Thursday, September 17, 2015

MAAF DARIPADA DCF3060

Tulisan ini khusus saya tujukan kepada warga Bandar Saujana Putra yang dikasihi. Tujuan tulisan digarap adalah untuk memohon maaf kepada semua pengguna jalanraya yang pernah terkesan dengan tindakan saya memandu menggunakan laluan kecemasan ataupun lain-lain sebab yang tidak disengajakan. Maafkan saya atas segala kesalahan dan kesilapan saya yang lalu dan saya berjanji untuk tidak melakukan kesilapan yang sama buat kali yang ke seterusnya. Saya benar-benar insaf dan sedar.

Akhir-akhir ini, keadaan trafik dari BSP keluar menghala ke roundabout seterusnya ke Shah Alam semakin sesak dan semakin banyak kejadian yang tidak diingini berlaku. Hari ini, sebuah van sekolah terbalik dan menyebabkan trauma kepada anak-anak kita. Walaupun kejadian itu tiada kena mengena dengan DCF3060, saya amat terkesan. Selama ini saya hanya mementingkan diri dan mengharapkan untuk cepat sampai ke sekolah anak-anak walaupun ia mengganggu penunggang motorsikal dan kereta yang lain.

Permohona maaf ini bukan untuk cari publisiti murahan, tapi permohonan maaf yang sejujurnya terhadap sesiapa sahaja yang terkesan dengan pemanduan saya. Saya tidak mahu tujuan saya menyewa kereta ini untuk berbakti kepada keluarga bertukar kepada membawa bencana kepada diri sendiri, keluarga dan orang lain. Dengan itu, maafkanlah saya.

Kepada yang selalu suka guna laluan kecemasan atas sebab-sebab yang tidak kecemasan seperti saya, hentikanlah sebelum terlambat. Sama-samalah kita bersabar dan redha dengan keadaan trafik di BSP. Pihak berwajib tentunya telah memikirkan cara penyelesaian kepada permasalahan ini, cuma prosesnya tentu memakan masa. 

Wassalam wbt.

No comments: