Wednesday, September 16, 2015

Kalam Allah itu Mendamaikan

Baca Quran
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya jarang bercakap tentang kebolehan yang Allah SWT bagi kepada saya iaitu kefasihan membaca al-Quran. Kenapa? sebab saya fikir orang akan fikir saya menunjuk-nunjuk. Hakikatnya saya takut dengan sifat ujub, riak dan takabbur sehingga menyebabkan hubungan saya dengan manusia lain terjejas. Saya terfikir semula apabila mendengar syarahan Brendon Buchard berkenaan "10 Essentials for a Multi-Millionaire Income ($) Empire". Ha! Kan dah lain macam bunyinya, betul tak? Terus dah saya fikir orang akan kata saya "...nak pergunakan ayat-ayat suci al-Quran demi duit semata-mata" atau "dunia semua tu". Tapi cuba lihat, berapa ramai umat Islam yang fasih membaca al-Quran yang masih lagi dalam keadaan yang sangat memerlukan, ketinggalan dan tidak mampu untuk memberi dorongan kepada orang lain? Maka, kefasihan dan kebolehan mereka (termasuklah saya) hanya terhenti kepada diri sendiri sahaja. Itulah maksud saya.

Semasa saya belajar al-Quran dengan mak ayah dulu, tidaklah sampai berupaya membaca secara tartil dengan alunan yang baikpun. Tapi arwah mak terlalu amat menginginkan anaknya ini menguasai pembacaan al-Quran. Maka dengan itu, dibawanya saya ke kelas-kelas mengaji untuk belajar tarannum. Namun, pada masa itu di mana usia baru mencecah enam (6) tahun, apa yang saya dengar itu ibarat hafalan/hafazan. Apa yang saya peroleh hanyalah tertumpu kepada ayat yang didengar iaitu fasih bertarannum bagi beberapa potong ayat dalam Surah Hud itu sahaja. Begitu juga beberapa ayat dalam surah al-Imran. Nenek saya pernah meminta saya untuk melagukan surah al-Ikhlas, tapi saya tidak berjaya lakukan kerana saya memang tidak boleh menghayati bagaimana caranya untuk fasih dalam membaca keseluruhan ayat-ayat suci al-Quran.

Bacaan saya masih sebegitu sehinggalah saya menjejaki Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat. Bagaimana dan apa yang telah saya lakukan?

1. Saya teringin sangat (passionate) untuk memiliki kefasihan dan keelokan pembacaan Kak Rosni (boleh kata sebagai idola), yang merupakan seorang yang saya kenali semasa saya masih kecil yang pada ketika itu mewakili sekolah untuk pertandingan hafazan al-Quran. Bukan setakat suara yang sedap tetapi juga betapa lancar dan selambanya (lidah lembut) dalam mengalunkan ayat-ayat suci itu secara tartil. Bukan tarannumpun. Ambil saja mana-mana ayat, pastilah dia mampu alunkannya dengan baik dan sedap didengar. Bacaan saya? kaku. Ok, pertama, keinginan mestilah berkobar-kobar.

2. Tiru. Saya selalu dengar Kak Rosni baca Quran di dalam surau dan mendengar bacaan dia di waktu yang lain. Allah mengurniakan saya suara yang sedap tapi tak fasih baca Quran secara keseluruhan. Kak Rosni juga pernah latih saya untuk ke pertandingan tarannum peringkat sekolah. Saya dapat johan tapi ia masih lagi seperti hafalan. Boleh untuk ayat-ayat tertentu, tetapi tidak untuk ayat-ayat yang lain. My brain could not work. Tapi saya sentiasa cuba meniru cara Kak Rosni baca Quran dalam apa jua kesempatan yang saya boleh. Kedua, cubalah meniru bacaan orang lain yang kita suka, secara langsung atau melalui peralatan audio.

3. Ulang. Di sekolah Naim, membaca Quran adalah digalakkan dalam waktu selang Maghrib-Isya, sebelum subuh, hatta semasa tunggu cikgu masuk ke dalam kelas sekalipun. Al-Quran boleh di bawa ke mana-mana sahaja yang boleh. Jadi, setiap hari saya cuba baca sepertimana Kak Rosni baca (tiru) mana yang boleh. Biasalah, apabila meniru, no originality, fake, kaku. Sampai satu tahap, bacaan saya kedengaran sungguh tertekan, membingitkan telinga, membosankan, menyakitkan hati dan sebagainya. Tapi saya teruskan, tanpa mengganggu orang lain. Iyalah, selalunya bacaan yang kurang enak didengar ini boleh mengganggu ketenteraman orang. "Can you just stop it? I am having a heck of the day!" Kadang tu, apabila keseorangan, saya baca sampai tekak saya kering semata-mata untuk mendapatkan feel atau titik kefasihan yang saya inginkan. Apapun kena amalkan sentiasa (praktis).

4. Dengar. Mendengar adalah salah satunya aktiviti yang saya buat ketika saya uzur syarie ataupun ketika saya penat atau hilang suara iaitu mendengar kaset bacaan al-Quran daripada orang lain. Mana yang saya tidak suka saya letak tepi. Target saya masa tu ialah, mencari kaset yang apabila saya dengar, saya berasa tenang dan seronok sambil meniru gaya bacaan, kesinambungan serta keupayaan pembaca mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan indah. Dengar sahaja bacaan-bacaan daripada imam-imam Mekah dan lain-lain. Ia sangat memberikan dorongan secara sedar mahupun tidak.

5. Keikhlasan. Walaupun saya tidak berupaya sepenuhnya memahami ayat-ayat al-Quran yang saya baca, tapi setiapkali saya baca, saya baca dengan penuh perasaan. Baca ikut perasaan (mungkin kerana masih kekurangan ilmu). Hati saya yakin apa yang saya baca itu adalah mesej kebenaran (walaupun tidak memahaminya). Kemudian saya membenarkan ia (walaupun saya tidak faham) dan saya berdoa dengan ayat-ayat kebenaran itu (walaupun saya tidak faham apa yang hendak disampaikan). Ikhlas membenarkan ayat-ayat suci al-Quran dan ikhlas mencintaiNya (walaupun kurang mengenali). Namun, ia sebahagian usaha yang memang tidak sia-sia. Apabila saya ikhlas (ikhlas pun banyak level) mencintai sesuatu yang diberkati Allah SWT, semakin hari saya semakin berkeinginan untuk memahami apa yang tekandung dalam ayat-ayat suci al-Quran itu.

Segalanya dengan izin Allah juga. Saya doakan kita semua menjadi pencinta kalam Allah agar hati kita sentiasa dekat dengan-Nya dan tidak terpedaya dengan dunia yang akan tamat bila-bila masa.

No comments: