Wednesday, September 16, 2015

Kalam Allah itu Mendamaikan

Baca Quran
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya jarang bercakap tentang kebolehan yang Allah SWT bagi kepada saya iaitu kefasihan membaca al-Quran. Kenapa? sebab saya fikir orang akan fikir saya menunjuk-nunjuk. Hakikatnya saya takut dengan sifat ujub, riak dan takabbur sehingga menyebabkan hubungan saya dengan manusia lain terjejas. Saya terfikir semula apabila mendengar syarahan Brendon Buchard berkenaan "10 Essentials for a Multi-Millionaire Income ($) Empire". Ha! Kan dah lain macam bunyinya, betul tak? Terus dah saya fikir orang akan kata saya "...nak pergunakan ayat-ayat suci al-Quran demi duit semata-mata" atau "dunia semua tu". Tapi cuba lihat, berapa ramai umat Islam yang fasih membaca al-Quran yang masih lagi dalam keadaan yang sangat memerlukan, ketinggalan dan tidak mampu untuk memberi dorongan kepada orang lain? Maka, kefasihan dan kebolehan mereka (termasuklah saya) hanya terhenti kepada diri sendiri sahaja. Itulah maksud saya.

Semasa saya belajar al-Quran dengan mak ayah dulu, tidaklah sampai berupaya membaca secara tartil dengan alunan yang baikpun. Tapi arwah mak terlalu amat menginginkan anaknya ini menguasai pembacaan al-Quran. Maka dengan itu, dibawanya saya ke kelas-kelas mengaji untuk belajar tarannum. Namun, pada masa itu di mana usia baru mencecah enam (6) tahun, apa yang saya dengar itu ibarat hafalan/hafazan. Apa yang saya peroleh hanyalah tertumpu kepada ayat yang didengar iaitu fasih bertarannum bagi beberapa potong ayat dalam Surah Hud itu sahaja. Begitu juga beberapa ayat dalam surah al-Imran. Nenek saya pernah meminta saya untuk melagukan surah al-Ikhlas, tapi saya tidak berjaya lakukan kerana saya memang tidak boleh menghayati bagaimana caranya untuk fasih dalam membaca keseluruhan ayat-ayat suci al-Quran.

Bacaan saya masih sebegitu sehinggalah saya menjejaki Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat. Bagaimana dan apa yang telah saya lakukan?

1. Saya teringin sangat (passionate) untuk memiliki kefasihan dan keelokan pembacaan Kak Rosni (boleh kata sebagai idola), yang merupakan seorang yang saya kenali semasa saya masih kecil yang pada ketika itu mewakili sekolah untuk pertandingan hafazan al-Quran. Bukan setakat suara yang sedap tetapi juga betapa lancar dan selambanya (lidah lembut) dalam mengalunkan ayat-ayat suci itu secara tartil. Bukan tarannumpun. Ambil saja mana-mana ayat, pastilah dia mampu alunkannya dengan baik dan sedap didengar. Bacaan saya? kaku. Ok, pertama, keinginan mestilah berkobar-kobar.

2. Tiru. Saya selalu dengar Kak Rosni baca Quran di dalam surau dan mendengar bacaan dia di waktu yang lain. Allah mengurniakan saya suara yang sedap tapi tak fasih baca Quran secara keseluruhan. Kak Rosni juga pernah latih saya untuk ke pertandingan tarannum peringkat sekolah. Saya dapat johan tapi ia masih lagi seperti hafalan. Boleh untuk ayat-ayat tertentu, tetapi tidak untuk ayat-ayat yang lain. My brain could not work. Tapi saya sentiasa cuba meniru cara Kak Rosni baca Quran dalam apa jua kesempatan yang saya boleh. Kedua, cubalah meniru bacaan orang lain yang kita suka, secara langsung atau melalui peralatan audio.

