6 Januari itu adalah tarikh kelahiranku yang jarang diraikan, tidak kisah jika dilupakan kerana ia dianggap sekadar nombor. Namun, nombor 35 itu benar-benar buat diri ini sedikit terasa bahawa saya sudah terlalu jauh untuk terus memandang enteng kepada kehidupan yang masih berbaki.
35 x 2 = 70. Oh!
Aku sedang cuba menerima qada' dan qadar Allah
Aku sering pelupa
Bilangan rakaat solatku
Di mana cermin mataku
Menjemput anak dari taska!
Senaman...
Kerana beratku sekarang 80.1kilogram!
Segalanya semakin kendur
Termasuklah semangatku
Tetapi nafsu masih sepertimana dulu
Termasuk sifat egoisku
Ingin membanding diri yang semakin uzur
Dengan mereka yang pantas menggapai bintang
Bukankah Allah sudah berpesan
Lihatlah mereka yang kekurangan
Supaya diri terus bersyukur
Dan menjadikan dirimu tenang
Hidup dalam ketenangan
Dalam wujudnya kekurangan
Serta ni'mat dan kelebihan
Yang sentiasa dilupakan
Sungguh, hati terdalamku berkata-kata
Dan aku ingin benar ia terasa
Kerana ia boleh buat aku redha
dengan Qada' dan Qadar Allah Yang Maha Esa
Memuliakan suami dalam apa jua perkara
Mengutamakan kebajikan anak-anak itulah
yang sepatutnya
Memelihara diri bukan bermaksud
Makan semahu-mahunya
Yang patut adalah menjaganya
daripada belenggu syaitan dalam salur darah
yang menanti-nanti merobek iman
bersama nafsu yang sentiasa ingin
mengalahkan akal
Yang akhirnya menjerumuskan aku ke lembah yang hina
Di dunia dan akhirat...wana'uzubillahi min zaalik.
Hati yang terdalam ini ingin sempurnakan mana yang patut disempurnakan sebelum segalanya terlambat.
Bonda Nor berkata-kata mewakili hati terdalam ini dalam bukunya bersama Prof MKI bertajuk 'Bila Hati Berkata, biar Hati Terasa', cetakan pertama 2016, mukasurat 166:
Jasadku masih terus berdiri
Namun lisanku mendiam
Jiwaku menerawang ke lubuk hati yang paling dalam
Sayup di hujung sana
Ada suara rancak berbicara
Kata-katanya jujur dan luhur
Itu yang dirasa
Itu kata-kata yang terlahir dari jiwa
Ada gelisah menghempap diri
Ada resah menyentap hati
Subhanallah!
Hati ini rancak berkata-kata
Bersungguh ia menghitung usia
Separuh jalan sudah kutinggalkan
Bagaimana dengan bekalan?
Sudahkah yakin untukku pasrahkan?
Riuh ia menanya
Amalanku yang kelmarin masihkah berpahala?
Atau sudah lebur disambar riyak?
Atau sudah hancur terhenyak, lalu hilang tanpa jejak?
Hati ini terus berkata-kata
Gemuruh ia mengira
Apa khabar dosa-dosaku yang lalu?
Sudahkah diterima rayuan taubatku?
Atau masihkah membeku di situ?
Atau sudah terlahir dosa-dosa yang baharu?
Sungguh...
Mengingati segala khilaf diri
Khauf dan raja' bersilih ganti
Kadang takut kadang berani
Kadang putus asa menyelubung diri
Pada detik kedegilanku melaju
Pada detik akalku tidak mampu menundukkan nafsu
Aku ketakutan ya Allah!
Aku takut terbelenggu dengan dosa-dosa itu
Aku takut terjerat dengan kemurkaan-Mu
Meski beribu istighfar sudah kulafazkan
Itu bukan jaminan dosaku telah Kau ampun
Aku bimbang ya Allah
Aku bimbang kalau hidayah-Mu tidak lagi datang
Aku takut ia terus hilang
Lalu andai hidayah itu tercabut
Bagaimana andai ajalku menjemput?
Bagaimana mahu kutatang sakaratul maut?
Sungguh, aku takut!
Bantulah aku ya Allah
Bantulah aku mengemudi hati
Bantu kudandan jiwaku ini
Di saat hati ini masih mampu berkata
Hanya satu yang ingin kupinta
Cuma satu sahaja
Pandulah aku menyusuri jalan-Mu
Bantulah aku menjejak syurga itu
~ Bonda Nor
35 itu sudah dirasakan sangat lanjut, berbanding jiwa muda yang masih berasakan 'masih banyak yang ingin kusempurnakan dalam hidup ini; PhD, tambah anak, tambah simpanan dan kekayaan, melabur, melancong ke negara orang...' dan senarai itu semakin bertambah dari hari ke hari.
Namun, hati terdalam sangat terusik dengan sikapku menerima qada' dan qadar Allah SWT. Sungguh, keimanan itu diuji tanpa jiwa ini menyedarinya dan dalam keadaan diri yang mengku seorang yang yang beriman! Sungguh diri ini lalai kebanyakan masanya. Kurang bersyukur dengan ni'mat Allah yang banyak dan kurang bersungguh dalam menyempurnakan tanggungjawab sebagai satu amanah daripada Allah SWT.
"Ampunilah dosaku ya Allah! Kepada-Mu aku berserah! Sungguh aku mahukan perjalanan hidupku jauh baik daripada semalam dan inginku redha dengan segalan ketentuanMu dalam masa aku berusaha dengan kudrat yang Engkau kurniakan kepadaku untuk menyempurnakan segala amanah yang Engkau berikan kepadaku"

No comments:
Post a Comment