Saya masih baru dalam arena pentadbiran di Fakulti Undang-Undang. Tanggal 1 April 2012, genap tiga tahun saya bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Undang-Undang. Selama tiga tahun itu, saya bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab hakiki serta sampingan yang memerlukan komitmen yang tinggi. Apa yang penting, saya telah cuba ikhlaskan diri semata-mata beribadah kepada Allah dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan. Sesungguhnya, saya tidak pernah mengeluh dengan pekerjaan saya. Walaupun penat, kadang-kadang sedih dengan sikap manusia, tersilap dalam berbuat sesuatu...saya anggap itu sebagai rencah dalam kehidupan bekerjaya. Sesungguhnya saya amat gembira dengan pekerjaan saya. Alhamdulillah, suami saya sentiasa redha dengan pekerjaan yang saya lakukan.
Alhamdulillah, tanggal 01.11.2011 adalah tarikh keramat buat saya kerana telah disahkan jawatan..lima bulan sebelum tempoh tiga tahun. Walaupun bagi sesetengah pensyarah tempoh dua tahun setengah itu agak lama untuk disahkan jawatan, namun...bagi saya itu adalah satu pencapaian yang hebat. Bukan senang, seorang ibu bekerjaya yang mempunyai anak-anak kecil pula... berjuang habis-habisan untuk memenuhi syarat sah jawatan yang ketat di UiTM ni. Rezeki Allah, urusan saya dipermudahkan. Apa yang paling penting ialah, saya yakin semua ini adalah berkat kesungguhan, keikhlasan saya dalam menjalankan tanggungjawab saya di fakulti. Namun demikian, saya juga percaya, ia berkat sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh rakan sekerja yang dihormati, staf-staf yang dikasihi serta pihak pengurusan Fakulti Undang-Undang sendiri. Terima kasih semua.
Tidak lupa kepada suami yang paling banyak memberi dorongan samada secara langsung mahupun tidak. Masih ingat lagi sewaktu awal-awal melapor diri. Saya dilantik menjadi AJK Penyediaan Dokumen OBE. Maka, bermulalah episod menghadiri bengkel yang hampir seminggu sekali diadakan. Pada satu Sabtu, suami turut dijadualkan menjadi penceramah di Port Dickson. Bagi menjayakan misi kami berdua, suami sanggup membawa kami anak beranak ke PD untuk bercuti pada Jumaat, kemudian lepas solat subuh pagi Sabtu kami ke UiTM Shah Alam untuk bengkel OBE saya, kemudian kembali ke PD untuk sambung bercuti. Terima kasih wahai suami atas segala sokongan dan dorongan yang diberikan. Ia sungguh istimewa. Tidak dapat dibayangkan sekiranya suatu hari nanti suami terpaksa pergi menyambung pelajaran ke luar negara meninggalkan kami anak-anak...ohh...nak ikut!:)
Tanggal 1 April 2012 (genap tiga tahun) sebagai pensyarah, saya dilantik pula menjadi Ketua Pusat Pengajian Asasi Undang-Undang menggantikan Puan Rafidah Datuk Salleh yang sangat berdedikasi dan berketerampilan. Sesungguhnya saya masih baru ... dan dalam tempoh kehamilan yang menduga kemampuan fizikal dan emosi. Saya tidak pernah berbangga dengan jawatan ini apatah lagi mengganggapnya sebagai jalan untuk mendapatkan elaun tambahan. Tidak sekali-kali. Malah saya pernah cuba menolak cadangan lantikan ini atas dasar keterbatasan fizikal (sebab hamil) dan ramai lagi yang berkelayakan dan lebih senior daripada saya. Namun, apabila saya menghayati kehendak Ketua Jabatan yang bersungguh-sungguh dan yakin dengan kemapuan saya untuk menjalankan tugas, saya menerimanya dengan redha malah bersyukur atas kurniaan Allah yang tidak pernah saya mimpikan ini.
Setelah dua minggu memegang jawatan ini, profesionalisma saya diuji, kemampuan pengurusan saya diuji serta keteguhan emosi saya diuji. Menarik ujiannya. Memperlihatkan kepada saya berbagai fenomena yang sentiasa menyelubungi manusia sebagai masalah yang sudah timbul sejak sekian lama namun masih berlaku. Masalah yang belum selesai dan saya yakin, sayalah penyelesai kepada masalah tersebut. (Wah! Yahkinnya!!). I have no choice. :) Saya yakin dengan ujian-ujian ini saya akan memperolehi rezeki yang halal. Atas dasar ini, walaupun ujian-ujian ini menampakkan kelemahan saya namun ia masih bergantung kepada pandangan dan perspektif orang di sekitar samada untuk membantu memperbaiki kelemahan dan kesilapan atau sekadar mengkritik dan mencari kesalahan. Saya kembali kepada perkara asas iaitu pekerjaanku adalah satu ibadah dan Allah sahaja yang mampu membuat penilaian sebenar atas segala yang saya lakukan. Dalam masa yang sama, saya berterima kasih kepada Ketua Jabatan atas segala nasihat dan teguran yang diberikan untuk kebaikan masa depan saya.
Melalui pengalaman yang masih baru ini, saya beranggapan bahawa tidak semua masalah atau isu yang timbul adalah perkara baru. Beberapa isu yang timbul adalah perkara lama yang tiba-tiba muncul untuk diselesaikan dan ia melibatkan saya. Maka, saya akan tanganinya secara luar biasa agar ia tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment