Friday, May 4, 2012

Ibuku Sayang


Semasa Ibu masih ada, macam-macam ragamku. Tapi Ibu tetap bersabar dan tidak henti-henti berdoa serta berikhtiar untuk kebaikan dan masa depanku.

Ibu tidak pernah menunjukkan rasa kecewa kepadaku. Jika kesilapanku sebesar nakhoda Si Tanggangpun, dia tetap bermanis muka dan berkata, BERTUAHnya anak aku!:)

Ibu, semasa aku remaja, dikau ada menampakkan sedikit kekhuatiran di wajahmu...mungkin dikau tahu dan faham benar dugaan dunia untuk anak remaja sepertiku...atau mungkin dikau sudah tidak berdaya menjadi teman tatkala dikau sendiri sudah tidak berdaya kerana penyakit yang menimpamu. Namun, tidak pernah terluah oleh kata-kata atau perbuatanmu tentang sikapku yang mungkin ada mengguris hatimu.

Ibu, semasa engkau sedang terlantar sakit untuk beberapa tahun, terlintas juga di hati ini untuk rela jika Allah mengambilmu kembali ke sisiNya..."Ya Allah, kau ambillah ibu kerana aku tidak sanggup melihat ketabahan ibuku dalam penderitaan itu berterusan...sedangkan anak-anaknya ini tidak bersamanya dalam perjuangan hidup dan matinya itu!." Pilu mengenangkannya...

Beberapa kali..., tatkala aku pulang menjengukmu, aku merintih sayu..."izinkanlah Ya Allah aku menjaganya kerana tidak sanggup aku melihat periuk nasi itu...pinggan mangkuk itu...bekas lauk itu...dilewati ulat-ulat dek kerana...engkau sudah tidak mampu menguruskan dapur itu!:"'(. Manakan dapur...bedak di wajahmu itu kadangkala aku yang ratakan sambil melihatmu tersenyum!

Ibu, secangkir kopi dan sepiring biskut degil yang aku hidangkan sebaik sahaja aku sampai di rumah... engkau minum dengan penuh ni'mat...katamu, "sudah lama tak ku minum kopi, sedapnya bau dan rasanya!", sambil dikau tersenyum dan memejamkan mata. Dikau tidak tahu, kopi itu telah aku rendamkan dengan air panas selama 30 minit dek kerana serbuk kopi telah bertukar menjadi ketulan kopi! Mungkin engkau terlupa menutup bekasnya beberapa minggu ibu!.

Ibu, dalam tempoh engkau terlantar itu, kata-kata terakhir yang terungkap di mulutmu ialah "Maa...na... A...yah....mu?"....pelat benar tutur katamu...tidak bertenaga...hampir tidak aku fahami... Tapi aku dapat menangkapnya dan terus kujawab dengan sukacita dan terharu akibat terlalu lama tidak mendengar kata-katamu Ibu!...  "Oh, ayah ada di kebun... lama dia tak ke kebun, Bi (namaku)kan ada.." Lalu dikau tersenyum manis..."Masih mampu dikau tersenyum wahai ibu....mungkin dikau sudah lali dengan kesakitan itu!

Setelah kau pergi, seperti ada sesuatu yang menghalangku mengalirkan air mata...mungkin aku terlalu sibuk menguruskan jenazahmu,  menguruskan tetamu yang menziarahimu atau sibuk menguruskan rumahtanggamu tatkala ramai yang berduka dengan pemergianmu...tidak punya masa air mata ini untuk mengalir ibu...walaupun tatkala arwah ayah terisak-isak menahan pilu...abang-abang menahan sedih memandang jenazahmu, kakak-kakak sayu di kalbu...belum hendak air mata tercurah, Ibu!

Tetapi setelah semuanya berlalu, aku kesepian. Mengapa pernah aku berdoa memohon Allah mengembalikanmu kepadaNya?! Kadangkala..ku menyesali dengan permintaan itu! Aku kesunyian Ibu! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun terlantar itu... benar-benar memberi makna dalam kehidupanku! Aku insaf bahawa keberadaanmu, walaupun tidak mampu berbuat apa-apa...tetap bernilai buatku...lebih bernilai daripada segala yang ada di dunia ini Ibu!...

Kadangkala...aku seperti anak kecil...menangis terisak-isak sendirian, memanggilmu...di malam yang syahdu, atau sambil memandu pulang dari pejabatku! Aku rindukan DOA-DOAmu! Aku perlukan DOA-DOAmu! Siapa yang dapat menggantikanmu menDOAkanku tatkala aku memerlukan doa yang tidak terhijab oleh apapun...!!!

Sekarang aku tahu, mengapa dikau begitu tabah menghela nafas, menahan pedih, menahan derita...kerana tanpa dirimu, doamu, kasih sayangmu... anak-anakmu...kepiluan menahan rindu!!!

Nukilan - Nurulhuda Adabiah Mustafa untuk www.flowersinmymind.blogspot.com dengan izin Suharmi bin Ismail.

Thursday, May 3, 2012

Warna Diriku Biru

Pagi tadi sempat singgah satu program yang dikendalikan oleh pegawai kaunseling UiTM berkenaan Inventori Personaliti Warna (IPW). Walaupun pernah membuat ujian ini beberapa kali sebelum ini, namun atas dasar minat dan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu tentang diri-sendiri, maka saya gagahkan juga kaki melangkah ke Bilik Mesyuarat 2 untuk menuntut ilmu. Menurut kata Pegawai Kaunseling berkenaan, interpretasi IPW ini dihasilkan oleh para penyelidik/ilmuwan bersandarkan kajian yang saintifik.

Saya berada dalam kelas personaliti BIRU. :) Maka, apakah interpretasi umum berkenaan individu yang berada dalam kelas warna biru ini? Ada lima pembahagian interpretasi iaitu:

1. Personaliti
2. Pandangan Orang
3. Ciri-ciri di Tempat Kerja
4. Meningkatkan Kualiti Kerja dan 
5. Gaya Kepimpinan

PERSONALITI saya menurut IPW ini ialah:
1. Sangat mementingkan keharmonian
2. Seorang yang memahami
3. Sensitif terhadap persekitaran/orang sekeliling
4. Menghargai orang lain
5. Membuat keputusan berdasarkan emosi
6. Belas kasihan, bersimpati
7. Mementingkan perhubungan yang baik dengan orang lain
8. Seorang yang berseni
9. Romantik
10. Memberi kerjasama
11. Memberi galakan kepada orang lain
12. Jujur
13. Penyayang dan mesra

PANDANGAN ORANG terhadap saya pula ialah:
1. Terlalu emosional
2. Tidak realistik
3. Terlalu baik hati
4. Senang ditipu
5. Manipulatif
6. Lemah-lembut
7. Merimaskan
8. Naif

CIRI-CIRI DI TEMPAT KERJA pula ialah:
1. Mempunyai dorongan yang kuat untuk mempengaruhi orang lain supaya mempunyai hidup yang lebih bermakna
2. Biasanya bekerja dalam bidang seni, komunikasi, pendidikan dan profesion menolong orang lain
3. Mahir memberi memberi motivasi dan berinteraksi dengan orang lain.

MENINGKATKAN KUALITI KERJA pula, saya diterjemahkan sebagai seorang yang:
1. Mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni
2. Berinteraksi dengan terbuka dan jujur
3. Mengelakkan konflik
4. menunjukkan rasa ambil berat, sokongan dan menghargai
5. membenarkan luahan perasaan
6. Menggunakan kemahiran berkomunikasi
7. Memuji
8. Beri maklumbalas secara one-to-one.

GAYA KEPIMPINAN saya pula ialah:
1. Mahukan orang lain menyatakan pendapat
2. Pentingkan semangat kekeluargaan
3. Berusaha membangunkan potensi orang lain
4. Demokratik
5. Menggalakkan perubahan melalui potensi manusia.
6. Pendekatan tidak berstruktur.

Saya positif berkongsi warna diri saya menurut IPW ini atas dasar perlunya kita sebagai manusia mengenali diri sendiri dan perlunya orang lain mengenali diri kita. Walaupun tidaklah patut menjadi sandaran 100%, namun ilmu ini juga sebahagian daripada lautan ilmu Allah jua. Segala ilmu yang dikongsi di sini adalah untuk kita saling kenal mengenali dan sebagai satu pendekatan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam menjalinkan perhubungan sesama manusia. Saya mengambil pendekatan untuk berfikir secara positif dalam hal ini.:)

Wednesday, May 2, 2012

Maha Suci Allah!

Alhamdulillah buat Allah Penciptaku. Ini adalah kandungan yang ke-4 buatku. Walaupun ada kebimbangan saudara-mara dan juga teman-teman tentang kehamilanku yang boleh dianggap kerap, Alhamdulillah... peranakanku(uterus) masih lagi sihat.

Kehamilan sudah tentulah menduga kemampuan fizikal, emosi juga mental. Walaupun peranakan kuat, namun... Urat-uratpun terasa bisa kadang-kadang, keletihanpun luar biasa. Paling menduga kemampuan ialah apabila kurangnya sokongan moral daripada orang sekeliling memandangkan dalam tempoh kehamilan ini, sokongan moral daripada insan-insan terdekat itu juga mestilah luar biasa. Namun, apalah sangat yang dapat dibuat oleh mereka. Kehamilan adalah satu tempoh yang sangat 'LONELY' macam PhD juga. Orang lain tidak akan benar-benar memahami apa yang berlaku kepada kita. Maka, mempersalahkan mereka adalah perkara yang sia-sia.

Setelah dua kali menghadiri kursus PhD methodology, dan setelah empat kali melalui tempoh kehamilan serta insyaAllah...kelahiran, memang x banyak bezanya daripada segi teori/praktikal. Kita dinasihatkan sentiasa solat tahajjud, solat dhuha, semata-mata untuk mencari redha Allah, Dipandu, serta Dipelihara agar segala kepayahan yang dilalui itu berjaya ditempuhi dan membuahkan hasil yang diimpikan.:)

Selama 31 tahun kehidupan, tiadalah yang paling fitrah, paling mengingatkan aku kepada Pencipta ialah semasa menunggu saat-saat kelahiran. Sesungguhnya bukan siapa-siapa yang lain, malah bukan suami yang kita cintai itu... tetapi Allah SWT, Penciptaku itu. Hanya Dia Yang Maha Berkuasa mengawal segala kesakitan yang ditanggung. Maka, dengar, baca dan ikutlah apa yang Allah perintahkan. Contohnya: Menghormati suami (sekiranya suami kita telah sedaya upaya menjadi insan mulia di sisi Allah) atau/dan Ibu-Bapa (sekiranya mereka masih ada). Jadi, apa pula kaitannya sakit mahu bersalin dengan menghormati suami/ibu bapa? FITRAH ciptaan makhlukNya... Menghormati insan yang pernah melahirkan, membesarkan, mendidik, menanggung beban kita dan juga menghormati insan yang menjaga, memberi nafkah serta menanggung dosa-dosa kita... Dengan cara itu, kita menunjukkan rasa SYUKUR kepada Pencipta.:)

Besar hikmahnya merasai kesakitan menanti kelahiran itu. Ia mengingatkan aku kepada Allah daripada hati yang terdalam! Tiada yang dapat mengganggu kekhusyukan aku mengingati Allah tatkala menanggung kesakitan itu! Gugurlah dosa bak dedaunan kering di musim luruh. SUCI buat seketika...

Cabaran membesarkan anak tidak kurang hebatnya. Malah lebih lagi! Maka aku sudah berazam, dengan keizinan suamiku, untuk fokus membesarkan anak-anak yang sudah ada ini dengan sebaik-baiknya! InsyaAllah. Kesihatanku perkara sangat berharga dalam menjalani kehidupan berumahtangga yang dihiasi dengan permata-permata yang indah sebagai amanah itu! Maka, insyaAllah... Akan berehat seketika buat lima tahun sekurang-kurangnya... sebelum merancang kehamilan yang ke seterusnya. InsyaAllah, ini adalah antara keputusan  terhebat pernah aku lakukan.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan kepada kami sekeluarga dalam meniti kehidupan. Fasa seterusnya, MENDIDIK anak-anak menjadi permata-permata indah, yang tidak ternilai daripada segi akhlaknya, ilmunya, imannya! Alhamdulillah kerana Allah telah memberikanku kesedaran ini. Sesungguhnya, diriku, fikrahku, emosiku, rohaniku...hatiku berada dalam genggaman Allah. Dia yang merancang semua ini, mengatasi segala perancangan manusia.

Maha Suci Allah!:)