Wednesday, September 16, 2015

Dugaan Yang Dinikmati

Ini ialah kesinambungan kepada tulisan saya bertajuk "Meniru Untuk Fasih" dan "Apa Pendapat Anda" berkaitan pengalaman peribadi memperkasa kefasihan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

Nota: Saya ingin mempastikan bahawa pembaca budiman sekalian maklum bahawa penulis blog seperti saya masih mentah dalam bidang penulisan dan penulisan blog adalah salah satu caranya untuk menggarap idea-idea sendiri melalui pengalaman sendiri menjadi satu bentuk penulisan ke arah menghasilkan penulisan yang berkualiti pada masa depan. Teguran membina amatlah dialu-alukan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap manusia diuji, begitu juga dengan saya sebagai Muslim yang mengaku mencintai al-Quran. 

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya ada bincangkan tentang kaedah untuk fasih dalam bacaan al-Quran dan meniru bacaan orang lain sebagai kaedah permulaan untuk memperbaiki bacaan sendiri.

Di sini, saya ingin berkongsi dugaan yang saya hadapi sepanjang saya menunujukkan kecintaan saya terhadap al-Quran.

Pertama: Fitnah. Saya difitnah leka dengan al-Quran sehingga mengabaikan usaha keduniaan demi untuk kemaslahatan hidup di dunia. Ya, benar. Kadangkala saya sangat leka dengan al-Quran sehingga saya melupakan dunia seluruhnya; enggan bersosial, enggan keluar makan dengan kawan-kawan, enggan mengulangkaji sampai lewat malam, enggan bergelak ketawa sebagai cara menghiburkan hati bersama rakan-rakan atau saudara mara, dan banyak lagi. Tapi, persoalannya, masalah kita manusia ni sama ke? TAK. Tahap bebanan setiap manusia ni sama ke? TAK. Jalan penyelesaian untuk semua masalah manusia itu sama ke? TAK. Saya yakin ramai yang buntu dalam mencari penyelesaian dalam permasalahan hidup mereka (seperti juga saya). Masalah yang bagaimana? Yang merangkumi segala aspek kehidupan baik kewangan, hubungan persaudaraan dan diri sendiri melibatkan fizikal, spiritual dan emosi (perasaan). Tahap bebanan yang diberikan adalah berbeza dan kemampuan untuk menghadapi semuanya juga adalah berbeza, bukan? jadi, bukankah adil sekiranya saya menyatakan di sini bahawa saya perlu leka mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu dalam keadaan dan masa-masa tertentu atas keyakinan bahawa ia adalah penawar bagi jiwa manusia (saya)?

Kedua: Nafsu dan syaitan. Kita semua maklum bahawa tiada musuh yang saling bahaya iaitu syaitan dan nafsu. Namun bagi saya, dugaan nafsu itu sangat besar kerana ia berada dalam diri sendiri, tidak nampak dan tersembunyi dalam kurungan iman yang kukuh. Keadaan iman pula bergantung kepada tahap keikhlasan saya mentaati Allah SWT. Ikhlas pula perlu dihambat dan diselongkar dalam jiwa sendiri yang kadang diasak-asak oleh bisikan-bisikan syaitan yang direjam itu. Peranan syaitan ini sangat dahsyat, wahai pembaca sekalian. Andai tidak berilmu, sudah lama agaknya saya hanyut dalam kelekaan yang berpanjangan (walaupun mengakui mencintai dan membaca al-Quran). Ilmu pula diperoleh dengan usaha disertai petunjuk Allah SWT. Dugaan nafsu dan syaitan ini akan berpanjangan sampailah kiamat. Maka, adil untuk saya katakan di sini bahawa saya yang mencintai al-Quran ini juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat dek terleka dengan godaan nafsu dan syaitan. Namun, adalah perlu untuk dinyatakan di sini bahawa, dosa dan maksiat itu tidak sekali-kali menghentikan usaha murni saya memperbaiki kelemahan-kelemahan saya dalam bacaan al-Quran. Andai dilihat insan seperti saya yang mengakui mencintai dan membaca al-Quran ini turut sama menunaikan qiamullai dan dhuha saban hari, ada yang cepat menjatuhkan hukum; "alimnya Huda", "rajinnya Huda", "alaa, rajin beribadat tapi malas study", "baca Quran tapi bercinta dengan lelaki bukan mahram". Namun, saya terima kata-kata itu kerana itu adalah ujian untuk saya dan saya hadapinya sedaya mungkin sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keimanan. Bukankah qiamullai dan solat dhuha itu juga satu usaha untuk membina benteng diri daripada musuh-musuh utama tadi? baik atau alim seseorang itu biar Allah SWT sahajalah yang nilai. Saya diuji seberat itu kerana mencintai al-Quran, maka saya perlu beratkan lagi ibadat dan keikhlasan untuk perkukuh keimanan. Hati-hatilah dengan kejahatan nafsu. Ia sentiasa mengajak diri kepada perbuatan yang mungkar dan dibenci Allah SWT. Semakin kita mendekati al-Quran, semakin hebatlah dugaan tersebut.

Ikhlas: Saya sentiasa sebut ikhlas dalam tulisan saya. Ya, ikhlas boleh membakar segala keinginan-keinginan duniawi. Ikhlas mencari redha Allah SWT. Hebat ganjarannya kepada sesiapa yang fasih dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Maka, tidak adillah jika ganjaran yang hebat diberi kepada mereka yang sedikit ujian keikhlasannya, bukan? tapi Allah SWT itu Maha Pemurah, sentiasa menganugerahkan banyak-banyak untuk hambaNya yang berbuat baik sekalipun hatinya tidak 100% ikhlas. Ikhlas membantu jiwa kita kuat seterusnya memudahkan usaha untuk cepat fasih. Ikhlas mencintai dan ikhlas melepaskan kecintaan kepada dunia.

Ramai yang berputus-asa. Namun, saya tetap menganggap bahawa dugaan-dugaan ini patut 'dini'mati' kerana bersamanya hadirlah ganjaran Allah SWT buat bekalan hidup di dunia dan akhirat.


No comments: