Saturday, September 14, 2013

Dua Minggu Pertama PhD

Perspektif saya terhadap pengajian PhD ini adalah menjangkau perspektif atas sebuah kehidupan yang menyeluruh. Saya melihat perspektif ini seolah-olah saya sedang berdiri atas sebuah gunung dan melihat kehidupan saya di bawah dan di sekeliling. Saya tidak mampu berada di langit, justeru saya hanya mampu menyerahkan segala sesuatu yang tidak saya mampu lakukan itu kepada Allah SWT.

Apabila saya berdiri di puncak gunung tersebut, saya hanya dapat melihat kesemuanya tetapi tidak terperinci dan jelas. Banyak perkara untuk dilaksanakan dan saya perlu turun semula ke bawah gunung melepas jalan yang berliku untuk laksanakan bahagian yang belum diselesaikan, kemudian naik semua ke puncak gunung untuk melihat hasilnya. Ada yang tidak kena dengan kaedah ini, lalu saya membaca sebuah buku bertajuk 'Real World Research' yang berbicara tentang bagaimana untuk membuat penyelidikan. Methodology is " a science to find out" adalah satu definisi spontan yang membuka kefahaman saya berkenaan Research Methodology. Para ahli akademik berbicara tentang metodologi yang tentunya amat kompleks untuk difahami. Namun setelah mendapatkan definisi "a science to find out" tersebut, saya berasa teruja untuk mengkaji dengan lebih lanjut berkenaan Aspek A pengajian saya iaitu Aspek Metodologi. Malah terdetik di hati menanam cita-cita untuk memberi syarahan bagi kursus methodology suatu hari nanti.

Saya faham bahawa, setiap langkah atau gerak kerja memerlukan penyelidik untuk teliti dan memastikan kaedah yang digunakan adalah bertepatan dengan kajian yang cuba dilaksanakan. Kesilapan dalam menemukan kaedah yang bersesuaian atau kurang kefahaman berkenaan "science to find out", boleh melambatkan proses menjalankan penyelidikan. Oleh kerana itu, saya masih dalam proses menyusun dan merancang strategi samada membentuk senarai 'annotated bibliography' atau meletakkan kod warna (colour coding) bagi setiap hasilan pembacaan. Pada asalnya, saya hanya niat untuk membawa secara rawak atau sepintas lalu bagi lebih 60 artikel yang telah saya dapat. namun, saya perlu melihat semula artikel-artikel yang telah dibaca bagi mengenalpasti tulisan-tulisan yang amat dekat dengan kehendak supervisor dan conceptual framework yang bakal dibentuk.

Monday, September 9, 2013

PhD Preparation 4

Saya melakukan sujud syukur seperti yang saya janjikan kepada diri sendiri apabila mendapat surat tawaran menerusi talian daripada IPSIS. Sukar untuk saya gambarkan perasaan tersebut. Saya berada di 'Resource Centre' pada masa tersebut. Apa yang boleh saya katakan ialah, saya tidak pernah jemu menunggu dan bertanyakan perkembangan terkini samada daripada KPP Siswazah mahupun bahagian penyelidikan IPSIS sendiri tentang status surat tawaran saya. Alhamdulillah, saya lebih yakin dengan sikap saya sebagai seorang yang sentiasa positif dan tidak malu untuk bertanya. Ia akhirnya membuahkan hasil dan menjadikan saya lebih yakin dalam pergaulan saya dengan sesiapapun.

Surat tawaran inilah yang telah saya gunakan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan atas tiga borang yang perlu dihantar kepada Bahagian Biasiswa JPbSM, Bahagian Biasiswa KPT/KPM dan juga IPSIS. Maka, atas nasihat Kak Su'aida Dato'Safei, saya bawa bersama ketiga-tiga borang semasa pemeriksaan dibuat. Maka tidak perlulah saya membuat pemeriksaan sebanyak tiga kali. Ia adalah membuang masa dan duit sahaja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan berjaya dimajukan kepada ketiga-tiga bahagian terbabit. Walaupun saya tidak berjaya mendapatkan pemeriksaan percuma di Klinik Kesihatan atas sebab enggan menunggu tarikh temujanji, tapi saya saya bersyukur sangat saya dapat kejar masa mengikut yang saya inginkan kerana bagi saya, masa itu amat bernilai. Memanglah rasa kecewa kerana saya tidak tahu bahawa perlu untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi melakukan pemeriksaan kesihatan, tapi saya pujuk diri untuk bersabar dan menerima ketentuan tersebut. Namun ia tetap tidak mematikan semangat saya untuk meneruskan misi menyiapkan segala urusan berkaitan dokumentasi demi masa depan saya.

Semuanya berjalan dengan baik walaupun ada sedikit kesilapan dalam tindakan saya kerana gagal menyertakan sekali laporan daripada makmal bersama dengan borang pemeriksaan kesihatan yang saya majukan kepada Bahagian Biasiswa JPbSM. Akibat daripada kecuaian saya itu, saya terpaksa menunda niat untuk hantar dokumentasi lengkap kepada JPbSM dan terpaksa menunggu Isnin 26hb Ogos 2013. Saya tetap berasa kecewa dengan diri saya akibat kelalaian tersebut namun tidak terus menghukum diri sendiri, malah menganggap kejadian itu sebagai suatu yang memberi pengajaran. Ia mungkin perkara kecil kepada sesetengah orang tapi, masa sentiasa menjadi harta berharga untuk saya. Saya tidak kisah jika tidak dapat bersuka-ria di pusat membeli-belah atau bergelak ketawa di taman tema terkemuka, tapi saya akan bersedih hati jika tidak dapat realisasikan matlamat seharian saya.

Selain cabaran tersebut, berlaku peralihan posisi Dekan yang lama kepada yang baru. Semasa saya membuat semakan akhir dokumen berkenaan, saya perasan bahawa saya terlepas pandang dua dokumen yang memerlukan tandatangan dan cop rasmi Pengerusi Lembaga Akademik Fakulti (LAF). Borang tersebut adalah Borang Persediaan Pelajar (KPT) dan Borang Pelepasan Melanjutkan Pengajian. Pada mulanya saya telah bertindak pantas berjumpa dengan Dekan lama pada hari terakhir beliau di pejabat. Namun demikian, atas alasan ketelusan dan integriti, saya maklumkan kepada beliau untuk berikan sedikit masa bagi membolehkan Timbalan Dekan (Akademik) untuk meneliti borang yang memerlukan analisa ke atas kertas Cadangan Penyelidikan saya. Namun demikian, saya terlupa bahawa beliau tidak hadir semasa saya membentangkan kertas Cadangan Penyelidikan di Peringkat Fakulti. Mahu tidak mahu, saya terpaksa berjumpa sekali lagi dengan Dekan lama untuk mendapatkan pengesahan beliau dan alhamdulillah, beliau telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah-bagi walaupun memerlukan beliau buka balik stor untuk mencari Cop Rasmi jawatan beliau sebagai Dekan kerana pada waktu itu, beliau sudah tidak memegang jawatan tersebut. Perlu untuk 'backdated' memandangkan beliau adalah Pengerusi Lembaga Akademik Fakulti yang mendengar pembentangan Kertas Cadangan Penyelidikan saya.

Satu lagi pengajaran bernilai dalam proses penyediaan dokumen ialah "bertanyalah walaupun ia perkara kecil kerana perkara yang kecil itu ibarat pencucuh yang mampu menyalakan api". Tidak bertanya, maka malaplah haluan hidup kita.

Selesai sahaja urusan dokumentasi borang-borang kepada Bahagian JPbSM, saya telah mendaftar sebagai pelajar di Dewan Agong Tuanku Canselor pada 24 Ogos 2013. Semuanya berjalan lancar walaupun terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kad pelajar. Walaupun demikian, saya puji UiTM (IPSIS) yang berjaya menyelesaikan proses pendaftaran pelajar dalam masa satu hari. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya terpaksa ke sana ke mari di UiTM Shah Alam yang sememangnya sukar daripada aspek mendapatkan tempat letak kereta dan realiti yang memerlukan saya turun naik bukit.


Friday, July 12, 2013

Persediaan PhD 3

Persediaan PhD 1 dan 2 telah berlaku. Kini, usaha menjayakan perancangan serta merealisasikan proses persediaan PhD 3. Proses ini merangkumi penambahbaikan kepada 'literature review' dalam kertas cadangan penyelidikan yang telah diluluskan di peringkat fakulti. Literature review bukan sahaja membuktikan sejauhmana pembacaan penyelidik dalam sesuatu bidang telah dilaksanakan, malah ia menjadi rujukan kepada pemeriksa/supervisor dalam mengenalpasti pakar dan ilmuwan dalam sesuatu bidang. Penting untuk mengenalpasti dan memahami buah fikiran para ilmuwan dalam bidang tertentu agar penyelidik mendapat inspirasi dan buah fikiran dalam meneruskan aktiviti penyelidikan di peringkat PhD.

Selain daripada menambahbaik kertas cadangan berkenaan, saya juga dalam proses menunggu surat tawaran tempat pengajian dari IPSIS UiTM yang dijangka keluar pada 19 Julai 2013 tak lama lagi. Pada masa yang sama, saya juga sedang mengisi borang-borang yang perlu untuk permohonan biasiswa di peringkat UiTM dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini termasuklah  mengisi borang keselamatan yang memerlukan maklumat ahli keluarga dan saudara mara yang begitu terperinci. Lain-lain, tidaklah memerlukan satu usaha yang rumit melainkan segalanya perlu diisi dengan hati-hati dan teliti. Hal ini bagi mengelakkan kerja yang sama dilakukan berulangkali.

Pada asalnya saya cuba untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebelum surat tawaran keluar, tetapi prosedur yang perlu dipatuhi ialah menunggu surat tawaran dikeluarkan kerana ia perlu dibawa ke JPbSM bagi memohon guarantee letter untuk dibawa ke Klinik Kesihatan UiTM bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Kemudian, barulah saya bawa keputusan pemeriksaan, bersama-sama dengan borang-borang yang disenaraikan termasuk kertas rancangan penyelidikan kepada JPbSM semula untuk permohonan biasiswa secara rasmi. In syaa Allah, saya target untuk submit selewat-lewatnya 25 Julai 2013.

Usaha memastikan proses permohonan berjalan lancar memerlukan sokongan dan dorongan daripada suami dan ahli keluarga tercinta. Hal ini pula tidaklah mudah diperolehi melainkan menerusi doa berpanjangan kepada Allah SWT yang Maha Pengasih Penyayang. Tahajjud dan Dhuha dekat dengan hati serta menjadi tempat bermunajat kepada Allah SWT agar usaha sentiasa diberkati dan dipermudahkan. Saya adalah manusia biasa tapi saya tahu Allah itu Maha Berkuasa, Maha Bijaksana. Saya sedar, cabaran hidup datang dari mana-mana sahaja, malah daripada sesiapapun. Namun, saya sentiasa ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan saya sentiasa memohon kepada Allah SWT agar saya sentiasa ditunjuki jalan yang lurus pada setiap saat dan ketika. Kesedaran ini juga adalah sebahagian daripada persediaan saya sebenarnya dari mula lagi.