Friday, May 4, 2012

Ibuku Sayang


Semasa Ibu masih ada, macam-macam ragamku. Tapi Ibu tetap bersabar dan tidak henti-henti berdoa serta berikhtiar untuk kebaikan dan masa depanku.

Ibu tidak pernah menunjukkan rasa kecewa kepadaku. Jika kesilapanku sebesar nakhoda Si Tanggangpun, dia tetap bermanis muka dan berkata, BERTUAHnya anak aku!:)

Ibu, semasa aku remaja, dikau ada menampakkan sedikit kekhuatiran di wajahmu...mungkin dikau tahu dan faham benar dugaan dunia untuk anak remaja sepertiku...atau mungkin dikau sudah tidak berdaya menjadi teman tatkala dikau sendiri sudah tidak berdaya kerana penyakit yang menimpamu. Namun, tidak pernah terluah oleh kata-kata atau perbuatanmu tentang sikapku yang mungkin ada mengguris hatimu.

Ibu, semasa engkau sedang terlantar sakit untuk beberapa tahun, terlintas juga di hati ini untuk rela jika Allah mengambilmu kembali ke sisiNya..."Ya Allah, kau ambillah ibu kerana aku tidak sanggup melihat ketabahan ibuku dalam penderitaan itu berterusan...sedangkan anak-anaknya ini tidak bersamanya dalam perjuangan hidup dan matinya itu!." Pilu mengenangkannya...

Beberapa kali..., tatkala aku pulang menjengukmu, aku merintih sayu..."izinkanlah Ya Allah aku menjaganya kerana tidak sanggup aku melihat periuk nasi itu...pinggan mangkuk itu...bekas lauk itu...dilewati ulat-ulat dek kerana...engkau sudah tidak mampu menguruskan dapur itu!:"'(. Manakan dapur...bedak di wajahmu itu kadangkala aku yang ratakan sambil melihatmu tersenyum!

Ibu, secangkir kopi dan sepiring biskut degil yang aku hidangkan sebaik sahaja aku sampai di rumah... engkau minum dengan penuh ni'mat...katamu, "sudah lama tak ku minum kopi, sedapnya bau dan rasanya!", sambil dikau tersenyum dan memejamkan mata. Dikau tidak tahu, kopi itu telah aku rendamkan dengan air panas selama 30 minit dek kerana serbuk kopi telah bertukar menjadi ketulan kopi! Mungkin engkau terlupa menutup bekasnya beberapa minggu ibu!.

Ibu, dalam tempoh engkau terlantar itu, kata-kata terakhir yang terungkap di mulutmu ialah "Maa...na... A...yah....mu?"....pelat benar tutur katamu...tidak bertenaga...hampir tidak aku fahami... Tapi aku dapat menangkapnya dan terus kujawab dengan sukacita dan terharu akibat terlalu lama tidak mendengar kata-katamu Ibu!...  "Oh, ayah ada di kebun... lama dia tak ke kebun, Bi (namaku)kan ada.." Lalu dikau tersenyum manis..."Masih mampu dikau tersenyum wahai ibu....mungkin dikau sudah lali dengan kesakitan itu!

Setelah kau pergi, seperti ada sesuatu yang menghalangku mengalirkan air mata...mungkin aku terlalu sibuk menguruskan jenazahmu,  menguruskan tetamu yang menziarahimu atau sibuk menguruskan rumahtanggamu tatkala ramai yang berduka dengan pemergianmu...tidak punya masa air mata ini untuk mengalir ibu...walaupun tatkala arwah ayah terisak-isak menahan pilu...abang-abang menahan sedih memandang jenazahmu, kakak-kakak sayu di kalbu...belum hendak air mata tercurah, Ibu!

Tetapi setelah semuanya berlalu, aku kesepian. Mengapa pernah aku berdoa memohon Allah mengembalikanmu kepadaNya?! Kadangkala..ku menyesali dengan permintaan itu! Aku kesunyian Ibu! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun terlantar itu... benar-benar memberi makna dalam kehidupanku! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun tidak mampu berbuat apa-apa...tetap bernilai buatku...lebih bernilai daripada segala yang ada di dunia ini Ibu!...

Kadangkala...aku seperti anak kecil...menangis terisak-isak sendirian, memanggilmu...di malam yang syahdu, atau sambil memandu pulang dari pejabatku! Aku rindukan DOA-DOAmu! Aku perlukan DOA-DOAmu! Siapa yang dapat menggantikanmu menDOAkanku tatkala aku memerlukan doa yang tidak terhijab oleh apapun...!!!

Sekarang aku tahu, mengapa dikau begitu tabah menghela nafas, menahan pedih, menahan derita...kerana tanpa dirimu, doamu, kasih sayangmu... anak-anakmu...kepiluan menahan rindu!!!

Nukilan - Nurulhuda Adabiah Mustafa untuk www.flowersinmymind.blogspot.com dengan izin Suharmi bin Ismail.

Thursday, May 3, 2012

Warna Diriku Biru

Pagi tadi sempat singgah satu program yang dikendalikan oleh pegawai kaunseling UiTM berkenaan Inventori Personaliti Warna (IPW). Walaupun pernah membuat ujian ini beberapa kali sebelum ini, namun atas dasar minat dan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu tentang diri-sendiri, maka saya gagahkan juga kaki melangkah ke Bilik Mesyuarat 2 untuk menuntut ilmu. Menurut kata Pegawai Kaunseling berkenaan, interpretasi IPW ini dihasilkan oleh para penyelidik/ilmuwan bersandarkan kajian yang saintifik.

Saya berada dalam kelas personaliti BIRU. :) Maka, apakah interpretasi umum berkenaan individu yang berada dalam kelas warna biru ini? Ada lima pembahagian interpretasi iaitu:

1. Personaliti
2. Pandangan Orang
3. Ciri-ciri di Tempat Kerja
4. Meningkatkan Kualiti Kerja dan 
5. Gaya Kepimpinan

PERSONALITI saya menurut IPW ini ialah:
1. Sangat mementingkan keharmonian
2. Seorang yang memahami
3. Sensitif terhadap persekitaran/orang sekeliling
4. Menghargai orang lain
5. Membuat keputusan berdasarkan emosi
6. Belas kasihan, bersimpati
7. Mementingkan perhubungan yang baik dengan orang lain
8. Seorang yang berseni
9. Romantik
10. Memberi kerjasama
11. Memberi galakan kepada orang lain
12. Jujur
13. Penyayang dan mesra

PANDANGAN ORANG terhadap saya pula ialah:
1. Terlalu emosional
2. Tidak realistik
3. Terlalu baik hati
4. Senang ditipu
5. Manipulatif
6. Lemah-lembut
7. Merimaskan
8. Naif

CIRI-CIRI DI TEMPAT KERJA pula ialah:
1. Mempunyai dorongan yang kuat untuk mempengaruhi orang lain supaya mempunyai hidup yang lebih bermakna
2. Biasanya bekerja dalam bidang seni, komunikasi, pendidikan dan profesion menolong orang lain
3. Mahir memberi memberi motivasi dan berinteraksi dengan orang lain.

MENINGKATKAN KUALITI KERJA pula, saya diterjemahkan sebagai seorang yang:
1. Mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni
2. Berinteraksi dengan terbuka dan jujur
3. Mengelakkan konflik
4. menunjukkan rasa ambil berat, sokongan dan menghargai
5. membenarkan luahan perasaan
6. Menggunakan kemahiran berkomunikasi
7. Memuji
8. Beri maklumbalas secara one-to-one.

GAYA KEPIMPINAN saya pula ialah:
1. Mahukan orang lain menyatakan pendapat
2. Pentingkan semangat kekeluargaan
3. Berusaha membangunkan potensi orang lain
4. Demokratik
5. Menggalakkan perubahan melalui potensi manusia.
6. Pendekatan tidak berstruktur.

Saya positif berkongsi warna diri saya menurut IPW ini atas dasar perlunya kita sebagai manusia mengenali diri sendiri dan perlunya orang lain mengenali diri kita. Walaupun tidaklah patut menjadi sandaran 100%, namun ilmu ini juga sebahagian daripada lautan ilmu Allah jua. Segala ilmu yang dikongsi di sini adalah untuk kita saling kenal mengenali dan sebagai satu pendekatan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam menjalinkan perhubungan sesama manusia. Saya mengambil pendekatan untuk berfikir secara positif dalam hal ini.:)

Wednesday, May 2, 2012

Maha Suci Allah!

Alhamdulillah buat Allah Penciptaku. Ini adalah kandungan yang ke-4 buatku. Walaupun ada kebimbangan saudara-mara dan juga teman-teman tentang kehamilanku yang boleh dianggap kerap, Alhamdulillah... peranakanku(uterus) masih lagi sihat.