3. Ulang. Di sekolah Naim, membaca Quran adalah digalakkan dalam waktu selang Maghrib-Isya, sebelum subuh, hatta semasa tunggu cikgu masuk ke dalam kelas sekalipun. Al-Quran boleh di bawa ke mana-mana sahaja yang boleh. Jadi, setiap hari saya cuba baca sepertimana Kak Rosni baca (tiru) mana yang boleh. Biasalah, apabila meniru, no originality, fake, kaku. Sampai satu tahap, bacaan saya kedengaran sungguh tertekan, membingitkan telinga, membosankan, menyakitkan hati dan sebagainya. Tapi saya teruskan, tanpa mengganggu orang lain. Iyalah, selalunya bacaan yang kurang enak didengar ini boleh mengganggu ketenteraman orang. "Can you just stop it? I am having a heck of the day!" Kadang tu, apabila keseorangan, saya baca sampai tekak saya kering semata-mata untuk mendapatkan feel atau titik kefasihan yang saya inginkan. Apapun kena amalkan sentiasa (praktis).

4. Dengar. Mendengar adalah salah satunya aktiviti yang saya buat ketika saya uzur syarie ataupun ketika saya penat atau hilang suara iaitu mendengar kaset bacaan al-Quran daripada orang lain. Mana yang saya tidak suka saya letak tepi. Target saya masa tu ialah, mencari kaset yang apabila saya dengar, saya berasa tenang dan seronok sambil meniru gaya bacaan, kesinambungan serta keupayaan pembaca mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan indah. Dengar sahaja bacaan-bacaan daripada imam-imam Mekah dan lain-lain. Ia sangat memberikan dorongan secara sedar mahupun tidak.

5. Keikhlasan. Walaupun saya tidak berupaya sepenuhnya memahami ayat-ayat al-Quran yang saya baca, tapi setiapkali saya baca, saya baca dengan penuh perasaan. Baca ikut perasaan (mungkin kerana masih kekurangan ilmu). Hati saya yakin apa yang saya baca itu adalah mesej kebenaran (walaupun tidak memahaminya). Kemudian saya membenarkan ia (walaupun saya tidak faham) dan saya berdoa dengan ayat-ayat kebenaran itu (walaupun saya tidak faham apa yang hendak disampaikan). Ikhlas membenarkan ayat-ayat suci al-Quran dan ikhlas mencintaiNya (walaupun kurang mengenali). Namun, ia sebahagian usaha yang memang tidak sia-sia. Apabila saya ikhlas (ikhlas pun banyak level) mencintai sesuatu yang diberkati Allah SWT, semakin hari saya semakin berkeinginan untuk memahami apa yang tekandung dalam ayat-ayat suci al-Quran itu.

Segalanya dengan izin Allah juga. Saya doakan kita semua menjadi pencinta kalam Allah agar hati kita sentiasa dekat dengan-Nya dan tidak terpedaya dengan dunia yang akan tamat bila-bila masa.

Tuesday, September 15, 2015

Ujub Riak dan Takabbur

Assalamu'alaikum WBT
Kepada pembaca yang budiman, saya ingin memohon maaf seandainya ada di antara tulisn-tulisan saya sebelum ini mempamerkan wujudnya sifat-sifat yang dimurkai Allah. Sesungguhnya saya bertaubat kepada Allah Yang Maha Keras Siksaannya kepada hambaNya yang enggan bertaubat dan menginsafi perbuatan dosa. Semoga Allah Yang Maha Pengampun mengampuni segala dosa-dosa saya sepertimana pembaca memaafkan segala kekhilafan saya.
Pada asasnya, saya menulis untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, ingin belajar mengarang, ingin menyuarakan pendapat, ingin berkongsi teladan. Tidak pernah sesekali saya meniatkan untuk menyombong diri melalui perasaan Ujub, Riak dan Takabbur. Namun, secara tidak sengaja, mungkin ia terjadi. Ya, ujub itu terlalu misteri. Kadang ia seperti jerangkap samar buat diri sendiri.
Saya insan yang lemah. Pada awalnya, saya ingin padamkan semua tulisan saya yang lalu. Namun, setelah memikirkannya semula, saya rasa perlu untuk mengekalkannya semua kerana niat asal saya adalah untuk meluahkan apa yang terbuku sambil belajar mengarang seterusnya berkongsi. Segala teguran akan saya terima dengan hati yang terbuka.
Terima kasih.

Tuesday, September 1, 2015

Doa Mama Sudah Tiada

“Lain macam ni Bie, kena bawa ke hospital” Kata Alyn, sepupu aku yang sedang bercuti. Dia pelajar perubatan, tentu dia faham kondisi  Mama masa tu. Aku pula baru habis belajar LLB. Sedang menunggu keputusan nak masuk LLB (Hons). Cuti semesterlah kiranya masa tu.

Sampai hospital, terus ke bahagian kecemasan. Jumpa Dr Tengku Intan.

“Macamana ni Dr?” aku bertanya kerana belum mengerti apa-apa. "Mama saya bernafas macam ini, Dr boleh tolong dia bagi ok sikit?” sambung aku lagi macam budak baru belajar.

Papa tak ada masa tu sebab papa juga sedang menunggu giliran dan waktu sesuai untuk pembedahan injap jantung di Hospital Kuala Lumpur. Namun, papa ada telefon untuk dihubungi dan aku memaklumkan kepada Papa keadaan Mama.

Selepas panjang lebar penerangan Dr yang enggan menjalankan apa-apa prosedur yang dikhuatiri berbahaya, aku  hanya menurut. Abang Rushdan datang ke hospital, tengok Mama.
“Bie, Mama tak lama dah ni Bie.” Katanya tenang. Aku belum faham. Dia mula baca Yaa Sin.

Dr Tengku bagi aku sekeping kertas untuk ditandatangani. Abang Din serahkan kepada aku. Abang Rushdan juga serahkan kepada aku. Aku telefon Papa, “Papa, Dr bagi kertas ni, minta Bi tandatangan, persetujuan bawa balik ke rumah sebab Dr pun dah tak mahu buat apa-apa.” Terang aku. Papa hanya mampu bersetuju. “Takpalah bawak balik” jawab Papa. Aku bimbang juga dengan keadaan Papa tu, penerangan aku boleh buat dia semakin sakit. Aku berserah diri dan perlu berterus-terang.

Aku tandatangan surat itu. Mamapun dibawa balik ke rumah dengan ambulan. Mama masih bernafas macam itu, lama betul Mama nazak. Abang Rushdan, Abang Din, anak-anak saudara yang berdekatan datang kemas ruang tamu, seolah-olah ada majlis yang akan kami hadapi tidak lama lagi. Ya, masing-masing bergilir baca Yaa Sin.
“Mungkin benarlah kata Dr, kita dah tak boleh buat apa-apa lagi dah, tunggu masa ajelah ni.” Hati aku berbisik sendirian.

Semua orang dah tertidur, tapi aku tak boleh nak lena dok sebelah Mama yang bernafas turun naik dari siang tadi, tak henti-henti. Aku tengok muka Mama, aku cakap apapun, Mama dah tak respond macam sebelum ni. Aku penat, aku mengantuk tapi aku tak boleh buat apa-apa. Baca Yaa Sin pun dah berapa round. Last sekali aku mintak izin dengan Mama nak pegi solat Tahajjud. Aku solat, aku berdoa dengan Tuhan,
“Wahai Allah, kasihanilah aku dan kasihanilah ibuku.”
Jam lebih kurang pukul 5.30 kot (hampir ke waktu subuh), aku rasa mengantuk dan minta izin dengan Mama nak lelap sekejap. Belum seminit aku lelap, aku tak dengar apa-apa. Mama dah tak bernafas macam tadi, mungkin dah sembuh dan dapat tidur lena?

“Abang, bangun! Tengok Mama ni.” Teriak aku kat Abang Rushdan yang terlena kat hujung dinding rumah. “Mama ok tak ni Abang?” aku macam masih kebingungan.

“Mama takde doh ni, Bie. Innaa lillaahi wa inna ilaihi raa ji’uun” jawab Abang Rushdan dengan yakin.

Aku tengok Mama, aku cakap, “Oh, Mama dah tak ada.” Aku kucup dahi dan kedua pipi serta peluk Mama, lantas segera sms kepada Abang-abang dan Kakak-kakak yang berada di kejauhan dan menemani Papa di HKL. “Mama dah tak ada”. Ringkas. Aku minta Abang Han bagitahu Papa kerana aku tak sanggup nak bercakap dengan Papa. Lagipun, hari itu 14.4.2004 bakal menjadi hari yang paling sibuk untuk aku. Menguruskan jenazah ibu sendiri.

Arahan demi arahan aku terima daripada Papa untuk aku. Barulah aku tahu, Papa sudah standby duit RM2000 dalam almari untuk pengurusan jenazah dan aku juga terkesima dengan banyaknya duit syiling yang Papa kumpul dalam tab simen tempat untuk memandikan jenazah. Alhamdulillah Abang Rushdan dan Abang Din ada untuk tolong panggil orang-orang yang berkenaan. Aku hanya buat apa yang patut, sebelum kakak-kakak dan abang-abang aku sampai dari jauh.

Rupa-rupanya Papa juga akan balik tengok jenazah. Walaupun dilarang Doktor dan Abang, Papa berdegil nak balik. Papa juga dah tandatangan borang untuk balik atas risiko sendiri, bersama Abang Han dengan kapal terbang.

Jenazah belum dimandikan, anak-anak semua dah sampai. Mengelilingi jenazah. Aku tengok buat pertama kalinya Papa menangis teresak-esak, kemudian Abang Han. Barulah aku mula berasa sedih, namun tak lama.

Kami adik-beradik perempuan bersiap-siap untuk memandikan jenazah. Alhamdulillah, Kak Mar (Kakak Ipar) pun ada membantu. Sewaktu untuk memilih bahagian mana untuk dimandikan, aku telah memilih untuk mengambil bahagian pusat ke lutut kerana aku sudah biasa menjaganya sewaktu Mama masih hidup dan terlantar di atas katil.

Sewaktu pengkebumian, Alhamdulillah, suasana mendung serta angin sepoi-sepoi bahasa. Dingin dan mendamaikan sehingga menjadi buah mulut orang yang menyaksikannya.
"Bie, doa Mama dah tak ada untuk kita." kata abang Han sambil menangis. Aku diam tidak terkata. Menangispun tidak.
99 hari kemudian, 13.7.2004 Papa pula dipanggil Ilahi sewaktu aku baru sahaja kembali ke UiTM untuk menyambung pengajian LLB (Hons).
Aku grad, aku kerja, aku kahwin, aku beranak-pinak, semuanya tidak disaksikan oleh Mak atau Ayah.
Terima kasih Mama, Papa sebab bagi Bie kakak dan Abang yang AWESOME. Waktu Bi konvo, depa datang bersorak kat Dewan Sri Budiman walaupun orang lain dok sopan santun ja kat dalam tu. Time Bie konvo LLM pulak, Kak Su yang sibuk sebagai doctor pun sanggup nak jaga anak-anak Bie yang dua orang dah masa tu. Pakat-pakat jaga kat rumah Abang Han. Time kawin pulak, pakat2 sponsor belanja itu ini. Tak jadi nak nangis.
Cuma bila Bie dah beranak-pinak dan depa juga hadapi perkara yang sama, Bie sedar betapa harunya Mama Papa dah takda. Barulah Bie mula dok nangis macam budak-budak. Allahu.