Wednesday, May 2, 2012

Kerjaya Dan Hobi

Saya memang sudah dilatih menjadi usahawan sejak kecil lagi oleh arwah mama. Jual jagung rebus semasa sukan rakyat, jual buah jambu mawar dan limau godang kat kawan-kawan di sekolah... dapat duit buat belanja diri dan kawan-kawan (bukan simpanpun). Heheh.

Tapi usaha berniaga ni tak berterusan apabila masuk sekolah asrama, kemudian ambik program Law kat universiti. Tak ada peluang berniaga dan tiada sokongan moral langsung untuk berniaga. Walaupun kewangan memanglah tak bagus semasa belajar dulu, memang langsung tak berani nak menceburi bidang perniagaan. Persepsi tidak berapa bagus juga lah tentang berniaga ni!:) Saya sanggup hidup dengan gaji RM600 sebulan di Bandar Besar KL dan Shah Alam tanpa langsung ada ikhtiar nak berniaga. Takut dan prejudis!:)

Tapi, apabila sudah kahwin, saya mempunyai perspektif yang berbeza tentang berniaga. Almost 360'. Mak mertua dorong kami berniaga dan bagi sokongan moral kepada kami. Memandangkan suami terlalu sibuk, jadi sayalah penggerak aktiviti berniaga dari rumah.:) Adik-adik ipar pula cerah mindanya dalam perniagaan walaupun permulaannya kecil sahaja. Pada mulanya masih juga sangsi, tapi apabila melihat Kak As turut secara suka-suka berniaga Tupperware, sayapun turut libatkan diri sebagai konsultan.  Minat yang muncul itu saya salurkan secara sampingan sahaja memandangkan saya waktu tu pemegang biasiswa, bakal makan gaji dengan UiTM. Masih ada lagi lah perasaan takut dan tak biasa nak berniaga sebab macam-macam syarat rasmi kena ikut kalau nak berniaga... seperti perlu mendapat kebenaran Ketua Jabatan dan sebagainya.

Namun demikian, setelah mempunyai anak yang ramai, kos sara hidup juga semakin meningkat terutama hidup di Bandar Besar Shah Alam, Putrajaya ... Mahu tidak mahu, saya memberanikan diri juga mencuba pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan. Kedai memanglah tiada. Nak buka kedai secara onlinepun perlukan komitmen juga. Jadi saya buat keputusan menjadikan perniagaan sebagai hobi semata-mata.

Sekadar jadi agen atau konsultan yang pada asalnya menjadi pengguna sahaja.  Hakikatnya, saya langsung tidak disibukkan dengan aktiviti berniaga ini sebab saya pada asalnya adalah pengguna semata-mata.:) Pada masa yang sama jadi agent. Siapa berminat berkongsi produk, boleh order...Hobi yang sangat membuahkan hasil, bukan?:) Selain seronok dengan income, dapat juga lakukan sesuatu untuk membantu diri sendiri dan keluarga.

Buat masa sekarang, produk-produk berikut adalah keutamaan saya:
1) Tupperware
2) VCO Catalyst (Softgels) dan Collagen (Catalyst)
3) Dinar dan Dirham (Setakat ni saya adalah ahli kumpulan pengumpul/peniaga emas perak di FB seperti Gold Lot Shop, Silver Lot Shop, Dinar dan Dirham Restu dll). Saya juga adalah agent berdaftar Public Gold (PG014276)
4) Dalam masa yang terdekat juga saya akan berdaftar sebagai dealer untuk produk ST dan Jamu Ratu Malaya.
5) InsyaAllah, dalam proses mendaftar sebagai konsultan unit trust Public Mutual.:)

Setakat ini, hobi berniagalah yang paling lama kekal berbanding lain-lain hobi seperti menulis, membuat penyelidikan dan sebagainya.:) Namun demikian, tidak banyak masa yang diperuntukkan untuk berniaga kerana saya terpaksa mengutamakan kerjaya hakiki saya sebagai pensyarah di sebuah fakulti yang elit di UiTM. Sudah tentulah penting untuk jaga reputasi dan berdedikasi tinggi!:)

