahkan keperluan keluarga, fokus/concentrate bermaksud akal, hati dan jiwa bersatu untuk menyegerakan tugasan dalam setiap masa dan ketika yang mengizinkan serta menolak hal-hal yang boleh ditolak (selain keluarga)".
Bersama restu penyelia, diri berjaya membentangkan kertas cadangan pada Oktober 2014 dengan pembetulan minor. Banyak lagi yang perlu diusahakan dan diri masih tercari-cari maksud yang tersirat di sebalik nasihat penyelia yang sentiasa menasihati agar laksanakan 'active reading and writing', 'copypaste', 'rephrase', asking, 'so what' banyak kali. So what? Sikit-sikit, "so, what?" naik menyampah tau. Nafsu sentiasa membantah, tapi jihad menuntut ilmu perlu diperteguhkan. Zikir saban waktu, duha tahajjud sudah jadi amalan. Siapa yang mampu menolong diri yang masih lemah dalam bidang penulisan dan pembacaan bahan-bahan tulisan berbentuk falsafah yang sukar dihadam itu? Perlu ke faham semua? Siapa nak tolong? Penyelia hanya menyelia, diri yang perlu bentangkan hasil kerja kepada penyelia.
Susah payah dalam 'active reading and writing' yang melibatkan proses 'copy and paste' serta 'rephrase', 'synchronize', 'evaluate' dalam konteks kajian merupakan satu disiplin yang benar-benar berguna kepada bukan sahaja akal, tetapi juga jiwa yang mahu bebas daripada sifat culas nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada sifat mundur, iaitu; malas, beralasan serta menyalahkan orang lain. Ibarat sebilah parang yang sedang diasah, semakin lama semakin tajam dan akhirnya diri faham apa maksud 'rigour' dalam pengajian peringkat PhD, mengikut kaedah kajian (research methodology) masing-masing.
Dalam tempoh ini, jiwa juga semakin dekat dengan Allah SWT dan alhamdulillah dengan keizinan penyelia, diri dan suami ke Makkah menunaikan umrah dan ziarah di Madinah. Bayangkanlah apa yang diri doakan di sana. Salah-satunya, tentulah supaya diri teruskan usaha, tidak berputus asa serta yakin dengan ketentuan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Inilah jihad sebenar. Jihad melawan nafsu dengan menuntut ilmu sambil mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wallahua'lam.

Semester 4 : 23 February 2015 - 22 Ogos 2015
Diri terus bersama penyelia yang sudi memaafkan keterlanjuran diri ini. Namun, diri terkadang leka, diuji dengan keterujaan membeli hartanah sehingga banyak masa terbiar dengan ke sana ke mari melihat tapak bersama suami, walaupun hati rasa bersalah kerana tidak menulis. Dugaan ini sangat hebat sehingga diri bercadang mengajar secara separuh masa. Apabila diketahui penyelia, ia dibantah, lalu diri menurut tanpa banayk soal. Diri tahu penyelia benar, diri yang terlanjur membazirkan masa dan wang untuk hal tidak perlu sedangkan tanggungjawab yang ada perlu diselia dengan bijaksana. Satu pengajaran hebat untuk diri yang bakal dianugerahkan 'ijazah kedoktoran'. Mana mungkin seorang sarjana memiliki sifat cuai, tamak, boros, terburu-buru dan menuruti hawa nafsu serta mementingkan dunia semata-mata? Mana sifat tawaadu', tekun dan sifat berfikir sebagai amalan saban waktu? Sungguh, diri dibina dan diuji.
Semester 5 : 23 Ogos 2015 - 22 Februari 2016
Menghadap komputer kadang seperti zombie. Itu, alhamdulillah. Menghadapi anak-anak tatkala mendapat idea menulis adalah satu cabaran yang pada mulanya sukar, lama-kelamaan menjadi hal yang biasa, malah menyeronokkan. Anak-anak dan suami bukanlah gangguan, tetapi sebahagian daripada keseronokan menyiapkan tugasan. Mereka adalah warna-warna kehidupan, ibarat rama-rama dan lebah yang hinggap pada bunga-bunga di taman. Ia menjadikan diri seorang manusia, manusia yang lebih sabar, lebih redha, lebih rajin, menepati masa, berdisiplin, menghormati orang lain, lebih mengenali manusia. Paling penting, perjalanan hidup sebagai calon PhD ini membentuk sebuah peribadi yang unik yang akan berkekalan sampai bila-bila. Ia seolah-olah satu latihan disiplin diri jangka masa panjang untuk seorang yang mahu gelarkan dirinya seorang ahli akademik, pada masa yang sama seorang isteri, seorang ibu dan seorang wanita. Hakikatnya, diri sedang mengusahakan apa yang pernah diimpikan sejak umur 13 tahun, 'mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang akademik tetapi berjaya mengekalkan sifat seorang wanita dan bertaqwa kepada Allah'. Alhamdulillah.
Diri redha walaupun masih bergelumang dengan chapter 2 dan 3 kerana sudah memahami apa itu PhD (theoretical). Yang penting teori tidak bertukarlah kan! Merangkak-rangkak menyiapkan chapter 4 dan 5 juga, bersama sinar harapan dan kejayaan. Tidak kira masa dan di mana, kerja 'active reading and writing' perlu dilaksanakan agar idea tidak lari, agar proses menjadi lancar, agar momentum tidak hilang. Walaupun hanya memperbetulkan footnotes atau semakan bahasa, sehari sekurang-kurangnya sejam perlu diberikan terhadap kerja PhD. Berfikirlah, biarpun sedang memasak! Apa salahnya berfikir kan? Bukankah diri bakal scholar? Ia hanyalah PhD, hidup perlu diteruskan. Teruskan hidup berbekalkan pengalaman yang menjadi pengajaran terbesar dalam hidup, selain tunduk patuh kepada Allah SWT dan menghormati penyelia sebagai guru.
Sekarang, November 2015, bakal mengakhiri 2015 sebulan lagi. Sebulan yang akan disibukkan dengan urusan penyediaan keperluan sekolah dan tadika anak-anak. Suatu rutin yang menyeronokkan serta mencabar. Yuran, uniform sekolah, buku, alatulis, ulangkaji surah-surah dan hadith yang telah dihafaz oleh anak serta masa yang perlu diluangkan untuk anak di kala cuti sekolah. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan diri yang juga mahu menyudahkan tugasan menulis tesis, cuba menulis buku bukan akademik, menulis artikel akademik untuk dibentangkan serta lain-lain aktiviti yang perlu untuk kegiatan PhD.
Kepada Allah jualah tempat diri menanam impian, berharap dan berpaut agar segalanya dapat dilalui dengan yakin, sabar, syukur serta ikhlas. Semoga diri berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat.

Semester 6 : 23 Februari 2016 - 22 Ogos 2016
Doakanlah diri ini dapat melalui tempoh terakhir PhD dengan penuh rigour agar diri puas dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang menjadi bekal kepada kerjaya akademik pada masa akan datang. Seandainya perlu untuk extension, diri tidak kisah, asalkan jalan yang dilalui adalah lurus, menuju ke puncak jaya, ibarat sang kura-kura yang berlumba dengan si arnab, pemenang adalah si kura-kura yang melangkah penuh istiqamah, bersih jiwa daripada sifat angkuh, sombong dan malas. Aamiin.

No comments:
Post a Comment