Kehamilan sudah tentulah menduga kemampuan fizikal, emosi juga mental. Walaupun peranakan kuat, namun... Urat-uratpun terasa bisa kadang-kadang, keletihanpun luar biasa. Paling menduga kemampuan ialah apabila kurangnya sokongan moral daripada orang sekeliling memandangkan dalam tempoh kehamilan ini, sokongan moral daripada insan-insan terdekat itu juga mestilah luar biasa. Namun, apalah sangat yang dapat dibuat oleh mereka. Kehamilan adalah satu tempoh yang sangat 'LONELY' macam PhD juga. Orang lain tidak akan benar-benar memahami apa yang berlaku kepada kita. Maka, mempersalahkan mereka adalah perkara yang sia-sia.

Setelah dua kali menghadiri kursus PhD methodology, dan setelah empat kali melalui tempoh kehamilan serta insyaAllah...kelahiran, memang x banyak bezanya daripada segi teori/praktikal. Kita dinasihatkan sentiasa solat tahajjud, solat dhuha, semata-mata untuk mencari redha Allah, Dipandu, serta Dipelihara agar segala kepayahan yang dilalui itu berjaya ditempuhi dan membuahkan hasil yang diimpikan.:)

Selama 31 tahun kehidupan, tiadalah yang paling fitrah, paling mengingatkan aku kepada Pencipta ialah semasa menunggu saat-saat kelahiran. Sesungguhnya bukan siapa-siapa yang lain, malah bukan suami yang kita cintai itu... tetapi Allah SWT, Penciptaku itu. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa mengawal segala kesakitan yang ditanggung. Maka, dengar, baca dan ikutlah apa yang Allah perintahkan. Contohnya: Menghormati suami (sekiranya suami kita telah sedaya upaya menjadi insan mulia di sisi Allah) atau/dan Ibu-Bapa (sekiranya mereka masih ada). Jadi, apa pula kaitannya sakit mahu bersalin dengan menghormati suami/ibu bapa? FITRAH ciptaan makhlukNya... Menghormati insan yang pernah melahirkan, membesarkan, mendidik, menanggung beban kita dan juga menghormati insan yang menjaga, memberi nafkah serta menanggung dosa-dosa kita... Dengan cara itu, kita menunjukkan rasa SYUKUR kepada Pencipta.:)

Besar hikmahnya merasai kesakitan menanti kelahiran itu. Ia mengingatkan aku kepada Allah daripada hati yang terdalam! Tiada yang dapat mengganggu kekhusyukan aku mengingati Allah tatkala menanggung kesakitan itu! Gugurlah dosa bak dedaunan kering di musim luruh. SUCI buat seketika...

Cabaran membesarkan anak tidak kurang hebatnya. Malah lebih lagi! Maka aku sudah berazam, dengan keizinan suamiku, untuk fokus membesarkan anak-anak yang sudah ada ini dengan sebaik-baiknya! InsyaAllah. Kesihatanku perkara sangat berharga dalam menjalani kehidupan berumahtangga yang dihiasi dengan permata-permata yang indah sebagai amanah itu! Maka, insyaAllah... Akan berehat seketika buat lima tahun sekurang-kurangnya... sebelum merancang kehamilan yang ke seterusnya. InsyaAllah, ini adalah antara keputusan  terhebat pernah aku lakukan.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan kepada kami sekeluarga dalam meniti kehidupan. Fasa seterusnya, MENDIDIK anak-anak menjadi permata-permata indah, yang tidak ternilai daripada segi akhlaknya, ilmunya, imannya! Alhamdulillah kerana Allah telah memberikanku kesedaran ini. Sesungguhnya, diriku, fikrahku, emosiku, rohaniku...hatiku berada dalam genggaman Allah. Dia yang merancang semua ini, mengatasi segala perancangan manusia.

Maha Suci Allah!:)

Siapakah Pensyarah?

Pensyarah: Pengajar, Penyelidik, Fasilitator, Kaunselor, Penasihat, Pengerusi Majlis, Penceramah, Pentadbir, Penghibur (artis), Pelawak, Pemimpin, Pelakon Popular, Pengusaha, Runner,  dan Pendengar Setia.

Itulah saya buat masa ini. Memegang jawatan pensyarah memberi peluang kepada saya membina kendiri sambil memahami pekerjaan selain jawatan hakiki iaitu tenaga pengajar semata-mata.

Saya setuju dengan ungkapan "kerjaya pensyarah adalah kerjaya yang paling best atas muka bumi". Walaupun terpaksa bekerja keras bagi memenuhi kehendak jabatan/fakulti/universiti, semuanya terbalas samada dalam bentuk elaun/sijil atau surat penghargaan yang dapat dikepilkan sekali dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan.:) Paling seronok apabila diberi peluang untuk mengajar lebih masa. RM100 untuk satu jam syarahan!:) Jika dilantik menjadi fasilitator pula, bayarannya RM50 sejam!:) Sebagai penceramah pula, bayaran adalah RM200 sejam!:) Balasan keduniaan semua diberikan, semata-mata menghargai jasa yang dicurahkan.:)

Oleh kerana itu, amat rugi sekiranya pekerjaan ini dilakukan dengan tidak ikhlas/terpaksa/tertekan/ dsb. Kerana, selain balasan keduniaan, para pensyarah juga dijanjikan pahala yang besar di sisi Allah swt kerana mereka adalah pendidik, mencurah ilmu bagi membina anak-anak bangsa!:) Pada setiap masa, mereka juga diperhati, dipantau untuk melihat sebarang kepincangan dalam menjalankan tugas. Bukankah bagus demikian? Cara ini dapat menjadikan kita lebih berwaspada daripada sikap/perilaku negatif, berusaha gigih untuk lakukan yang terbaik demi menjayakan VISI universiti!:)

Betapa ramai pensyarah di luar sana yang telah berjaya membina kerjaya dengan hasil penyelidikan dan penulisan yang berkualiti tinggi!:) Ia bukan sahaja meninggikan martabat diri serta ilmu malah mengharumkan nama universiti khasnya serta turut mendapat hasil yang tidak terkira!:) Bagus bukan?. Jadi, BERSYKURlah dengan anugerah kurniaan tidak terhingga ini. BERFIKIRlah...kerana itu tugas utama kita. BERADABlah...kerana dengannya, kita akan dihormati. SENYUMlah, kerana ia sedekah paling mudah, BERSABARlah, kerana ia tangga emas kejayaan, BERBINCANGlah, kerana ia membantu meringankan beban pemikiran, BERHIKMAHlah, kerana kita akan dikasihi kerananya.:)

Namun demikian, kehebatan kerjaya ini tidak akan ke mana tanpa para pensyarah saling bergandingbahu, bekerjasama untuk menjayakan apa-apa aktiviti/program yang dijalankan di fakulti. Walaupun para pensyarah punya kesibukan luar biasa untuk menggarap ilmu dan kepakaran serta memberi sumbangan bagi membina kerjaya, nilai-nilai murni seharusnya dihayati dalam melaksanakan tugas yang memerlukan kerjasama semua pihak. Jangan hanya bermanis wajah, berlembut lidah sewaktu meminta kerjasama...tetapi pada hari-hari yang lain, mereka seolah-olah begitu asing dan tidak dikenali! Siapa yang tidak rasa seronok jadi pensyarah jika wujudnya suasana harmoni dalam mengendalikan sesuatu program/aktiviti!:) Pelajar mana yang tidak rasa seronok jika para pensyarah seronok (bukan bermakna syok sendiri) dalam mengendalikan kelas!:)


Kerjaya Dan Hobi

Saya memang sudah dilatih menjadi usahawan sejak kecil lagi oleh arwah mama. Jual jagung rebus semasa sukan rakyat, jual buah jambu mawar dan limau godang kat kawan-kawan di sekolah... dapat duit buat belanja diri dan kawan-kawan (bukan simpanpun). Heheh.

Tapi usaha berniaga ni tak berterusan apabila masuk sekolah asrama, kemudian ambik program Law kat universiti. Tak ada peluang berniaga dan tiada sokongan moral langsung untuk berniaga. Walaupun kewangan memanglah tak bagus semasa belajar dulu, memang langsung tak berani nak menceburi bidang perniagaan. Persepsi tidak berapa bagus juga lah tentang berniaga ni!:) Saya sanggup hidup dengan gaji RM600 sebulan di Bandar Besar KL dan Shah Alam tanpa langsung ada ikhtiar nak berniaga. Takut dan prejudis!:)

Tapi, apabila sudah kahwin, saya mempunyai perspektif yang berbeza tentang berniaga. Almost 360'. Mak mertua dorong kami berniaga dan bagi sokongan moral kepada kami. Memandangkan suami terlalu sibuk, jadi sayalah penggerak aktiviti berniaga dari rumah.:) Adik-adik ipar pula cerah mindanya dalam perniagaan walaupun permulaannya kecil sahaja. Pada mulanya masih juga sangsi, tapi apabila melihat Kak As turut secara suka-suka berniaga Tupperware, sayapun turut libatkan diri sebagai konsultan.  Minat yang muncul itu saya salurkan secara sampingan sahaja memandangkan saya waktu tu pemegang biasiswa, bakal makan gaji dengan UiTM. Masih ada lagi lah perasaan takut dan tak biasa nak berniaga sebab macam-macam syarat rasmi kena ikut kalau nak berniaga... seperti perlu mendapat kebenaran Ketua Jabatan dan sebagainya.

Namun demikian, setelah mempunyai anak yang ramai, kos sara hidup juga semakin meningkat terutama hidup di Bandar Besar Shah Alam, Putrajaya ... Mahu tidak mahu, saya memberanikan diri juga mencuba pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan. Kedai memanglah tiada. Nak buka kedai secara onlinepun perlukan komitmen juga. Jadi saya buat keputusan menjadikan perniagaan sebagai hobi semata-mata.

Sekadar jadi agen atau konsultan yang pada asalnya menjadi pengguna sahaja.  Hakikatnya, saya langsung tidak disibukkan dengan aktiviti berniaga ini sebab saya pada asalnya adalah pengguna semata-mata.:) Pada masa yang sama jadi agent. Siapa berminat berkongsi produk, boleh order...Hobi yang sangat membuahkan hasil, bukan?:) Selain seronok dengan income, dapat juga lakukan sesuatu untuk membantu diri sendiri dan keluarga.

Buat masa sekarang, produk-produk berikut adalah keutamaan saya:
1) Tupperware
2) VCO Catalyst (Softgels) dan Collagen (Catalyst)
3) Dinar dan Dirham (Setakat ni saya adalah ahli kumpulan pengumpul/peniaga emas perak di FB seperti Gold Lot Shop, Silver Lot Shop, Dinar dan Dirham Restu dll). Saya juga adalah agent berdaftar Public Gold (PG014276)
4) Dalam masa yang terdekat juga saya akan berdaftar sebagai dealer untuk produk ST dan Jamu Ratu Malaya.
5) InsyaAllah, dalam proses mendaftar sebagai konsultan unit trust Public Mutual.:)

Setakat ini, hobi berniagalah yang paling lama kekal berbanding lain-lain hobi seperti menulis, membuat penyelidikan dan sebagainya.:) Namun demikian, tidak banyak masa yang diperuntukkan untuk berniaga kerana saya terpaksa mengutamakan kerjaya hakiki saya sebagai pensyarah di sebuah fakulti yang elit di UiTM. Sudah tentulah penting untuk jaga reputasi dan berdedikasi tinggi!:)

Lebih-lebih lagi saya sudah memulakan langkah untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Dengan kata lain, melatih diri untuk menjadi penyelidik. Apa yang pelik, minat saya untuk penyelidikan bukanlah dalam bidang perniagaan, tetapi bidang Pentadbiran Undang-Undang Syariah.:) Mungkin ia daripada naluri dan fitrah sejak kecil hasil daripada dorongan arwah mama.:) Ilmu syariahlah yang pada asalnya beliau ingin saya dalami. InsyaAllah, saya tidak akan lari daripada aspek syariah ni. Buat masa ini, saya akan fokuskan penyelidikan saya kepada peranan dan kedudukan Majlis Agama Islam di sisi Undang-Undang. Tajuk sudah ada, tinggal lagi untuk duduk dan menyiapkan proposal untuk permohonan tempat pengajian dan biasiswa dalam masa terdekat.

Bagi merealisasikan impian ilmu ini, insyaAllah fokus sekarang beralih kepada membuat pembacaan dan penulisan. Maka, tidak kisahlah jika tidak dapat nak bergiat aktif dengan hobipun:) Bukankah hobi itu sampingan sahaja?:) Bagi saya ilmu itu amat bernilai. Peluang yang ada tidak patut disia-siakan. Saya anggap ini juga adalah rezeki Allah.:) Ini jugalah masanya untuk saya merealisasikan impian yang terpendam sekian lama.

Semoga Allah permudahkan jalan ini pada usia sekarang, 31 tahun... Huhu:) Impian sejak umur 27 tahun lagi. Tapi buat apa mengenang nasib yang lepas. Sakit, pedih, marah, kecewa dsb. Sekarang saya sudah redha. Apapun hikmahnya, tiada siapa yang mampu menghalang ketentuan Ilahi:)