Lebih-lebih lagi saya sudah memulakan langkah untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD. Dengan kata lain, melatih diri untuk menjadi penyelidik. Apa yang pelik, minat saya untuk penyelidikan bukanlah dalam bidang perniagaan, tetapi bidang Pentadbiran Undang-Undang Syariah.:) Mungkin ia daripada naluri dan fitrah sejak kecil hasil daripada dorongan arwah mama.:) Ilmu syariahlah yang pada asalnya beliau ingin saya dalami. InsyaAllah, saya tidak akan lari daripada aspek syariah ni. Buat masa ini, saya akan fokuskan penyelidikan saya kepada peranan dan kedudukan Majlis Agama Islam di sisi Undang-Undang. Tajuk sudah ada, tinggal lagi untuk duduk dan menyiapkan proposal untuk permohonan tempat pengajian dan biasiswa dalam masa terdekat.

Bagi merealisasikan impian ilmu ini, insyaAllah fokus sekarang beralih kepada membuat pembacaan dan penulisan. Maka, tidak kisahlah jika tidak dapat nak bergiat aktif dengan hobipun:) Bukankah hobi itu sampingan sahaja?:) Bagi saya ilmu itu amat bernilai. Peluang yang ada tidak patut disia-siakan. Saya anggap ini juga adalah rezeki Allah.:) Ini jugalah masanya untuk saya merealisasikan impian yang terpendam sekian lama.

Semoga Allah permudahkan jalan ini pada usia sekarang, 31 tahun... Huhu:) Impian sejak umur 27 tahun lagi. Tapi buat apa mengenang nasib yang lepas. Sakit, pedih, marah, kecewa dsb. Sekarang saya sudah redha. Apapun hikmahnya, tiada siapa yang mampu menghalang ketentuan Ilahi:)

Thursday, April 26, 2012

Isu Biasa Perlu Ditangani Secara Luar Biasa

Saya masih baru dalam arena pentadbiran di Fakulti Undang-Undang. Tanggal 1 April 2012, genap tiga tahun saya bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Undang-Undang. Selama tiga tahun itu, saya bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab hakiki serta sampingan yang memerlukan komitmen yang tinggi. Apa yang penting, saya telah cuba ikhlaskan diri semata-mata beribadah kepada Allah dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan. Sesungguhnya, saya tidak pernah mengeluh dengan pekerjaan saya. Walaupun penat, kadang-kadang sedih dengan sikap manusia, tersilap dalam berbuat sesuatu...saya anggap itu sebagai rencah dalam kehidupan bekerjaya. Sesungguhnya saya amat gembira dengan pekerjaan saya. Alhamdulillah, suami saya sentiasa redha dengan pekerjaan yang saya lakukan.

Alhamdulillah, tanggal 01.11.2011 adalah tarikh keramat buat saya kerana telah disahkan jawatan..lima bulan sebelum tempoh tiga tahun. Walaupun bagi sesetengah pensyarah tempoh dua tahun setengah itu agak lama untuk disahkan jawatan, namun...bagi saya itu adalah satu pencapaian yang hebat. Bukan senang, seorang ibu bekerjaya yang mempunyai anak-anak kecil pula... berjuang habis-habisan untuk memenuhi syarat sah jawatan yang ketat di UiTM ni. Rezeki Allah, urusan saya dipermudahkan. Apa yang paling penting ialah, saya yakin semua ini adalah berkat kesungguhan, keikhlasan saya dalam menjalankan tanggungjawab saya di fakulti. Namun demikian, saya juga percaya, ia berkat sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh rakan sekerja yang dihormati, staf-staf yang dikasihi serta pihak pengurusan Fakulti Undang-Undang sendiri. Terima kasih semua.

Tidak lupa kepada suami yang paling banyak memberi dorongan samada secara langsung mahupun tidak. Masih ingat lagi sewaktu awal-awal melapor diri. Saya dilantik menjadi AJK Penyediaan Dokumen OBE. Maka, bermulalah episod menghadiri bengkel yang hampir seminggu sekali diadakan. Pada satu Sabtu, suami turut dijadualkan menjadi penceramah di Port Dickson. Bagi menjayakan misi kami berdua, suami sanggup membawa kami anak beranak ke PD untuk bercuti pada Jumaat, kemudian lepas solat subuh pagi Sabtu kami ke UiTM Shah Alam untuk bengkel OBE saya, kemudian kembali ke PD untuk sambung bercuti. Terima kasih wahai suami atas segala sokongan dan dorongan yang diberikan. Ia sungguh istimewa. Tidak dapat dibayangkan sekiranya suatu hari nanti suami terpaksa pergi menyambung pelajaran ke luar negara meninggalkan kami anak-anak...ohh...nak ikut!:)

Tanggal 1 April 2012 (genap tiga tahun) sebagai pensyarah, saya dilantik pula menjadi Ketua Pusat Pengajian Asasi Undang-Undang menggantikan Puan Rafidah Datuk Salleh yang sangat berdedikasi dan berketerampilan. Sesungguhnya saya masih baru ... dan dalam tempoh kehamilan yang menduga kemampuan fizikal dan emosi. Saya tidak pernah berbangga dengan jawatan ini apatah lagi mengganggapnya sebagai jalan untuk mendapatkan elaun tambahan. Tidak sekali-kali. Malah saya pernah cuba menolak cadangan lantikan ini atas dasar keterbatasan fizikal (sebab hamil) dan ramai lagi yang berkelayakan dan lebih senior daripada saya. Namun, apabila saya menghayati kehendak Ketua Jabatan yang bersungguh-sungguh dan yakin dengan kemapuan saya untuk menjalankan tugas, saya menerimanya dengan redha malah bersyukur atas kurniaan Allah yang tidak pernah saya mimpikan ini.

Setelah dua minggu memegang jawatan ini, profesionalisma saya diuji, kemampuan pengurusan saya diuji serta keteguhan emosi saya diuji. Menarik ujiannya. Memperlihatkan kepada saya berbagai fenomena yang sentiasa menyelubungi manusia sebagai masalah yang sudah timbul sejak sekian lama namun masih berlaku. Masalah yang belum selesai dan saya yakin, sayalah penyelesai kepada masalah tersebut. (Wah! Yahkinnya!!). I have no choice. :) Saya yakin dengan ujian-ujian ini saya akan memperolehi rezeki yang halal. Atas dasar ini, walaupun ujian-ujian ini menampakkan kelemahan saya namun ia masih bergantung kepada pandangan dan perspektif orang di sekitar samada untuk membantu memperbaiki kelemahan dan kesilapan atau sekadar mengkritik dan mencari kesalahan. Saya kembali kepada perkara asas iaitu pekerjaanku adalah satu ibadah dan Allah sahaja yang mampu membuat penilaian sebenar atas segala yang saya lakukan. Dalam masa yang sama, saya berterima kasih kepada Ketua Jabatan atas segala nasihat dan teguran yang diberikan untuk kebaikan masa depan saya.

Melalui pengalaman yang masih baru ini, saya beranggapan bahawa tidak semua masalah atau isu yang timbul adalah perkara baru. Beberapa isu yang timbul adalah perkara lama yang tiba-tiba muncul untuk diselesaikan dan ia melibatkan saya. Maka, saya akan tanganinya secara luar biasa agar ia tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang. InsyaAllah.

Tuesday, April 24, 2012

My Research Book

This is my research book. I've prepared it quite sometime ago when I first attended PhD Research Methodology a year ago.