Ahli keluarga dan rakan terdekat sekian maklum bahawa sepanjang Rabii'ah dibesarkan sehingga umurnya mencecah dua tahun, saya benar-benar diuji dek beberapa masalah kesihatan Rabii'ah seperti severe jaundice, PDA, tight tendon dan audio problem. Nanti saya ceritakan di tempat lain. Di sini, saya ingin menceritakan kisah pahit manis mengandung dan melahirkan Rabii'ah secara ringkas, sekadar untuk berkongsi.
Nota: Setiap wanita mengalami pengalaman yang berbeza dalam hidup mereka. Ada yang mencabar dan sebaliknya. Semua itu adalah ujian dan rahmat Allah untuk hamba-hambaNya. Bagi saya, tiada satupun yang mudah dalam hidup ini kerana setiap sesuatu itu disertai dengan kepayahannya. Samada ia datang sekarang atau kemudian, berasingan atau bersekali.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tanggal 22 Julai 2012, saya selamat melahirkan anak ke-4 kami di Hospital Bersalin Berisiko Rendah, Putrajaya. Anak perempuan, 3.84kg lahir pada jam 6.35 petang. Niatnya, sempatlah saya berbuka nasi kerabu kegemaran sebelum berpantang selepas bersalin, namun ditakdirkan saya bersalin sebelum waktu maghrib, sebelum waktu berbuka puasa 2 Ramadhan 1433H.
Sepanjang saya mengandungkan Rabii'ah, perasaan saya sentiasa tidak sabar untuk melahirkan. Terasa beban mengandung dalam tempoh memegang jawatan di fakulti itu sangat membebankan.
Pagi tu, saya rasa mahu bersalin, walaupun belum berasa apa-apa contraction. Dari atas, saya turun menjenguk suami menyusun rumput karpet kami yang baru. Bosan rasanya terperap dalam rumah saja. Menariknya, setiap kali ingin melahirkan anak, kami akan berpindah ke rumah baru. Ia perpindahan yang ke-4 kami ke rumah sendiri. Bermula dari rumah sewa kampung di Kg Sg Ramal Luar, kami berpindah ke Apartment Presint 9, Putrajaya setelah melahirkan 'Atiiqah. Sebaik sebelum melahirkan Daanial, kami berpindah pula ke Presint 14. Beberapa bulan sebelum melahirkan 'Aaisyah, kami berpindah pula ke Kolej Mawar, UiTM dan akhir sekali, beberapa bulan sebelum melahirkan Rabii'ah, kami berpindah ke Bandar Saujana Putra (atas desakan hati dan jiwa saya yang mengandungkan anak - macam mengidam gitu, hehe).
Saya turut tolong suami susun rumput dalam hujan renyai di pagi yang hening itu. Terbongkok-bongkok dan merangkak-rangkak atas susunan rumput untuk pastikan kedudukannya elok. Habis basah kuyup. Saya memang suka main hujan masa kecil-kecil dulu. Seronok rasanya main hujan. Hilang rasa kempunan. Hehe.
Saya turut tolong suami susun rumput dalam hujan renyai di pagi yang hening itu. Terbongkok-bongkok dan merangkak-rangkak atas susunan rumput untuk pastikan kedudukannya elok. Habis basah kuyup. Saya memang suka main hujan masa kecil-kecil dulu. Seronok rasanya main hujan. Hilang rasa kempunan. Hehe.
Sebelum waktu zohor, saya maklumkan kepada suami bahawa saya ada terasa sedikit contraction dan mencadangkan kepadanya untuk ke hospital. Sebelum waktu zohor itu, saya, suami, anak-anak serta pembantu keluar membeli sabun basuh serta menghantar baju suami di kedai dobi untuk diseterika. Dalam perjalanan ke hospital, pembantu memberitahu sabun tertinggal di kedai, lalu kami kembali semula ke kedai seterusnya solat zohor memandangkan azan baru sahaja berkumandang.
Setelah selesai solat zohor, contraction semakin dapat dirasai namun masih lagi dalam kawalan. Alhamdulilllah tiba di hospital dalam 2.30 petang. Jururawat bertugas cek bukaan dan mendapati bukaan adalah 3cm jadi doktor terus menjalankan tanggungjawabnya ke atas saya. Memandangkan rekod kesihatan adalah baik dan berisiko rendah kata doktor, saya dirujuk ke Alternative Birth Centre yang baru iaitu, Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Presint 8, Putrajaya. Saya ke sana menaiki ambulan bersama-sama ibu-ibu mengandung yang lain. Kelakarpun ada.
Suasana ABC ni macam kat klinik desa di kampung tapi cukup lengkap. Apa yang disediakan adalah semua tempat yang mendamaikan untuk seorang ibu bersalin. Jam 4.00 petang kami tiba di sana. Sempat lagi berborak-borak dengan rakan baik Mak Mertua yang sedang menunggu menantunya bersalin kat situ. Setelah pemeriksaan dibuat serta menunggu proses pendaftaran dan sebagainya, jam 5.00 petang saya dihantar ke ward. Tatkala itu sudah dirasakan contraction yang kerap dan lebih lama.
Jururawat yang bertugas memberitahu, saya akan diperiksa lagi 4 jam kerana bukaan semasa pendaftaran di ABC masih 3cm. Namun demikian, pada jam 6 petang (iaitu sejam selepas pendaftaran), saya meminta jururawat cek bukaan kerana berlaku contraction berterusan seperti sudah sampai masa. Sebetulnya ya kerana bukaan sudah sampai 7-8cm.
Saya berjalan ke Bilik Bersalin diiringi jururawat bertugas. Macam kelakarpun ada sebab masih berjalan macam penguin dalam keadaan dah contraction macamtu. Katanya, berjalan banyak boleh mudahkan proses bersalin. Alhamdulillah, bukaan sudah betul-betul mencapai 8cm sebaik dibaringkan dalam labour room. Masa tu macam biasa la kan. Rasa sakit nak bersalin tu macamana. Terasa berada di hujung nyawa saja. 15 minit selepas itu, saya hanya sebut nama Allah sebab saya rasa macam dah nak mati. Dalam keadaan samar-samar sambil menyedut oksigen tu, jururawat datang cucuk ubat (induce) melalui tiub IV tu. Katanya, dalam sejam lagi saya akan beranak. seminit kemudian (sebab baru saja jururawat tu melepaskan tiub IV tu..entah2 ubatpun belum sempat masuk badan), saya menjerit, "Nak beranak!!!". "Biar betul akak ni" kata jururawat berkenaan sambil cek bukaan.
"9-10cm!! Akak ni nak beranak, cepat!" jerit jururawat tu pulak. Masa tu suami saya ke Bazar Ramadhan , Presint 2 memandangkan dia bajet saya bersalin lepas waktu maghrib. Masa nak meneran tu, 6.25 petang, suami saya sampai bersama nasi kerabu dan akok kegemaran. Tak merasalah saya nasi dan akok tu sebab saya sudah mula meneran. Apapun, alhamdulillah suami berpeluang sekali lagi menyaksikan isterinya ini bersalin. Beberapa minit kemudian, tepat jam 6.35 petang, saya selamat melahirkan bayi perempuan.
Jururawat bertugas tunjuk baby kat saya dan tunjuk jantina baby dan bagi saya peluk baby. Kemudian mereka ambil untuk timbang. "3.84kg! Eh, mesin ni rosak ke?" tanya jururawat kepada kawannya yang sorang lagi. "Eh, ok je! Itu baru punya!". "Salah ke anak aku berat 3.84 kg? Berat tulang tu. Rileksla" fikir saya. Sekarang baru saya tahu baby 3.8 ke atas perlu dapat perhatian doktor semasa bersalin, hehe. Patutlah misi semua panik tengok berat baby tu. Terima kasih misi.

1 comment:
Testing
Post a Comment