Friday, December 4, 2015

Lumrah

Mode : Nasihat Kepada Diri Sendiri Yang Pendosa tapi Mahu ke Syurga, di samping Bahagia dan Kaya di Dunia
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kebanyakan masa, kita segan/malu untuk meluahkan kata hati atau isu yang membelenggu diri sendiri sedangkan ia perlu bagi meleraikan kebuntuan, melapangkan fikiran yang kusut atau menyelesaikan masalah yang dihadapi. Samalah dengan kamu. Seandainya terbukti kamu berada dalam keadaan tidak menentu, tidak berdisiplin, tidak mengendahkan tanggungjawab, sebaliknya menyibukkan diri dengan FB atau menunggu mesej-mesej daripada sesiapa yang tidak khusus. Kamu membuang masa, mengendahkan suruhan Yang Maha Kuasa. Ia mungkin satu dosa, seandainya kamu tidak cuba mengatasi kekusutan tersebut. 

Paling teruk keadaan kamu apabila mengharap kepada yang haram (suami orang, teruna orang, gadis orang, isteri orang) untuk menghiburkan hati yang lara. Dosa besar, itu. Tapi kamu manusia, walaupun tahu ia berdosa, kamu tetap mengizinkan ia menguasai dirimu. Bukankah kamu masih ada diri sendiri untuk disayangi, saudara-saudara yang memerlukan, kawan-kawan yang sentiasa mengingati. Apatah lagi, kamu seorang isteri yang masih punya suami, suami yang bijak, hensem, malah sentiasa mendoakan kebahagiaan hidup bersamamu beserta anak-anak yang dikurniakan Allah untuk kamu berdua.

Betapa kita tidak cuba mencari bahagia yang dihalalkan Allah. Bahagia kerana Allah, maksud saya. Syukur dengan takdir Allah, itu satu suruhanNya yang jelas. Hati kamu mudah dibiarkan sepi, sedangkan bahagia itu perlu dicari dan diselongkar dalam konteks yang halal itu tadi. Penderitaan yang sedikit itu, LUMRAH! Baiklah telan sahaja penderitaan yang sedikit itu bagi membuka ruang pahala untuk diri mengejar kebahagiaan di akhirat. Dunia ini sekejap saja. Senang, susah bersilih ganti, itu LUMRAH! Tidak boleh diubah aturan Allah Yang Maha Kuasa. 

Ubahlah diri kamu, sikap kamu, fikiran dan hati kamu agar menyelongkar bahagia dalam ruang ketentuan Allah Yang Maha Kuasa. Ia ada di sana. Selidiki ia, fahami ia, tentu kamu akan beroleh kebahagiaan hakiki di sana, dengan redha Allah Yang Maha Kuasa. Bukankah kamu berjanji, menjadi insan kecintaan Allah SWT? Bukankah kamu tahu, Allah SWT tidak membebani hambaNya dengan bebanan yang tidak mampu dihadapi olehnya? Bukankah kamu yakin, bahawa susah dan senang itu bersekali? Mengapa kamu mengharap kepada sesuatu yang terlalu indah, sedangkan kamu tidak bersedia untuk menghadapi dugaan yang bakal disertakan dengannya? Kenapa kamu masih dalam angan-angan kosong? Bukankan kamu berjanji untuk berusaha seperti mereka yang berjaya dan kaya?

Kamu yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada orang miskin atau tersingkir dalam pelajaran, tapi usaha kamu? Ukur usaha kamu, penat lelah kamu, masa yang kamu habiskan. Bandingkan dengan mereka yang menjadi contoh kepada kamu. Mereka yang berjaya, yang kaya. Mana mungkin sikap lemah dan berlengah-lengah kamu menjanjikan kejayaan dan kekayaan. Kamu berjanji mahu menjadi manusia yang benar, yang diredhai Allah Yang Maha Kuasa. Tumpahkan peluhmu, keringatmu, masamu melakukan sesuatu yang bermanfaat untukmu, keluargamu, kerjayamu dan segala yang kamu inginkan.

Ingat, Allah SWT sudah berikan kamu segala-galanya yang pernah kamu inginkan dulu. Sekarang, syukurilah ia, hargailah ia, bahagiakanlah mereka sebagai makhluk Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Jagalah semua harta bendamu dengan cermat, agar sampai masanya nanti ia bakal menjadi suatu yang bernilai, untukmu atau orang lain. Allah sukakan keelokan, kecantikan dan keindahan, selagi kamu mampu usahakannya. Tiada cacat celanya tentang dirimu, sempurna segalanya. Hanya bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa melemah-lemahkan semangat girangmu mensyukuri ni'mat Allah SWT. Usahlah biarkan nafsumu dikuasai syaitan yang direjam itu. Tiada yang elokpun tentang perlakuan yang mendapat telunjuk makhluk yang dilaknat itu. Buruk kesemuanya. Nilaikanlah ia.

Sempurnakanlah kembali akhlakmu, keikhlasanmu, keelokan ciptaan Allah terhadapmu, kebahagiaan suami dan anak-anakmu, tugasan PhDmu, dan silaturrahim antara kamu dengan darah dagingmu serta darah daging suami dan anak-anakmu. Ia wajib, ramai yang tidak mahu raikan perhubungan yang wajib, disibukkan dengan hubungan yang sementara apatah lagi yang haram, dengan pelbagai alasan. Alasan memenuhi tuntutan jiwa yang telah hanyut. Hanyut dalam dodoian syaitan yang terlaknat itu. Kamu berasa derita tentang sesuatu, sedangkan Allah mahu berikan ganjaran dengannya. Ganjaran yang tidak terfikirkan oleh kamu. Kamu berasa bahagia tentang sesuatu, sedangkan Allah sedang murka denganmu, jadi ukurlah kebahagiaan itu mengikut aturan Allah Yang Maha Kuasa.

Bersyukurlah dengan tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab itu, wahai insan. Allah SWT Maha Adil, dan tiada sesuatupun yang terlepasa daripada pandanganNya. Bersyukur dan redha dengan segalanya tentang dirimu dan berlapang dada dengan ni'mat yang diperoleh orang lain. Itulah redha yang agung. Redha menurut aturan Tuhan Rabbul Jalil, redha yang menyemai bahagia di kemudian hari, redha yang menghiasi jiwa, terpancar di wajah yang mulus, kurniaan Allah Yang Maha Kuasa. Cuba senaraikan segala pemberian Allah dan penderitaan yang kamu hadapi. Adakah ia tidak mampu kamu hadapi? Ni'mat apakah lagi yang ingin kita dustakan? 

"Wahai Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia, ampunilah segala kesalahanku baik yang dahulu, kini dan akan datang. Cucurilah rahmat ke atas roh kedua ibu bapa kandungku, ampunilah segala dosa kedua ibu-bapa mertuaku, dosa anak-anakku yang akan datang, dosa adik-beradikku, dosa sahabat-sahabatku, dosa sekalian umat Islam seluruhnya. Kami adalah pendosa, walau kami cuba berakhlak mulia. Ampunilah hambaMu ini Ya Allah".

No comments: